March 31, 2011

Menziarah Pesakit Dari Rumah Ke Rumah Bersama Doktor Perubatan

Sungai Ramal Dalam, 23 Rabiul Awwal = 27 Mac (Ahad):

Pagi ini Adun bersama Dr. Haikal seorang Pegawai Perubatan dari sebuah hospital bersama tiga pembantunya turun bersama saudara Shukor Atan Ketua Cawangan dan AJK dan Ketua Muslimat setempat dan AJK – sebagai penganjur dengan lebih kurang 10 orang menziarah dan melawat pesakit-pesakit di Kampong Sungai Ramal Dalam.

Sejumlah 30 pesakit yang layak dirawat didaftarkan terlebih dahulu. Kebanyakan mereka adalah terdiri dari kalangan veteran dan pesara. Rumah-rumah yang dilawat adalah rumah:


1) En. Rahmat bin Manan & Isterinya
2) En. Osman bin Mohd Yusoff
3) En. Jasni bin Idris
4) Hajah Tiamah binti Siachat (Isteri Bekas Imam yang baru meninggal 9.3.2011)
5) Puan Siti Esah bt Masum dan Adiknya Maimunah bt. Masum
6) Ustazah Khadijah
7) En. Sha`rani
8) Ustaz Yusoff

Demikian hanya 8 buah rumah yang kami berkesempatan melawat dan merawat. Lawatan mengambil masa, kerana melibatkan pemeriksaan dan rawatan dilakukan Doktor dan pembantu-pembantunya serta penerangan tentang ubat yang diberi atau yang patut didapati bila tidak ada dibawa Doktor.


Kehadiran kami termasuk pengiring-pengiring disambut baik oleh keluarga dan pesakit dan pesakit bersama keluarga memberi kerjasama menceritakan penyakit yang dialami keluarga dan masalah-masalah yang dihadapi sedang pemeriksaan dan rawatan dilakukan. Bagi Adun ziarah ke rumah-rumah berkenaan bukan satu yang baru, kerana ziarah-ziarah pernah dibuat di sini sempena turun padang atau sempena ziarah hariraya. Bahkan tidaklah merasa kekok.


Kemesraan terbayang di antara kami. Misalnya secara kebetulan semasa menziarah rumah Bekas Imam – Haji Razak Othman yang isterinya Hajah Tiamah (75) yang dirawat, kami dijamu durian D24 oleh anak menantunya. Kebun durian Al-Marhum Haji Razak sedang berbuah.


Ziarah kami berakhir dengan makan tengahari di rumah Tuan Haji Ismail pendukong kuat dan rumahnya tidak jauh dari Markas Pas Sungai Ramal Dalam di sini. Jamuan adalah sebagai menghormati dan berterima kasih kepada Dr. Haikal dan pembantu-pembantunya yang sudi turun padang demi memberi khidmat kepada masyarakat.


Terima kasih.

No comments:

Post a Comment