Pas Bandar Bukit Mahkota malam ini mengadakan sambutan Maulid Ar-Rasul bertempat di Pusat Khidmat Masyarakat Pas Bukit Mahkota-Seri Putera di sini. Tamu istimewa pada malam ini yang dijemput pihak penganjur ialah YB. Ustaz Nasharuddin Mat Isa Ahli Parlimen Bachok, Timbalan Presiden Pas yang kediaman rasminya di Bukit Mahkota. Turut dijemput ialah ADUN Bangi dan hadir sama saudara Aidil Ketua Pas Cawangan Bukit Mahkota dan Tuan Haji Ahmad Yusof, Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Seri Putera serta jemputan-jemputan dan ahli-ahli dari Bukit Mahkota dan Seri Putera.
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkan dan menyeru mereka) ``Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi pertunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan rasul-rasulnya.
Dalam huraiannya beliau menyebut betapa Nabi Nuh A.S. mendapat tentangan dari umatnya yang liat untuk menerima dakwah dan menuduhnya sebagai tidak rasional apabila membina kapal di tengah padang pasir untuk menyelamatkan diri dan pengikut dari banjir besar.
Situasi seumpama sedemikian juga berlaku di dalam masyarakat moden yang enggan menerima pendekatan dan kebaikan Islam di dalam pentadbiran, politik dan kemasyarakatan. Bukan setakat enggan, tetapi bertindak dan melakukan berbagai sekatan. Tugas kita sebagai pendukung dan pendakwah Islam adalah meneruskan perjuangan keislaman di dalam berbagai bidang, walaupun mendapat tentangan dan sekatan. Ujian yang kita hadapi sebenarnya kecil, berbanding dengan ujian yang diterima oleh para nabi dan rasul.
Dalam huraiannya YB Ustaz Nasharuddin mengingatkan di samping kita patuh dengan perintah Allah, berusaha dan berjihad bagi menegakkan Islam kita dituntut menjauhi dari Taghut. Taghut menurut Ustaz Nasharuddin ialah ``Sesuatu tindakan yang dilakukan melampaui had.
Beliau mencontohi amalan taghut ialah pemerintahan zalim dan dictator sebagaimana berlaku di Tunisia dan Mesir, menyebabkan rakyat bangkit menjatuhkan Ali bin Zainal Abidin di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir.
ADUN Bangi sebelumnya berucap ringkas berterima kasih di atas kesudian YB Ustaz Nasharuddin hadir ke majlis yang diadakan dan menyampaikan maklumat mengenai kegiatan yang dijalankan di Serdang, khususnya di Bangi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment