Usaha mendirikan surau dilakukan di sini selepas mengenal pasti tapak surau sekarang ini. Pada permulaan didirikan bangunan setingkat sebagai balai musalla, tanpa dinding. Bangunan ini digunakan sejak tahun 2007. Usaha membina sebuah surau secara sempurna dan lengkap dilakukan sejak dari masa itu. Tokoh utama yang mengusahakan pembinaan surau sekarang yang dirasmikan pada hari ini ialah Ybhg. Dato` Us. Hj. Mohd Daud Che Ngah bersama AJK beliau. Mereka mencari derma bagi mencukupkan dana pembinaan. Menurut Dato` Hj. Mohd Daud Bekas Pegawai Kanan Tabung Haji dan kini terus menjalankan kegiatan syarikat Haji dan Umrah dalam ucapan alu-aluannya dalam usaha mencari dana,
``Dalam tempoh tiga tahun di mana saja, saya mengajar dan berceramah, saya membentangkan sejadah atau mengedarkan tong derma untuk membina Surau Ar-Raudhah ini.``
Menurut Dato` Hj. Mohd. Daud, hasil dari pungutan derma secara di atas dapat dikumpulkan sebanyak RM160,000.00 dan dicampur dengan derma-derma yang lain dari berbagai pihak berjumlah RM270,000.00 yang dapat dirikan Surau Ar-Raudhah sebagaimana kini, di samping mengekalkan Balai Musalla yang lama yang menjadi sebahagian dari kompleks surau. Beliau berterima kasih kepada semua penderma dan kepada semua pihak yang menjayakan pembinaan Surau Ar-Raudhah yang pada hari ini dapat dirasmikan.
Perasmian Surau Ar.Raudhah pada petang ini dilakukan oleh Yang Berbahagia Dato` Wan Mohamad Bin Dato` Sheikh Abd. Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Hadir sama dalam Majlis Perasmian pada petang ini ialah Adun Bangi, Tuan Haji Othman bin Mokhtar Imam Masjid Pekan Bangi yang juga mewakili Nazir masjid, Tuan Haji Zakaria Ketua Kampong Pekan Bangi, En. Azlan Ketua Kampong, Kampong Bahagia Bangi, Dato` Sabki Mahmud selaku Penaung Surau serta penduduk setempat yang berjumlah lebih kurang 100 orang.
Sememanglah dilihat dari program yang diaturkan di Surau Ar-Raudhah secara berterusan adalah surau yang aktif dengan kegiatan ilmu antaranya ialah pengajian tafsir, pengajian Hadith, Aqidah, Fiqh, Kelas Tajwid dan Al-Qur`an, Kuliah Subuh – Tanbihul Ghafilin, Kelas Al-Qur`an Wanita, Kursus Haji dan Umrah, Kursus Pengurusan Jenazah, Seminar Keibubapaan, Motivasi Remaja, Manakala aktiviti sosial yang dianjurkan oleh surau ialah sambutan-sambutan perayaan dan hari-hari kebesaran, kejohanan Futsal dan sebagainya. Melihat kepada kegiatan-kegiatan yang diatur sebagaimana disebut oleh Dato` Wan Mohamad kita rasa cemburu dan ingin bersama dengan kegiatan-kegiatan yang amat berfaedah tersebut.
No comments:
Post a Comment