Pelajar dan anak-anak Sekolah sudah kembali bersekolah sejak seminggu setelah melalui cuti rehat seminggu sebelumnya (13 – 20 Mac). Cuti rehat tidak bererti rehat dari aktiviti. Sebaliknya ada yang mengambil kesempatan menggunakan masa cuti dengan mengisinya dengan kegiatan-kegiatan yang bermanfaat. Bagi yang berada mungkin melawat ke luar. Ada yang pulang ke kampong menziarahi keluarga atau melancong ke destinasi-destinasi pilihan.
Bagi AJK atau NGO tertentu menganjurkan retreat atau kem yang diatur sendiri atau mengikuti pakej yang dianjurkan oleh badan-badan motivasi tertentu. Apa yang menarik pihak masjid dan surau juga mengambil perhatian dan menyediakan kegiatan-kegiatan bagi mengisi masa lapang anak-anak setempat yang sedang bercuti. Misalnya pada masa tutup Sekolah seminggu itu Adun sendiri dijemput merasmikan beberapa kegiatan yang dianjurkan oleh masjid dan surau, iaitu:
a) Fun With English di Surau Al-Muhajirin, Kajang Utama (19 Mac – Sabtu)
b) Kursus Smart Salat anjuran Surau At-Taqwa, Jalan 6, Seksyen 16 BBB (18-20 Mac – Jumaat-Ahad):
Kursus Smart Salat ini adalah anjuran AJK Surau dengan peruntukan disediakan oleh pihak Pejabat Agama Daerah Hulu Langat (RM3,000), juga tenaga-tenaga pembimbing. Kursus ini berjalan selama 3 hari dua malam dalam mana anak-anak dikehendaki berada di surau selama sepanjang kursus dalam mana segala kemudahan dan keperluan disediakan oleh pihak penganjur. Peserta anak-anak lelaki dan perempuan ini bukan saja dari kalangan anak-anak di Jalan 6, tetapi ada kalangan mereka dari Rinching, Semenyih, Kajang, Dengkil dan Putrajaya. Jumlah melebihi sasaran yang pada asalnya target jumlah peserta sebanyak 70 orang, tetapi meningkat kepada 95 orang. Kursus latihan dianjurkan ialah hafazan, azan dan iqamah, pembaikan dari segi berwuduk, bersalat dan pembacaan al-Qur`an.
c) Kem Anak Saleh Di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi 19-20 Mac (Sabtu- Ahad):
Kem dua hari ini dianjurkan oleh Masjid Al-Hasanah, Ikatan Studi Islam (ISI – UKM) dengan kerjasama Pejabat Adun Bangi. Seramai 70 orang peserta lelaki perempuan menyertainya bertempat di bilik kuliah masjid dan majlis penutup di dalam masjid. Matlamat program bagi melahirkan insan bertaqwa, bertanggungjawab, berdisiplin, berilmu dan beramal. Program menekankan kepentingan iman, salat dan ibadat, menanamkan cinta kepada al-Qur`an, berakhlak mulia dan menyayangi sesama insan. Penceramah-penceramah adalah terdiri dari tenaga-tenaga jemputan termasuk juga dari pegawai-pegawai dan imam-imam Masjid al-Hasanah. Antara program-program tumpuan ialah Teori dan Praktik wudhu`, Teori dan Praktik Salat, Aktiviti dalam Kumpulan, Qiyamullail, ceramah motivasi, kuliah kerohanian, muhasabah diri dan Explorasi al-Hasanah.
Adun Bangi memuji Kem Anak Saleh yang dianjur oleh Masjid, ISI UKM dengan kerjasama Pejabat Adun. Beliau mengharap Kem Anak Saleh mencapai objektif. Agama dan Negara menurutnya amat memerlukan remaja yang berpendidikan dan saleh supaya tidak berlaku penyelewengan di dalam memandukan generasi akan datang. Kita harap remaja dapat memperbaiki segolongan dari mereka yang terjebak di dalam masalah dan gejala sosial yang menjadi beban masyarakat. Adalah menjadi tugas kita mencegah kemungkaran dan menegakkan kemakrufan.
No comments:
Post a Comment