March 6, 2011

Pelancaran Buku Jingga & Sambutan Tiga Tahun Pemerintahan Pakatan Rakyat

Shah Alam, 30 R. Awwal = 05 Mac (Sabtu):

Perhimpunan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam malam ini dengan tujuan di atas yang dihadiri oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, YB Dr. Tan Seng Giaw yang mewakili YB En. Lim Kit Siang Penasihat DAP, Datin Sri Wan Azizah Presiden Keadilan Rakyat dan YB Dato` Hasan Ali dari Pas yang juga selaku Pengerusi AJK Sambutan, YB Dato` Teng Chang Khim Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Dato` Haji Khusrin Munawi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, para Exco, ADNS, Ahli-Ahli MPKj, Penghulu, Ketua Kampong dan pegawai-pegawai Kerajaan. Majlis diisi dengan ucapan-ucapan dan tayangan yang memaparkan tentang kejayaan pemerintahan PR selama tiga tahun dan tawaran-tawaran Buku Jingga. Kehadiran amat sederhana yang para hadirin hanya memuatkan ruangan bawah bahagian tengah. Ini disebabkan pada malam ini sebahagian besar dari tenaga PR berada di Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang bagi kempen puncak dan terakhir di kedua-dua kawasan pilihanraya berkenaan yang diadakan secara serentak dan esok adalah hari membuang undi. Namun ramai yang melahirkan pendapat maklumat diterima lewat, setengahnya menerima melalui sms disaat akhir dan kurang dari publisiti. Mereka berpendapat tindakan menggembleng tenaga dan kehadiran lebih berkesan melalui parti, bukan melalui birokrasi pentadbiran.

YB Dato` Dr. Hasan Ali di dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan PR, khususnya di Selangor berjaya melonjakkan negeri tersebut dengan berbagai-bagai tawaran kepada rakyat seperti Mikro Kredit Luar Bandar yang dalam masa 6 bulan berjaya diberi pinjaman kepada 1,500 peminjam dengan jumlah pinjaman RM3.6 juta. Ribuan geran tanah dapat diluluskan kepada rakyat yang tidak bertanah yang selama ini berpuluh tahun mereka menunggu tidak diluluskan oleh pemerintah BN. Beliau menekankan Pas akan terus bersama dengan imej bersih. PR di Selangor menurutnya berjaya meningkatkan perkembangan dan Imej Islam di Selangor. Islam di Selangor menurutnya berhasrat menjadikan Selangor sebagai Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur maju dari segi fizikal, minda dan spiritual.

YB Dr. Tan Seng Giaw sebagai penceramah kedua menurutnya Selangor berada di atas track yang betul, tetapi banyak lagi yang perlu diperbetulkan. Menurutnya Barisan Nasional yang tak rasional membelanjakan begitu banyak duit rakyat di Merlimau dan Kerdau, Mereka cerita yang baik-baik, tetapi menyembunyikan yang buruk-buruk seperti Skandel PKPZ RM12.5 bilion. Mereka kata Buku Jingga tak dapat dilaksanakan kerana ketiadaan wang, tapi kalau dilaksanakan tak sampai jumlah RM12.5 bilion PKPZ. Perbelanjaan bagi pelaksanaan bahasa Inggeris dan metametik (PPSMI) sebanyak 5 billion, tapi hasilnya kosong. Beri subsidi gas kepada Syarikat Tenaga Swasta sebanyak RM16 billion, tetapi tak diberi kepada rakyat. Dalam rancangan Malaysia ke 9 terdapat 3,737 projek, tetapi yang berjaya hanya 1,673 yang lain tak berhasil. Berlaku pembaziran yang amat sangat. Di negeri-negeri PR perintah pelaburan meningkat terutama Selangor dan Penang. Kakitangan kerajaan makin sopan dan kecekapan lebih baik, tapi boleh dipertingkatkan lagi. Kita perlu cerdik pandai dan cari jalan tarik mereka ke negeri-negeri PR. Semua pentadbir perlu jujur dan komited dan tidak pentingkan diri. YB Dr. Tan Seng Giaw menamatkan ucapan ringkasnya dan amat berisi:

Pisang sesikat
Gulai sebelanga
Tanda muafakat
Kita bersama.

Dr.Wan Azizah dalam ucapannya menyentuh tentang pembaziran yang dilakukan oleh BN yang dikaitkan dengan sifat syaitan. PR berazam untuk mengekalkan imej bersih, demokratik, dan telus. Mempertahankan perkara 152 dan 153 Perlembagaan Negara. Mereformasi tatacara pentadbiran. Memperbaiki SPR & SPRM. Memansuh ISA dan tol. Kerjaan Pakatan Rakyat bercadang memberi elaun RM1,000 setahun bagi warga emas. Ambilalih air, promosi teknologi, membentuk masyarakat bermaklumat,, Wifi percuma, menyusun kembali Felda, royalty 20 % kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak, menyekat pendatang haram, bantras rasuah dan memberi peluang bumiputera dalam pelaburan saham.

Puncak dari ucapan disampaikan oleh YAB Menteri besar Selangor yang rumusan ucapannya ialah:

• Buku jingga terjemah 3 tahun perintah = 1,000 hari akan dilaksana dalam 100 hari jika diberi mandate memerintah Negara.
• Meningkatkan kebajikan rakyat sebagai lanjutan dan polisi kebajikan yang telah dilaksanakan
• Meningkatkan komitmen merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor
• Kita naikkan gaji guru KAFA dari RM500/= kepada RM1,300/- sebulan
• Kita wujudkan Selcat untuk ketelusan
• Wujudkan Akta Kebebasan Maklumat
• Akan lancarkan Plan 3 Tahun Negeri Selangor
• Kita tingkatkan prestasi sukan negeri Selangor
• Pungut hutang Talang RM392 juta.
• Wujudkan Mikro Kredit Luar Bandar dan Bandar (Mimbar).
• Berusaha mengembalikan hak air kepada rakyat. Aset air dulu RM1,000 juta kini seharga RM10,900 juta
• Dulu SPRM selalu buru kita, kini mereka selesa dan berkawan dengan kita. Dari pendapatan RM4 juta pada masa BN, kini meningkat hasil RM40 juta dan akan meningkat lagi hasil dari pembaikan pentadbiran
• Kita labur dalam pendidikan Sekolah rakyat Agama Islam, Sekolah Cina dan Tamil RM26 juta menyebabkan MCA menjerit dan MIC berleter
• Skim Mesra Usia Mas amat berjaya. Pembaikan akan terus dilakukan. Pengumuman penting berkenaannya akan dilakukan pada 26 Mac 2011.
• Peruntukan RM3.5 juta untuk program remaja
• Pertingkatkan amalan demokrasi dan ketelusan
• Sambutan dengan berbagai program akan diteruskan

Penutup

Sambutan seharusnya bukan setakat ceramah, tetapi adakan penilai luar berwibawa beri pandangan tentang kejayaan dan kelemahan semua negeri Pakatan dan polisi pakatan dan cadangan-cadangan.
Adakan forum dan diskusi diberbagai tempat sebagai media menyampaikan maklumat dan kefahaman rakyat.
Keluarkan berbagai-bagai penerbitan termasuk buku kajian tentang pemerintahan dan polisi Pakatan Rakyat.
Cari pendekatan yang tidak membimbangkan semua kaum terhadap polisi Pakatan Rakyat.
Peringat semua pihak jangan menyentuh dan elak dari perkara yang sensitive bagi semua kaum dan tangani secara teliti jika timbul.
Adakan berbagai kursus kepada wakil-wakil rakyat dan pentadbir.
Banyakkan kegiatan ilmiah yang membuka ruang inovasi dan kreatif bagi pemerintahan dan pentadbiran.
Fikirkan pendekatan yang memberi kepuasan kepada semua kaum dan semua peringkat masyarakat.
Menghormati ugama, budaya dan cara hidup semua kaum.
Membentuk satu bangsa yang berbudaya Malaysia tulen.

Sekian.

No comments:

Post a Comment