April 27, 2019

MESYUARAT MERUMUSKAN KEPENTINGAN DAN ARAH TUJU


MESYUARAT MERUMUSKANAN KEPENTINGAN DAN ARAH TUJU
(Fikrah Bangi: 207),
BBB:  21 Sha`ban 1440H. = 27 April 2019M. (Sabtu):
Mesyuarat adalah penting bagi satu jamaah, kumpulan, bahkan pemerintahan. Telah dibicarakan bahawa seorang tokoh, walau bagaimana bijaksana dan berpengalaman tidak mampu mengendalikan  sesuatu pentadbiran yang mempunyai jamaah dan kumpulan, melainkan melalui permaufakatan. Pentadbiran mungkin melibatkan ahli kariah, atau kumpulan politik dan sebagainya.
Pergerakan ke arah bermesyuarat mungkin dicetuskan oleh sesuatu tujuan yang baik bagi kepentingan jamaah. Misalnya dalam satu kawasan yang baru dihuni – kawasan perumahan baru, disedari misalnya banyak permasalahan yang perlu  dibaiki dan perlu dibuat aduan kepada pihak pentadbiran di bandar bagi tempat yang dihuni. Permasalahan tidak dapat dilakukan secara individu, sebaliknya perlu bertindak secara berkelompok. Lantas masyarakat melihat tokoh yang berpengaruh yang ada hubungan  dengan masyarakat dan pihak pentadbiran, maka ianya ditunjuk dan diharap dapat mengambil inisiatif mengadakan pertemuan antara penduduk. Dari tujuan yang baik terbentuk satu jawatankuasa tidak rasmi yang mengambil inisiatif bagi menyelesaikan masalah penduduk. Maka diadakan pertemuan antara penduduk yang berjumlah puluhan orang yang mnenjadi peneroka yang memulakan perpindahan ke kawasan perumahan baru berkenaan. Hasil dari pertemuan telah mewujudkan `Jawatankuasa Kebajikan Penduduk`. Dari pertemuan dapat memilih seorang Ketua yang dikenali dengan `Pengerusi Kebajikan Penduduk` dengan sama dilantik ialah Setiausaha, Bendahari dan beberapa orang Jawatankuasa.
Pengerusi yang dilantik memang dilihat oleh penduduk orang yang berwibawa, berkelulusan dan berkedudukan Pentadbir bagi institusi yang kebanyakan penduduk bekerja di institusi berkenaan. Dia bukan saja seorang pentadbir yang cekap, berpengaruh, tetapi mempunyai kedudukan di Majlis Perbandaran yang dia juga dilantik menjadi ahli di dalam Lembaga Perbandaran.
Apakah yang diharapkan dari Pengerusi dan jawatankuasa yang dilantik. Mekanisme yang penting bagi Pengerusi ialah mengadakan Mesyuarat bagi membincangkan mandat dan harapan penduduk kepada Badan Kebajikan Penduduk berkenaan. Dapat dilihat pimpinan yang dilantik adalah orang yang paling berwibawa dan sesuai. Mekanisme bagi membincangkan keperluan penduduk ialah melalui mesyuarat. Pengerusi hendaklah mempunyai visi dan misi bagi kepentingan penduduk. Dia adalah pemimpin bagi persatuan Kebajikan, Pemimpin dalam mesyuarat dan diharap darinya dengan bantuan jawatankuasa persatuan dapat mencetuskan gagasan dan cadangan bagi kepentingan penduduk.
Misalnya sebagai satu kawasan yang baru dihuni dan tidak ada persatuan atau badan yang lain sebelum darinya, maka Pengerusi dan jawatankuasa dapat menggariskan keperluan-keperluan yang patut dicadang dan dilaksanakan. Misalnya Pengerusi melihat:
1)      Banyak perumahan yang mereka huni mengalami kerosakan dan perlu secara kelompok membuat aduan kepada pihak pemaju memperbaikinya.
2)      Jalan-jalan perumahan perlu diturap.
3)      Perlu didirikan kedai dan pasar awam untuk memudahkan penduduk mendapat keperluan harian
4)      Penduduk memerlukan sebuah surau bagi memungkinkan mereka beribadat secara jamaah dan menjalankan berbagai kegiatan kebajikan
5)      Untuk jangka panjang bangunan sekolah  Rendah dan menengah perlu segera didirikan.
Hasil dari mesyuarat dapat dilihat cadangan-cadangan yang bernas dan dijadikan tugas yang patut dilaksanakan. Mesyuarat terus diadakan dari masa ke masa bagi melaksanakan tugas dan berbagai-bagai perkara yang berhubung dengan penduduk. Pengerusi dilihat berwibawa dan dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan baik.
Dengan berkat mesyuarat dan berpesatuan kebajikan, maka Persatuan Kebajikan berkenaan melalui mesyuarat diangkat menjadi `Persatuan Penduduk` yang peranannya lebih besar dan mencabar.
Pokoknya dari keperluan setempat bersifat kebajikan, akhirnya Persatuan Kebajikan berkembang menjadi Persatuan Penduduk yang berwibawa yang banyak membawa kemajuan kepada penduduk. Hasil dari mesyuarat-mesyuarat melahirkan tokoh pimpinan yang banyak berjasa kepada penduduk.
Sekian.

No comments:

Post a Comment