March 22, 2011

Perubahan Yang Berlaku Di Asia Barat Jangan Sampai Diambil Kesempatan Dan Mengancam Perubahan !

BBB, 16 Rabiul Akhir = 21 Mac (Isnin):

Perubahan geo-politik yang berlaku di Asia Barat yang memberi ruang kekuasaan pada rakyat dan dapat menukarkan pemerintahan autokrasi di Tunisia dengan menjatuhkan pemerintahan Zain Al. Abidin Ali pada Januari dan menjatuhkan pemerintahan Hosni Mubarak di Mesir pada awal Februari 2011 disambut baik kalangan pemimpin dunia dan memberi kelegaan kepada demokrasi, hak asasi dan pejuang-pejuang rakyat. Kesan kejayaan revolusi rakyat di kedua-dua Negara merebak ke Negara-negara lain di dunia Arab seperti di Libya dan Yaman. Kita mau sebarang perubahan hendaklah diselesaikan oleh rakyat Negara berkenaan secara dalaman, sesuai dengan hasrat dan keinginan rakyat.

Tetapi apabila pergolakan dalaman mulai dicampurtangan oleh kuasa luar, tak kira sama ada mendapat mandat dari Pertubuhan Bangsa Bersatu atau lain, akan merumitkan lagi masalah kerana Pertubuhan Bangsa Bersatu misalnya tidak bebas dari dikuasai kuasa-kuasa besar yang kadang-kadang tidak selari dengan kehendak Negara-negara kecil, maka dengan itu kita mulai ragu dan bimbang. Serangan oleh pihak Amerika dan sekutu-sekutu sekongkolnya British dan Perancis pada Sabtu 19 Mac membimbangkan kita. Serangan mereka mengingatkan kita kepada serangan dan penjajahan mereka di bumi Iraq 1993 yang menjatuhkan Iraq dan membawa kepada pembunuhan Saddam Hussein. Lebih dari itu Iraq mengalami penjajahan di zaman moden dan hasil bumi (minyak) dan segala yang berharga diangkut keluar oleh bangsa-bangsa penjajah itu. Iraq hingga kini masih belum pulih.

Libya mempunyai pola persamaan dengan pemerintahan Iraq pada zaman Saddam, Muammar Ghaddafi memerintah Libya secara diktator sejak 4 dekad dan mempunyai persamaan dengan Saddam Hussain dari segi kediktatorannya. Kita bimbang yang mendorong Amerika dan sekutunya British dan Perancis. Kemudian diikuti Itali dan Canada menyerang Libya, kerana bumi Libya kaya dengan minyak sebagaimana kayanya Iraq dengan bahan minyak. Kita bimbang di belakang dari apa yang didakwa sebagai restu dari Bangsa Bersatu, Negara-negara berkenaan berhasrat menguasai dan membahagi-bahagikan kekayaan minyak Libya di kalangan mereka, sedangkan beberapa kuasa besar yang lain seperti Rusia dan Cina tidak menyetujui dan mempersoalakan tindakan. Negara-negara-Arab sendiri tidak menyetujui tindakan agresif Negara luar mencabul kedaulatan negara Libya.

Amerika-British-Perancis harus dan mesti dicurigai, kerana mereka adalah terkenal dengan identiti penjajah dan trend dan pembawaan sikap penjajah berterusan sebagaimana tercermin di Iraq, bahkan di Afghanistan. Mereka tidak boleh dipercayai. Barrack Obama yang kelihatan pada awal kenaikannya sebagai Presiden Amerika menjadi harapan membawa keamanan dunia sebenarnya juga tidak boleh dipercayai. Sifat dan sikapnya tidak berbeza dari presiden-presiden Amerika yang lain. Jangan biarkan mereka berlagak dengan kekuatan dan menjadi samseng dunia.

Negara-negara Arab hendaklah merasa malu membiarkan rumah tangga keluarga sendiri diceroboh orang luar. Dimanakah Lega Arab ? Dimanakah OIC ? Dimanakah Kesatuan Negara-Negara Afrika ?

Kita bersetuju kepada perubahan, tetapi jangan sampai perubahan diambil kesempatan oleh pihak luar sehingga mengancam perubahan !

Sekian.

No comments:

Post a Comment