March 25, 2011

Menziarah Saida Farhanah Yang Kemalangan

Hospital Batu Pahat, 19 Rabiul Akhir = 24 Mac (Khamis):


Pada Sabtu 19 Mac 2011 sekurang-kurangnya ada 3 jemputan kahwin yang melibatkan Nisa` Serdang. Nabilah kerani di pejabat Adun jemput ke Sekinchan, Husna binti Mohd Said Bekas Pembantu di Pejabat Adun kahwin di Kg. Durian Sebatang, Dong, Pahang dan Saida Nisa` yang sering membantu kerja-kerja di Pejabat menjemput sahabat-sahabatnya ke Batu Pahat bagi meraikan kakaknya berkahwin. Pada hari Sabtu itu memang kami ke Sekinchan. Maaf tidak dapat pergi ke Dong, manakala Saida pulang atas urusan perkahwinan kakaknya. Di atas kesibukan urusan kahwin, mereka sekeluarga – kereta dipandu abang Saida terlibat dalam kemalangan – tergelincir ke longkang – Saida patah peha, manakala keluarganya yang lain mengalami kecederaan ringan dan selamat – Saida dimasukkan ke Hospital Batu Pahat.


Peristiwa yang sama pernah berlaku kepada pemuda Pas Serdang – saudara Nizar berasal dari Taiping kemalangan dalam masa bertugas kepada Pas Serdang – terlanggar lori waktu malam di Bandar Seri Putera, Bangi dan bertahun berada di Hospital Besar Kuala Lumpur dan Hospital Taiping. Kami menziarahnya di Hospital di Kuala Lumpur dan berkali-kali diziarah oleh AJK dan pemuda sama ada di Hospital Kuala Lumpur dan Taiping. Kali ini berlaku kepada Nisa`. Lantaran itu melalui mesyuarat – kami mengambil persetujuan untuk melawat saudari Saida. Adun tidak mempunyai masa pada hari minggu (Sabtu dan Ahad), lantaran itu sebagai permulaan Adun bersama rombongan awal menziarah Saida di Hospital Batu Pahat.


Kami bertolak pada pagi Khamis (24 Mac – Hari ini Adun ada sedikit kelapangan pada siang hari) bersama saudara Shahrum membawa kawan-kawan Saidah dari Bangi. (Saidah tinggal di Bangi, dan bakal mendaftar untuk membuat ijazah lanjutan – mungkin di UPM). Kawan-kawannya ialah Noor Aisyah bt. Zainuddin, kerani di Pejabat Adun Bangi, Hafsah Hanim binti Mahadi sering datang menolong kerja-kerja di Pejabat Adun Bangi dan berasal dari Batu Pahat (bertindak sebagai pemandu jalan) dan Emiza Suhana bt. Awang Jambi berasal dari Pahang dan tinggal di Bandar Baru Bangi.


Bertolak jam 10.00 pagi dari Bandar baru Bangi dan tiba jam 12.30 tengahari, iaitu masa yang membolehkan pelawat-pelawat melawat pesakit. Dengan didahului penziarah perempuan yang datang bersama, kemudian kami menziarah Saidah yang bersamanya bapanya Encik Sarkam bersama ibunya, abang, kakak dan iparnya menunggu bersama.



Setelah memberi kata-kata perangsang dan mengharapkannya sembuh segera dan menyampaikan bantuan– patahnya tidaklah teruk dan bercakap dengan keluarganya serta sempat bergambar, kami meminta izin menunggu di luar sementara kawan-kawannya bercakap-cakap.


Lebih kurang jam 1.30 (azan berkumandang), kami bercadang bertolak pulang, kerana malam ini Adun ada program di Shah Alam, tetapi keluarga Saidah minta kami mengunjungi rumah mereka barang sekejap. Permintaan kami tunai dengan mengikut kenderaan mereka hingga sampai ke Parit Tengah Laut, 86400 Parit Raja Batu Pahat yang terletak di bawah Parlimen Seri Gading. Setiba kami dapati khemah-khemah perkahwinan masih belum di turunkan.


Kami bercakap-cakap sambil minum dan makan makanan ringan dengan keluarga Saidah yang ditinggalkan di hospital. Rumah batu sederhana itu berada di tepi kebun kelapa sawit, di tepi jalan dan agak jauh dari kesebokan dan aman.


Berada lebih kurang setengah jam, kami memohon diri dan dibekalkan dengan hadiah-hadiah kahwin, singgah bersembahyang jamak di Masjid Jamik Suanto dan singgah makan tengahari di sebuah kedai makan. Selepas itu bertolak melalui Yong Peng dan tiba di Bangi jam 6.00 petang.


Kita mendoakan Saidah lekas sembuh dan segera dapat kembali bertugas dan menghadapi pelajaran. Sekian.

No comments:

Post a Comment