April 14, 2019

MENINJAU PRK RANTAU


MENINJAU PRK RANTAU
(Fikrah Bangi:  194),
BBB, 08 Sha`ban 1440H. = 14 April 2019M. (Ahad):
Bagi mengalami dan merasai debar dan getar PRK  Rantau, maka pada hari mengundi semalam Penulis bersama saudara Azizi ke Rantau. Kami bertolak dari Bangi jam 9.45 pagi melalui highway  Plus ke Seremban, tetapi oleh kerana jem teruk (ada kemalangan), kami mengambil jalan Nilai ke Labu hingga ke Seremban 2 dan tiba di Sri Sendayan. Di sini melihat lambang-lambang Umno dan PH begitu banyak di kawasan berkenaan yang di dalam pagar ada bangunan besar. Rupanya di situlah tempat perkiraan undi dan pengumuman  akan berlangsung pada malam nanti.
Pada kawasan bangunan berkenaan tiada tempat mengundi, kami mencari tempat pengundian sedang berjalan, sambil itu saudara Azizi berhenti di beberapa tempat dan bertanya mereka yang ada di lokasi tempat mengundi. Saudara Azizi juga sempat meninjau pendapat, tentang calon mana yang menjadi pilihan rakyat. Jawapan yang diterima sama dengan jangkaan banyak pihak, termasuk sebahagian daripada media, bahawa Tok Mat dijangka memenangi PRK Rantau berkenaan. Dilihat kepada postar-postar di jalan dan di lokasi-lokasi penting, nampaknya bendera BN mengatasi bendera-bendera PH.
Dari pemerhatian kami Rantau ini adalah kawasan membangun yang bersambung dengan Seremban Dua, banyak bangunan-bangunan baru yang telah naik dan sedang naik. Pendeknya, selain dari kawasan kampung di pinggiran Rantau dapat disimpulkan bahawa ianya adalah kawasan yang sedang pesat membangun. Ini bererti ianya adalah hasil dari jasa Tok Mat yang menjadi Menteri Besar sejak tiga penggal yang lalu dan bukan dari jasa PH yang baru sepuluh bulan berkuasa. Jadi tepatlah dengan pendapat, bahawa penduduk adalah terhutang budi dan menghormati kepimpinan Tok Mat.
Dalam pencarian kami, kami sampai ke Pusat mengundi yang dikatakan oleh pihak Polis adalah tempat mengundi terbesar. Ada ramai pengundi yang datang dan ramai penyokong dari kedua belah pihak. Tetapi tidaklah sehangat pada pilihanraya yang disaksikan yang lepas, Penyokong berada di luar dengan bendera dan sepanduk calon, tetapi mereka agak sopan dan tidak terjerit atau mengungkapkan sesuatu dengan cara bersemangat. Saudara Azizi dan penulis turun dan meninjau dari dekat, termasuklah saudara Azizi mengambil gambar.
Selepas menyaksikan pusat mengundi di Sekolah Tamil, kami ke Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan yang dikatakan kedua terbesar. Kami melihat tempat ini kurang meriah berbanding dengan Sekolah Tamil. Lantaran itu kami meninjau dari dalam kenderaan sahaja. Selepas itu kami meninjau beberapa lokasi sambil mencari jalan ke luar ke Highway untuk pulang. Dapatlah dikatakan lokasi PRK Rantau tidaklah luas.   Penyokong-penyokong parti tidaklah  di luar kawalan. Mereka beradab dan segalanya berjalan lancar. Kami pulang dan tiba kembali ke Bangi jam 1.00 tengahari.
Pulang selepas solat Isya` dari Masjid Al-Umm keputusan  didapati sebagaimana berikut:
Datuk Sei  Mohamad Hasan  BN  10,397
Dr. Streram PH  5,887
Mohd Nor Yassin Bebas 79
R. Malar  Bebas    83
Majoriti:   4,510
Tahniah kepada Tok Mat yang dapat mencapai undi tinggi dalam kawasan multirasial.
Kemenangan mengukuhkan kedudukan Tok Mat, Umno dan BN, bukan saja di Rantau, tetapi BN sebagai parti terkenal di tanahair dan diharap ianya makin memantapkan BN.
Tugas utama Tok Mat ialah memperkasakan Umno dan BN bersama-sama pasukan yang diamanahkan oleh ahli.
PRK Rantau membuktikan bahawa Unno dan BN bukan parti yang pernah dianggap pihak lawan sebagai parti yang akan mati, tetapi parti yang sedang bangkit menyanggah lawan. Mereka sedang bangkit menyusun barisan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment