Kursus – semacam seminar, Anak Saleh Dan Salehah di atas adalah atas inisiatif Muslimat Seksyen 7, Bandar Baru Bangi dengan kerjasama Pasti Siti Sarah dan Pejabat Adun. Kursus ini berlangsung di Bilik Cempaka, PKNS di Bandar Baru Bangi. Penyampai Ceramah Utama yang dijemput ialah Prof. Madya Dr. Harlina Siraj, Pensyarah dan Pakar Sakit Puan, UKM. Beliau juga bergerak di dalam NGO yang juga terkenal sebagai Pakar Motivasi.
Hadir di dalam majlis ini ialah, Tuan Haji Shafie Ngah Ahli MPKj, Ustazah Mariam Ketua Muslimat Cawangan Seksyen 7, Puan Hamzatul Azura selaku Pengarah Program dan peserta lelaki, perempuan dan anak-anak yang berjumlah lebih kurang 200 orang.
Adun Bangi dalam ucapan pembukaannya mengucapkan tahniah kepada AJK yang berjaya mengadakan ceramah bagi kursus di atas dan berterima kasih kepada Ybhg.
Anak perlu dididik sejak dari dalam kandungan dengan menjaganya dari segi fizikal dan rohani yang mempunyai pertalian antara ibu bapa dan anak-anak. Bila lahir tugas lebih bertambah dan mencabar, tugas bukan saja setakat menyediakan makan minum, tetapi lebih penting membenturnya dengan didikan keagamaan dan ilmu pengetahuan baik di rumah membawalah ke Sekolah. Tugas pendidikan paling utama adalah bagi ibu bapa, guru-guru dan perhatian perlu diberi terhadap pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya dan masyarakat. Adun berpendapat perkara ini akan disentuh oleh pakar motivasi kita.
Dari segi kerajaan yang memerintah, kita di Selangor menurut Adun memberi perhatian yang utama terhadap pendidikan. Dari segi pendidikan keagamaan kita sediakan sekolah-sekolah agama dari berbagai peringkat dari pra sekolah ke sekolah rendah, menengah hingga ke universiti. Kita juga menyediakan pendidikan melalui masjid dan surau.
Dari segi galakan, sejak dari lahir kerajaan sediakan Skim Tawas, membantu yang miskin, memberi insentif kepada yang berjaya. Memberi peruntukan RM1,000 kepada pelajar Selangor yang berjaya masuk ke universiti dan menyediakan pinjaman atau biasiswa kepada mereka yang berjaya masuk ke universiti, Pendek kata ruang terbuka bagi pelajar-pelajar Selangor mendapat pelajaran dari peringkat serendah-rendah hinggalah ke universiti. Adun berharap kursus bimbingan dan motivasi seperti pada hari ini akan terus dapat diadakan dari masa ke masa menepati dengan tuntutan Islam yang menggesa umatnya belajar sepanjang hayat. Kerajaan Selangor sendiri melalui agensi-agensinya sering mengadakan kursus yang dikenali sebagai `Keluarga Sakinah`.Kita mau Selangor menjadi negeri yang mementingkan keilmuan dan pendidikan. Apa yang diingini oleh pihak penganjur menurut Adun adalah menepati apa yang diingini oleh pihak Kerajaan.
Dari apa yang dapat Adun ikuti sebahagian dari ceramah yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Harlina beliau telah menerangkan konsep anak saleh dan salehah, murabbi dan muslih. Beliau menekankan kepentingan keluarga sebagai unit asas bagi masyarakat. Islam amat menekankan tentang pembinaan dan pengukuhan keluarga. Keluarga bahagia dan bervisi merancang pendidikan anak-anak dengan cara terbaik. Keluarga hendaklah menjadi contoh teladan bagi anak-anak. Misalnya minat terhadap ilmu, menunjuk teladan dari segi mementingkan keilmuan dan pembacaan, bahkan bimbingan dari segi ibadat. Dr. Harlina membentangkan satu dapatan kajian terhadap ruang keagamaan (forum dan ceramah) serta hiburan di saluran Tv.
Menurut kajian itu, mereka yang suka mengikuti ruang keilmuan agama seperti forum, ceramah dan halaqah dan yang seumpamanya adalah dari negeri Selangor, manakala merekayang suka kepada ruang hiburan ialah dari negeri Melaka dan Johor. Al-hamdulillah usaha kita menjadikan Selangor negeri yang mementingkan ilmu dan didikan keagamaan kepada rakyatnya mulai menampakkan kejayaan. Insya Allah hasrat ini akan terus dipertingkatkan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment