February 25, 2011

Apa Itu Negara Islam ? Huraian Ada Kekeliruan ?

BBB, 21 Rabiul Awwal = 24 Februari (Khamis):

Pada petang seumpama petang ini – pada hari Khamis minggu lepas Adun Bangi sekali lagi mempunyai kesempatan menghadiri Kuliah Bulanan yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Shah Alam. Kuliah seperti ini adalah penting bagi mendedahkan kepada Adun-Adun dan para pentadbir mengenai Konsep Pemerintahan dan Kerajaan Islam. Walau bagaimana berdasarkan beberapa siri yang Adun Bangi berkesempatan hadir tidak ramai Adun-Adun berkesempatan hadir – hanya seorang dua sahaja, mungkin mereka juga sebok dengan program dan jadual masing-masing. Walau bagaimana sudah beberapa kali Adun hadir, Adun dapati semuanya dihadiri oleh YAB Tan Seri, Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor.

Majlis Ilmu yang diadakan selepas sembahyang Maghrib hingga Isya`, ialah perbincangan berdasarkan buku teks berjudul `Fiqh Ad-Daulah` karangan Profesor Dr. Yusof al-Qaradhawi seorang ulama terkini yang terkenal. Kitab ini dihurai secara bersambung oleh guru-guru jemputan berlainan bagi setiap siri yang diadakan.

Petang Khamis, malam Jumaat 14 Rabiul Awwal 1432 = 17 Februari 2011, adalah giliran pensyarah yang dijemput kali ini ialah Ybhg. Dato` Dr. Siddiq Fadhil Presiden Kolej Darul Hikmah, Sungai Ramal Dalam, Bangi. Topik bagi giliran Dr. Siddiq ialah:


Tabi`at ad-Daulah al-Islamiyyah - The Nature of the State of Islam – Sifat Sejati Negara Islam.

Dalam huraiannya Dr. Siddiq menjelaskan Negara Islam ialah:

Negara Islam bukan Negara Theocratic yang menjalankan pemerintahan melalui `Rijal ad-Din.
Negara Islam bukan Daulah Diniyyah, bukan Negara Perintah Tuhan melalui Rijal ad-Din sebagaimana pemerintahan Mullah di Iran.
Negara Islam ialah Daulah Hukumah. Negara Islam ialah Daulah Madaniyyah (civil Society) yang dibangun atas pemilihan bai`ah dan syura.

Kenyataan di atas, di samping ada kebenaran ada juga keraguan-keraguan. Antara persoalan yang boleh ditimbulkan – Adakah Negara Islam dipisahkan dari faktor ketuhanan ? Tidakkah `Theo`, ketauhidan adalah eleman utama mendasari ilmu, politik dan kenegaraan Islam ? Tidakkah pemerintahan Islam terdiri dari `rijal` (juga nisa`) yang faham tentang agama dan berpegang dengan akidah keislaman ?

Jika kita kembali kepada kebangkitan Rasulullah dan dakwah Baginda, maka eleman theology yang bersifat Tauhid adalah agenda utama dakwah baginda sehingga periodi Makkah dan dakwah baginda di Makkah adalah bagi menegakkan ketauhidan. Sudah tentu era 10 tahun baginda di Madinah yang menegakkan Daulah dan Hukumah Islamiyyah di sana, meskipun imej pemerintahan, daulah dan hukumah lebih ketara dan tampak, tetapi yang mendasari, membangun dan mencirikan Negara Islam dan umatnya ialah aqidah dalaman.

Sebab itu elemen theocratic adalah bahagian penting di dalam membangun Negara dan nilai masyarakat umatnya. Iran dengan kumpulan tertinggi dari Mullah sebagai penasihat kepada pemerintah adalah benar. Pas juga misalnya mempunyai Dewan Ulama yang mengawal perjalanan parti dan pemerintahan agar tidak menyeleweng dari dasar dan falsafah, aqidah dan pemerintahan Islam. Elemen tauhid Islam menjadi elemen yang utama dan dasar di dalam apa jua bidang Islam. Negara Islam di samping bersifat Madani adalah bertunjang pada akidah. Ianya tidak tegak di atas hukum yang bersifat luaran, tetapi akidahlah yang mencirikan nilai utama di dalam Negara Islam. Kita seharusnya tidak terpengaruh dengan label yang dibuat oleh Amerika dan Barat misalnya terhadap Iran sebagai pemerintahan theocratic yang dikuasai oleh kumpulan Mullah, maka kita juga terikut-ikut menafikan elemen Ketuhanan dan Ketauhidan di dalam Islam, sedangkan di sana ada yang melihat Negara Islam sebagai Negara Theodemocracy yang dirujuk oleh pengulas kepada Maududi dan Mohd. Nasir dari Indonesia. Kita tidak boleh memisahkan Negara Islam dari unsur ketuhanan bagi memperlihatkan kepada luar, bahawa kita terbuka dengan meletakkan negera Islam misalnya dipertengahan antara Negara Theocratic dan Liberal bersifat hukumah dan Madaniyyah.

Falsafah Ketauhidan penting di dalam Islam dan ulama pengawal dan tempat rujukan. Bagi pengukuhan Negara Islam bersama golongan agama juga seharusnya ada golongan yang lain seperti pakar ekonomi, politik, akademik, perundangan dan bidang-bidang yang wajar berada bersama di dalam Kumpulan Penasihat pemerintahan.

Elemen Ketuhanan – ketauhidan tetap menjadi elemen utama bagi diri seorang, umat dan Negara Islam. Ayat al-Qur`an sendiri mengaitkan Ketuhanan dengan Negara Islam'
`Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur` - `Negara Maju (Baik) yang diampuni Tuhan`.

Kuliah malam Jumaat yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar amat baik dan patut dijadikan landasan perbincangan ilmiah terutama yang berhubung dengan Negara dan pemerintahan Islam yang menjadi fokus pembicaraan yang dituju kepada ahli politik dan pentadbir kerajaan.

Sekian. Wallahu a`lam.

No comments:

Post a Comment