February 8, 2011

Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Islam Puchong (SMIP)

Puchong, 28 Safar = 2 Februari (Rabu):


SMIP adalah lambang kegigihan satu jamaah pendidik yang berusaha menyediakan Pendidikan Peringkat Menengah Islam yang amat kekurangan tempat, khususnya di negeri Selangor. SMIP didirikan sejak 13 tahun yang lepas. Biarpun dengan segala kekurangan SMIP berjaya mendidik pelajar-pelajar dengan keilmuan dunia-akhirat berkembang maju dan melahirkan pelajar-pelajar berjaya yang menamatkan pengajian di dalam dan luar Negara.


Hari ini SMIP bagi kali ke 12 mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar. ADUN Bangi dijemput sama bagi meraikan pelajar-pelajar berjaya. Persediaan majlis di bawah Pengarah Ustaz Aznur bin Abdullah dan AJKnya dengan tetamu-tetamu jemputan yang hadir selain dari ADUN Bangi ialah Ustaz Haji Mohd Nasir bin Yusoff, Ahli MPSJ Zon 12 yang juga selaku Pemangku Mudir, Tuan Haji Yusoff bin Ibrahim Pengerusi Lembaga Pengarah SMIP, Puan Norhani bt. Ismail selaku Koordinator dan ibu bapa pelajar-pelajar.


Majlis Anugerah Kecemerlangan pada malam itu bermula dengan ucapan alu-aluan dari Pengarah Program Ust. Aznur bin Abdullah yang berterima kasih kepada semua jemputan dan ibu bapa yang sudi datang meraikan kejayaan pelajar-pelajar dan memeriahkan program sesuai dengan tema pada tahun ini ialah, ``Kejayaan Anda Kebanggaan Kami.``


Pengerusi Lembaga Pengarah Tuan Hj. Mohd. Yusoff bin Haji Ibrahim di dalam ucapannya melahirkan kesyukuran kepada Allah, kerana Majlis Kesyukuran Kejayaan sekali lagi dapat diadakan. Kejayaan menurutnya paling utama di atas usaha gigih pelajar-pelajar dengan bantuan guru-guru dan doa ibu bapa. Beliau berharap kejayaan yang dicapai pada peringkat kini menjadi dorongan kepada pelajar-pelajar untuk meneruskan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi. Beliau tidak lupa berpesan kepada pelajar-pelajar yang belum berjaya, jangan putus asa, bahkan perlu meningkatkan lagi usaha agar kejayaan yang diimpikan selama ini akan dapat dicapai. Pesannya, jadikan kejayaan teman-teman sebagai dorongan dan semangat bagi diri untuk mencapai kejayaan. Beliau mahu pelajar-pelajar bukan saja cemerlang di dalam bidang akademik, tetapi juga dari segi syakhsiah dan akhlak. Mewakili Lembaga Pengarah beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kejayaan program, lebih-lebih lagi kejayaan pelajar-pelajar. Semoga mereka akan terus mengharumkan nama SMIP.


ADUN Bangi selaku Pembantu Exco Agama Islam dan Adat-Adat Melayu berterima kasih kerana diberi penghormatan merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Kali Ke 12 dan mengucap tahniah kepada pelajar-pelajar, khususnya SMIP yang telah menabur bakti memperkembangkan pendidikan Islam sejak lebih sedekad yang lepas. SMIP sebenarnya secara langsung atau tidak secara langsung membantu menyediakan tempat kepada ibu bapa dan anak-anak yang mau meneruskan pengajian mereka secara didikan Islam. Sebenarnya kita amat memerlukan sekolah-sekolah sedemikian lebih banyak lagi. Sekiranya pihak SMIP berhasrat mau membuka cawangan sekolah-sekolah sedemikian pihak negeri amat mengalu-ngalukan. Sememangnya pihak negeri mempunyai banyak persekolahan Agama, terutama pada peringkat rendah, tetapi kurang pada peringkat menengah. Dulu Negeri mempunyai 23 buah Sekolah agama menengah, tetap pada zaman pemerintahan kerajaan BN diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Sungguhpun kita masih mempunyai hak dari segi bangunan dan hartanah, tetapi suara kita terhad. Pelajar dari Sekolah-sekolah agama terhad dan bersyarat untuk memasukinya, sebab itu pelajar-pelajarnya adalah lebih ramai dari Sekolah rendah biasa, manakala pelajar-pelajar agama tetap kekurangan tempat. Kerajaan negeri kini berusaha untuk mengadakan pengajian menengah agama yang dikenali sebagai Sekolah tahfiz yang setakat ini baru berjumlah dua buah iaitu di Shah Alam dan Kuala Langat. Dalam hal ini ruang adalah terbuka luas bagi pengusaha-pengusaha dan badan-badan pendidikan yang mau mendirikan pengajian Islam pada peringkat menengah di negeri Selangor dan kerajaan negeri adalah memberi galakan.

Dari segi galakan kerajaan negeri selain dari menyediakan berbagai-bagai pengajian Islam dari peringkat rendah, menengah dan tinggi, kerajaan negeri juga menyediakan kemudahan pengajian seperti bantuan anak-anak miskin, tetapi maju di dalam pelajaran, menyediakan asrama pengajian di bawah Yayasan Selangor, menyediakan hadiah masuk universiti, bahkan menyediakan pinjaman/biasiswa pengajian tinggi tanpa faedah. Saluran bagi anak-anak Selangor meningkatkan pengajian adalah terbuka, yang perlu kepada anak-anak Selangor adalah kesungguhan.


Majlis diakhiri dengan penyampaian Anugerah Cemerlang pada peringkat Penilaian Menengah Ugama (7 orang), Penilaian Menengah Rendah (5), Sijil Menengah Ugama (13) dan SPM (3), iaitu Noorshaqeela bt. Mohd Hishamuddin, Shakinah bt. Sharif dan Nur Husna bt. Hj. Roslan. Hadiah tokoh pelajar ialah Mohd Asyraff bin Razali (Putera) dan Nur Azira bt. Azahari (Puteri). Selamat Maju Jaya - semoga mendapat Hidayah dan Taufiq dari Allah.


Sekian.

1 comment:

  1. Sekolah ku dulu.. tapi sampai form 2.. group pertama yg masuk sekolah tu.. time tu uniform warna ungu.. hehe..

    ReplyDelete