February 6, 2011

Aduan Dari Penduduk Taman Bukit Permai, Kajang

Taman Kajang Baru, Kajang, 28 Safar = 02 Februari (Rabu):


Kami turun bersama dengan Sdr. Mohd Adram Musa, Ahli MPKj Zon 22, Encik Fazli Wakil dari MPKj dan beberapa penduduk antaranya En. Yunus (selaku jurucakap – penduduk di sini belum mempunyai persatuan penduduk), En. Gunalan, En. Hadi dan Puan Marry Masalami (Bekas Pembaca Berita RTM Satu).


Mereka membuat aduan, bahawa Syarikat Perumahan Ara Asa yang telah memulakan operasi pembangunan perumahan berhampiran taman perumahan mereka sejak 3 Disember 2010 lepas mendatangkan banyak masalah kepada penduduk. Kami dibawa melihat tembok sempadan dengan perumahan yang kelihatan rekah dan tidak stabil dan kemungkinan runtuh menimpa kawasan perumahan mereka dan amat membahayakan. Mereka secara tidak professional menebuk sekatan air agar air hujan turun ke perparitan kawasan rumah mereka. Lebih dari itu lori-lori berat melalui hadapan dan dalam kawasan perumahan, terutama Jalan 3 dan Satu menyebabkan jalan retak dan pecah. Kemasukan lori-lori 20 minit satu lori (sengaja diatur) yang seberat 40 tan bukan saja merosakkan jalan, tetapi membahayakan keselamatan anak-anak yang suka bermain di kawasan perumahan termasuk berbasikal.

Menurut En. Yunus, pada musim hujan ini berlaku banjir lumpur yang bukan saja memenuhi perparitan, tetapi mengalir mengotorkan jalan-jalan. Menurutnya Syarikat Ara Asa berkenaan membuat hump melencong jalan bagi menyekat dan mengalirkan air Lumpur ke longkang. Hump yang bersifat tajam bukan saja merosakkan pandangan, tetapi merosakkan tayar kereta. Menurut En. Yunus pertemuan penduduk yang pernah diadakan pada 1.2. 2011 dan dihadiri 30 orang penduduk mau syarikat berkenaan tidak menggunakan jalan taman berkenaan. Syarikat Ara Asa, menurutnya seharusnya menggunaklan Jalan Tok Kong yang tidak mengganggu kawasan perumahan. Mereka juga maukan hump yang dibuat secara tidak professional dipecahkan.

Menurut En. Yunus, pernah beberapa tahun dulu syarikat perumahan sedemikian mahu bangunkan perumahan di tempat sekarang dan berbincang dengan penduduk, tetapi penduduk tidak menyetujui. Kali ini nampaknya tanpa perbincangan, mereka buat projek tanpa berbincang dengan penduduk. Mereka membantah sikap pemaju yang tidak menghormati penduduk.

Pihak MPKj yang diwakili saudara Fazli dan Ahli MPKj, saudara Mohd Adram berjanji akn membawa perkara ini kepada pihak MPKj. Adun Bangi menyokong supaya tindakan sewajarnya diambil bagi menjaga kepentingan penduduk.


Sementara itu, selepas menghadiri ke lokasi aduan penduduk Taman Permai, Adun dan saudara Adram dijemput oleh beberapa penduduk Apartment RPS berdekatan. Mereka melahirkan kebimbangan tanah tinggi bersempadan dengan perumahan di bawah mendap dan jalan berhampiran rekah. Mereka bimbang berlaku keruntuhan. Akibat kebimbangan ini separuh dari penduduk apartment telah berpindah dan ada yang melelong rumah-rumah apartment mereka dengan harga murah hingga serendah belasan ribu ringgit sahaja. Kediaman kelihatan sunyi, kerana kekurangan penghuni. Keadaan tebing di tepi perumahan bukan saja membimbangkan penghuni-penghuni, tetapi penduduk-penduduk perumahan Kajang Baru bersempadan dengannya yang kami juga sering terima aduan tanah runtuh, khususnya bila hujan lebat. Masalah ini masih tidak terselesai, selain dari tindakan menutup permukaan tanah dengan plastic secara sementara.


Sekian.

No comments:

Post a Comment