Sebagaimana dimaklumi melalui media, pilihanraya kecil Merlimau di Melaka dan Kerdau, Pahang akan dijalankan serentak dan penamaan calon akan dilakukan pada 26 Februari, dan hari mengundi seminggu berikutnya. Negeri Selangor ditetapkan oleh pimpinan pusat membantu jentera parti Pakatan (Pas) di Merlimau. Semua kawasan dikehendaki turun menurut jadual yang ditentukan. ADUN Bangi kali ini dikehendaki mengetuai Kumpulan A (Serdang, Sepang, Hulu Langat dan Kelana Jaya), terawal mulai 21 – 23 Februari. Oleh kerana mempunyai tugas penting yang telah lama diatur, maka mesyuarat kawasan malam tadi menghendaki kawasan mesti pergi dengan jumlah 4 orang sebagaimana dikehendaki, maka pada pagi ADUN bertolak ke Merlimau bersama saudara Shahrum, Amir Othman dan Tuan Haji Mokhri.
Dalam mencari Rumah Selangor beralamat di KM. 36, Kg.Chin Chin (berasal dari nama orang Cina, bukan cincin yang dipakai dijari), kami menjangka sebuah rumah yang banyak memasang bendera Pas, adalah rumah yang dicari. Kami singgah dan bertanya. Kami diberitahu seorang anak muda Encik Kamil, bahawa ayahnya memanglah Ketua Cawangan Pas Kampong Terentang yang bekerja sebagai pegawai di Felda Pahang (berulang harian), tidak ada dirumah, pergi kerja (kami membuat kesimpulan tidak semua orang Felda menyokong BN). Kami diberitahu oleh En. Kamil `Rumah Pas` lebih kurang dua km. dari situ berdekatan surau. Bila tiba kami dapati `Markas Penerangan Pas Selangor` di situ memang selesa. Tetapi Rumah Selangor bukan di situ. Kami mendaftar dan menurunkan barang-barang yang kami bawa untuk membantu kempen. Kami dapati semua jalan-jalan masuk baru ditarkan, termasuk kawasan surau. Kami juga meninjau ke jalan ke belakang yang ditarkan membawa ke kubur Al-Marhum Wakil Rakyat (ADUN) yang baru meninggal – Encik Khidir. Dimaklumkan bahawa Al-Marhum YB En. Khidir yang merasmikan kawasan kubur tambahan, berdekatan kubur lama, rupanya beliau juga terawal rasmi dikuburkan di tapak yang beliau rasmikan.
Di rumah Penerangan Pas Selangor ini diketuai (Mas`uli) ialah saudara Khairol dengan sejumlah lebihkurang 10 orang muslimin dari kawasan-kawasan yang ditentukan berada di bawah khemah di hadapan rumah. Mereka terutama kalangan yang muda telah bertugas memasang bendera, Terdapat sekelompok muslimat yang singgah sementara (mereka mempunyai dua buah penginapan). Muslimat telah keluar mencula. Kita dimaklumkan buat masa ini masih kurang dari pembantu tempatan. Setelah berbincang berkenaan kegiatan, kami dibawa Cikgu Rahmat yang sentiasa hadir secara berterusan di mana pilihanraya kecil diadakan. Sdr. Kamaruddin yang juga sering hadir sudah datang, tetapi terpaksa pulang sementara. Rumah Selangor lebih kurang dua km dari Markas Penerangan Selangor. Rumah ini agak ke dalam, di dalam kebun buah-buahan. Rumah juga agak selesa dan murah sewanya. Antara rumah yang ditawarkan (untuk muslimat) adalah secara percuma.
Masa kami tiba di rumah Selangor bagi muslimin ini, ketuanya (En. Abdullah) keluar membeli di pasar, kami terpaksa menunggunya pulang, kerana rumah berkunci. Rumah yang dikelilingi pokok buah-buahan yang agak luas tanahnya agak selesa dan lengkap dengan peralatan. Sesudah En. Abdullah pulang, kami turunkan 4 botol besar air mineral yang dibawa dari Bangi, untuk digunakan di sini. Agak lama kami di sini bercakap-cakap terutama dengan Cikgu Rahmat, terutama pesanan-pesanan bagi mereka yang ditugaskan mewakili parti pada hari mengundi dan strategi-strategi kempen yang harus dilakukan. Semasa berbincang kami dihidang dengan ubi kayu rebus. Ubi ini diberi oleh salah seorang penduduk semasa berkempen ke rumahnya. Chin Chin yang ditugas kepada pasukan amilin dari Selangor ini mempunyai 2,153 pengundi yang 65% daripada mereka adalah pengundi Melayu. Pada pilihanraya 2008 calon Pas Mejar (B) Jasme Tompang yang juga YDP Pas Merlimau kurang 486 undi di Chin Chin. Pengundi keseluruhan di Merlimau ialah 10,766 dengan 2,300 Cina dan 1,507
Selepas perbincangan kami pulang ke Markas Penerangan Selangor, bersembahyang jamaah zohor & Asar (jamak-qasar) di surau berhampiran dan kembali ke markas, makan tengahari, dimasak di sini. Setelah menyerahkan peruntukan Serdang kepada pihak Negeri di sini melalui saudara Khairol, kami memaklumkan kepada Cikgu Rahmat untuk meninjau semua kawasan DUN Merlimau dan mungkin tidak kembali ke rumah Selangor, kerana pada malam ini ADUN akan menghadiri Mesyuarat Perhubungan Negeri di Gombak.
Kami keluar menuju ke Pekan Merlimau. Kita dimaklumkan nama Merlimau berasal dari sejarah, bahawa pada kurun ke 17 Raja Haji dari keturunan Bugis yang pernah bertapak di Riau dan Johor pernah berusaha melepaskan Melaka dari penjajahan Belanda (selepas Portugis). Tentera Raja Haji menjadikan Merlimau tapak bagi penyerangan. Di sini pasukan Raja Haji `Memerlimaukan Senjata-Senjata` - Acara mempersiapkan kelengkapan senjata. Sebab itu tempat ini dinamakan Merlimau. Dalam serangan itu dikatakan pasukan Raja Haji mencapai kemenangan, tetapi beliau diracun dan mangkat di Teluk Ketapang dan dikebumikan disana (berhampiran Teluk Mas).
Dalam perjalanan ke Pekan Merlimau kami bertembung dengan Menteri yang datang mengumumkan calon BN diiringi pasukan polis trafik, kami melawat Markas Penerangan Pas Melimau berhadapan Perpustakaan Merlimau, melihat tapak bakal diisytiharkan calon Pakatan (Pas) di Pasti As-Salihin di sini. Singgah melawat model rumah asli Melaka, iaitu Rumah Bekas Penghulu Mat Natar yang menjadi rumah bersejarah dan menarik perhatian pelancong dan menjadi bahan iklan yang mencirikan Melaka. Kami juga singgah menikmati ikan bakar di warung Ikan Bakar bersetentang dengan Pulau Besar, iaitu di Pernu.
Semasa berada di sana terdapat dua banner yang digantung yang berbunyi mencabar Tuan Haji Muhammad Sabu yang tidak rasional untuk dinilai di kawan pilihanraya ini. Dua banner tersebut berbunyi "Mat Sabu jangan berani cakap sahaja, turun bertanding di Merlimau" dan satu lagi "Kami mahu Mat Sabu bertanding di Merlimau, ada berani?"
Jam 5.30 kami bertolak pulang ke Bangi dan tiba jam 6.30 dan segera bersiap bergegas ke Gombak bersama saudara Mustafa bin Haji Ismail bagi menghadiri Mesyuarat Perhubungan Negeri di sana.
Terima kasih.
Sekian.
No comments:
Post a Comment