March 23, 2011

Budak Gembala Kambing Yang Pendek Akal: Satu Satira

BBB, 17 Rabiul Akhir = 22 Mac (Selasa):

Membaca tentang fitnah terbaru terhadap Dato` Seri Anwar Ibrahim, penulis spontan teringat kepada cerita Budak Gembala Kambing yang bercakap bohong. Buat pertama kali orang ramai terdorong datang untuk menyelamatkan dirinya dan kambing-kambing yang dikatakan diserang harimau. Ini amat menyenangkan Budak Gembala, kerana penipuannya dipercayai. Kependekan akal Budak Gembala ini membuat beliau mengulangi pendustaannya, meminta pertolongan kononnya kambingnya yang diternaknya diserang harimau kali kedua. Sebahagian orang datang dan kecewa dengan penipuannya. Oleh kerana tidak ada perkara yang lebih penting dilakukan dan beliau keseorangan, penipuan ketiga dilakukan. Kali ini orang langsung tidak mempedulikannya, bahkan beliau dimarahi.

Begitulah kali pertama Dato` Seri Anwar difitnah, ianya menggemparkan masyarakat. Mungkin ada sebahagian yang percaya tapi lebih ramai yang tidak mempercayai. Bahkan peristiwa `Mata Lebam` ekoran dari fitnah dan penganiayaan terhadapnya, menarik perhatian masyarakat dan memberi kesan politik yang teruk terhadap pihak berkuasa pada masa itu yang membawa keruntuhan pada Umno-BN dan hampir membawa kekalahan pada peringkat Federal (1999). Rupa-rupanya pihak berkuasa semacam Budak Gembala, pendek akal juga, pola fitnah seperti yang pertama diulangi semula dengan mengaitkan fitnah terhadap Dato` Seri dengan seorang pemuda. Kali ini lebih banyak yang tidak percaya. Pihak berkuasa lebih menggelabah apabila bukti DNA yang didapati dengan cara `curi` ditolak oleh mahkamah. Maka segala saluran media dan juak-juak diergunakan menunjuk perasaan dengan tuntutan supaya menyerahkan DNA. Menyedari tiada sokongan dan kelemahan. Secara pendek akal lagi dipanggil segala media dan dilancarkan fitnah ketiga dengan tuduhan `persetubuhan dengan wanita dikatakan pelacur dari negeri Cina. Tuduhan ini langsung tidak berasas dan rekaan semata-mata dan dapat dijawab dengan bukti meyakinkan. Maka Budak Gembala yang pendek akal terkapai-kapai. Penaja dibelakang fitnah ini sama ada sebagai `Pak Kebayan dan Mak Kebayan` perlu dicari dan dihukumi.

Siri fitnah ketiga bukan saja kerana gagalnya fitnah kedua, tetapi ada hubungan dengan pilihanraya kerajaan negeri Sarawak dan pilihanraya ketiga belas akan datang. Kita menjangkakan tindakan pendek akal yang mencetuskan fitnah ketiga ini seharusnya diguna dan diexploitasi untuk mendedahkan kepada rakyat betapa mainan kotor sanggup dilakukan pihak berkuasa sebagai cara yang jijik bagi mendapat sokongan rakyat.

Adalah satu yang mendukacitakan lebih 20 tahun suasana fitnah meracuni fikiran rakyat Malaysia. Budaya jijik ini dipergunakan bagi mencari kuasa tanpa memikirkan kesan jangka pendek dan jangka panjang terhadap jiwa, minda, budaya dan imej masyarakat di Malaysia. Barangkali tidak ada sejarah lain di dunia yang pihak berkuasanya hilang maruah dan terus merasa seronok mempermainkan isu fitnah dan menuba dan meracunkan fikiran masyarakat, menyebabkan masyarakat hilang daya kecergasan untuk bangkit membina Negara dan bangsa secara sihat. Gejala yang sedemikian mencerminkan bahawa pimpinan negara mengalami sakit jiwa yang parah dan sudah lebih dari 20 tahun terlantar sakit. Kesakitan ini tidak disedari, menyebabkan perlakuan sakit ini terus bertambah dan semakin tenat.

Sakitnya pimpinan dan Negara seharusnya disedari dan tindakan perlu diambil agar rakyat tidak terus dituba dan diracuni dengan fitnah. Mereka hendaklah diselamat dan dihindari dari terus berada di dalam budaya fitnah dan merosakkan. Terlampau banyak perkara yang seharusnya dilakukan bagi membangunkan bangsa, Negara dan agama. Jika pimpinan tidak menyedari mereka adalah perosak masyarakat, maka rakyatlah perlu menilai dan memperbaiki pimpinan masyarakat yang rosak dengan menukarkan kepada pimpinan yang sihat dan mampu memimpin masyarakat secara sihat dan berdaya maju..

Bersihkan Negara dan rakyat dari racun fitnah. Sediakan suasana yang segar dan kondusif bagi kita membangunkan Negara, bangsa dan agama !

Sekian.

No comments:

Post a Comment