April 16, 2019

ARUS BALIK DAN TSUNAMI POLITIK MELAYU ? ANALISA RINGKAS


ARUS BALIK DAN TSUNAMI POLITIK MELAYU ? ANALISA RINGKAS
(Fikrah Bangi: 196),
BBB, 10 Sha`ban 1440H. = 16 April 2019M. (Selasa).
Dua kenyataan keras dikeluarkan oleh tokoh penting berikutan keputusan PRK Rantau pada 13 April lepas. Tun Daim Zainuddin memberi amaran untuk melihat dalam tempoh 6 bulan adakah kerajaan PH mampu membuktikan kejayaan mentadbir negara. (Sinar,  15.4.2019: 1). Manakala satu lagi amaran juga keras kepada kerajaan PH, oleh Profesor Ke Ping, bahawa berlaku tsunami Melayu sejak PRK Cameron Highlands pada 28 Januari 2019 membawalah kepada PRK Semenyih 2 Mac 2019 hinggalah kepada PRK Rantau 13.4.2019. Mulai dari awal tahun 2019 memperlihatkan bahawa `Tsunami Melayu` berlaku yang menenggelamkan PH pada ketiga-tiga PRK secara berturut-turut.
Apa yang dikatakan oleh Tun Daim Zainuddin adalah kebenaran. Sebelum daripada amaran terbarunya, beliau telah membuat teguran tentang pentadbiran PH yang dikendalikan secara tidak berpengalaman dan lemah. Beliau menyebut tentang janji-janji PH yang tidak ditunaikan dan kelemahan dari segi ekonomi sehingga ditubuhkan  Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (UM 12.2.2019: 3). Tetapi nampaknya tidak dapat meringankan beban rakyat yang bergelut dengan kenaikan harga barang  dan kesempitan hidup yang mereka hadapi seperti mahasiswa, petani, nelayan, pekerja sawit, penoreh getah dan buruh yang mereka terpaksa mengikat perut. Dalam konteks ini Tun Daim mengeluarkan amaran kerasnya, agar apa yang dihadapi rakyat dapat di atasi.
Berhubung dengan pendapat Profesor Ke Ping, kita kurang bersetuju dengan kemenangan BN di ketiga-tiga PRK secara berturut-turut mulai dari awal tahun 2019 itu sebagai `Tsunami Melayu`. Ketiga-tiga PRK berkenaan tidaklah sampai kepada peringkat `Tsunami` sebagai keputusan pilihanraya ke 14 pada 9 Mei 2018 yang memang boleh dinamakan `Tsunami Rakyat`.
Kita masih melihat ianya masih  sebagai `Arus Balik` yang makin deras, jika tidak disekat boleh mengakibatkan `Tsunami`. Namun begitu kita setuju dengan pendapat Prof. Ke Ping, bahawa Melayu menyedari bahawa `Melayu Semakin dihancurkan !` (UM, 15 April 2019: 16). Ini dapat disedari Melayu, sebaik kemenangan PH, pemudanya dengan angkuhnya menafikan `Ketuanan Melayu.. Raja-rajanya dihina oleh mereka yang tidak bertanggungjawab di media-media sosial. Tindakan tegas terhadap mereka wajar diambil, tetapi dikatakan, ``Undang-Undang Hina Raja Tidak Kuat.`` (UM, 16.4.2019: 6). Sementara itu tanpa diperkatakan secara langsung, usaha merendah dan mengkesampingkan bahasa Melayu sedang berlaku di media-media letronak dan dalam acara-acara rasmi yang sewajarnya digunakan bahasa Kebangsaan, tetapi tidak dilakukan. Ruang-ruang yang membicarakan rakyat jelata sepatutnya disampaikan di dalam bahasa Melayu, tetapi dilakukan sebaliknya. Kita merasakan secara tidak tersurat, bahawa bahasa Melayu  dihina secara teratur dan berstrategik.
Berkata YB Xavier Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (sahabat Penulis di dalam Dewan Negeri Selangor dulu), bahawa beliau hairan bahawa pihak kerajaan PH telah mendedahkan penyelewengan Felda, Tabung Haji, Tabung Angkatan Tentera, Kes IMDB dan lain-lain lagi, rakyat khususnya Melayu sepatutnya  menyokong PH. Perlu diingatkan kepada Xavier, disebalik kes-kes berkenaan Melayu amat merasa malu dan terhina, bahawa yang pecah amanah adalah Melayu, yang menggelapkan Tabung-Tabung Amanah dan berbagai-bagai lagi kesalahan yang diseret ke mahkamah adalah Melayu. Implikasinya bahawa yang tidak jujur Melayu, yang menipu Melayu, yang mencuri adalah Melayu, yang tidak bermoral adalah Melayu dan berbagai-bagai kehinaan terhadap Melayu. Inilah apa yang dikatakan oleh Prof. Ke Ping bahawa Melayu semakin dihancurkan. Melayu tidak tahan lagi dimalukan dengan berbagai elemen yang disebutkan dari awal di atas. Sebab itu mereka mengambil tindakan bercanggah dari tindakan yang mereka lakukan pada 9 Mei 2018 yang lepas. Kesan moral dan tercalarnya identiti Melayu ini tidak mudah dihilang, sebagaimana mudahnya dihilangkan kesan tampak dari segi ekonomi.
Imej, moral, psikologi, identiti dan jati diri Melayu inilah sebagaimana dikatakan oleh Prof  Ke Ping sedang dihancurkan ! Kasihan Melayu.
Sekian.

No comments:

Post a Comment