Sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di padang Taman Jasmin di atas mulai jam 2-00 hingga 4.00 petang mendapat sambutan di luar dugaan dari penduduk setempat yang terdiri dari berbagai-bagai kaum, khususnya dari kalangan kaum Cina di samping Melayu dan India. Majlis juga diserikan dengan kehadiran warga mas dan anaka-anak. Jumlah mereka yang hadir dijangka lebih kurang 2,000 orang. Jemputan yang dibuat terhadap mereka melalui kad yang disampaikan secara langsung dalam siri ziarah ke kawasan Taman Jasmin sejak Jumaat lepas, di samping jemputan melalui poster, bunting dan melalui blog. Maklumat telah dihebahkan sejak sebulan yang lalu. Sambutan ini dianjur secara bersama oleh ADUN Bangi dan Ahli Parlimen Serdang.
Hadir pada sambutan ini ialah YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, juga ahli-ahli MPKj yang terdiri dari Tuan Haji Shafie Ngah Ahli MPKj Zon 23, saudara Yusof Bachik Ahli MPKj Zon 21, saudara Chandra Mohan Ahli MPKj Zon 14, pemimpin setempat dan pemimpin NGO.
Majlis bermula dengan Tarian Singa yang menyambut kehadiran Adun Bangi dan diikuti kehadiran YB Ahli Parlimen Serdang, sedang para jemputan memenuhi khemah-khemah – termasuk anak-anak yang ceria dengan Tarian Singa. Dalam ucapan alu-aluan YB Teo Nie Ching menyebut, ``Walaupun tempoh masa sebenarnya bagi Sambutan Tahun Baru Cina telah berlalu, tetapi sebagaimana adat orang Melayu yang menyambut Idul Fitri melangkaui sebulan, maka begitu juga bagi Sambutan Tahun Baru Cina ini juga turut sama mengadakan sambutan sehingga sebulan.`` YB Teo Nie Ching juga menyatakan kegembiraan dengan kehadiran berbagai-bagai kaum ke Majlis sambutan. Semua kaum menurutnya sama hadir bila diadakan sambutan Idul Fitri, sambutan Ponggal dan Sambutan Tahun Baru Cina. Ini benar-benar bersifat Malaysia. Beliau mahu sikap dan semangat seperti ini diteruskan di dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.
YB Dr. Shafie dalam ucapan perasmiannya berterima kasih kepada semua pihak, penduduk tempatan yang terdiri dari pemimpin-pemimpin, warga emas, pemuda dan anak-anak yang datang memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini. Dr. Shafie menyatakan, kita adakan sambutan Tahun Baru Cina pada setiap tahun sebagaimana kita juga mengadakan sambutan bagi perayaan kaum-kaum lain. Kita memilih tempat berlainan pada setiap tahun dan pada tahun ini kita memilih Taman Jasmin bagi mengadakan sambutan Tahun Baru Cina bagi mendekatkan hubungan pemimpin dengan masyarakat setempat dan masyarakat setempat juga mengeratkan hubungan dengan kalangan jiran tetangga mereka. Dr. Shafie berterima kasih kepada penduduk, ketika beliau, YB Teo Nie Ching dan pengiring-pengiring membuat lawatan ke rumah-rumah antaranya bagi menjemput hadir ke sambutan Tahun Baru Cina dengan mendapat layanan yang baik dari penduduk-penduduk yang dilawati. Beliau berharap hubungan mesra yang terjalin antara pemimpin dan penduduk akan diteruskan.
Selepas perasmian jamuan makan dimulai dengan minu pelbagai dari nasi lemak, mee goring, rendam ayam dan berbagai-bagai kuih yang disediakan. Semasa penduduk menikmati jamuan penyampaian bantuan kepada warga mas diadakan. Penyampaian juga dilakukan kepada Rumah Orang Tua dan Anak-Anak Yatim, Ang Pau disampaikan kepada anak-anak yang diminta berbaris untuk menerimanya dari Adun, Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli MPKj. Kegembiraan terbayang di wajah anak-anak. Ang Pau juga disampaiakn kepada warga-warga mas dengan YB Teo Nie Ching dan Adun Bangi memilih mereka yang berada di bawah-bawah khemah bagi menyampaikan ang pau.
Majlis berjalan dengan meriah dan baik dengan makanan yang disediakan mencukupi dan majlis berterusan hingga jam 4.00 petang bila tetamu dan orang ramai mulai bersurai.
Sekian.
No comments:
Post a Comment