April 22, 2019

BERSIH KUBUR SEBELUM RAMADHAN


BERSIH KUBUR SEBELUM RAMADHAN
(Fikrah Bangi: 202),
BBB, 15 Sha`ban 1440H. = 22 April 2019M. (Isnin).
Sama ada ia adalah menurut kehendak agama atau adat, bersih kubur adalah amalan yang baik, kerana jika sekian lama ianya tidak dibersih tentulah ianya dipenuhi semak. Kubur adalah tempat disemadikan orang yang dikasihi oleh waris, sewajarnya ianya diziarahi dan dibersih. Demikianlah menjadi adat yang murni setiap tahun penduduk melalui masjid dan surau mengadakan gotong royong membersih kubur.
 Pada permulaan Bandar Baru Bangi dibuka (1977) penduduk yang kematian keluarga menumpang ke bumi si mati di Kuburan Sungai Tangkas lama, di tepi jalan  di pinggir bukit di ketepian anak Sungai Langat tidak jauh dari Kampus UKM ke Kajang. Selepas sekian lama menumpang di tanah perkuburan di sini dan kawasan yang sempit dan hampir penuh itu, pihak kerajaan memperuntukkan sebidang tanah seluas 32 ekar di tanah bukit kini bersebelahan dengan  Germa Institute, juga berdekatan dengan Taman Universiti juga di Sungai Tangkas. Perkuburan ini mula digunakan pada tahun 2000 (Pada masa Penulis menjadi ADUN Kajang). Pada masa itu agak jauh, tapi kini kelilingnya sudah di kelilingi taman-taman perumahan dan institusi-institusi..
Tanah perkuburan ini diletak di bawah pengurusan Masjid Al-Hasanah yang masjid ini mula digunakan pada tahun 2000 tersebut. Kemudian apabila Masjid Al-Umm mula  digunakan secara rasmi  (Oktober 2018) pengurusan Tanah Perkuburan baru Sungai Tangkas ini disertai sama oleh Masjid Al-Umm.
Pagi ini Ahad (21 April 2019), pihak Masjid Al-Hasanah dan Masjid Al-Umm menganjurkan Gotong Royong bagi membersihkan kubur di Sungai tangkas sebagaimana diadakan sebelumnya secara tahunan, semperna menjelang Ramadhan. Gotong royong bermula dari jam 8.30 pagi dihadiri jamaah dan penduduk, khususnya yang mempunyai waris meninggal di situ. Jumlah mereka lebihkurang 200 orang.
Antara yang hadir ialah Nazir Masjid Al-Hasanah saudara Sufyan dan Setiausaha En. Khalil, Nazir Masjid Al-Umm Dr. Shafie Abu Bakar, Setiausaha Sdr Feisal  dan Penolong Setiausaha saudara Fadhli dan jamaah dari kedua-dua buah masjid, surau-surau dan orang ramai, khususnya waris-waris bagi arwah yang telah meninggal. Turut serta ialah Bekas ADUN Bangi Ustaz Shafie Ngah, sukarelawan dari Hospital Zaharah, termasuk persediaan sebarang kecemasan. Peserta-peserta sebagaimana diperingatkan di dalam pemberitahuan di masjid-masjid dan surau-surau agar membawa peralatan yang sesuai bagi gotong royong.
Kerja-kerja yang dilakukan dari pagi ialah membersih kuburan dari tumbuhan liar (oleh waris), memotong pokok-pokok liar dan mencantas dahan-dahan pokok yang membesar, merumput dan menanam pokok-pokok hiasan. Membersih ruang tapak kubur yang akan digunaka dan membersih bahu jalan dan tepian sempada kubur. Tumpuan khusus ialah membersih dalaman dan luaran surau  - juga tempat urusan jenazah yang agak kotor dan terbiar. Pihak MPKj dihubungi untuk mengangkat longgokan sampah yang dihimpunkan. Kerja-kerja berterusan sehungga jam 11.00 apabila peserta rehat dan minum dan makan (nasi lemak) yang dibawa oleh pihak penganjur dan yang volunteer.
Dalam perbincangan semasa rehat antara Nazir-Nazir, Bekas ADUN  dan sama dijemput penggali kubur, bahawa kuburan yang pada masa ini meliputi empat  ruang yang diguna adalah berjumlah kurang dari 2,000 kubur telah digunaka (satu ruang 500 dan ada yang masih belum penuh). Pihak penggali kubur (En. Bongek dibantu anaknya) diminta patuhi  ruang yang ditentukan untuk minimumkan penggunaan tanah bagi kuburan akan datang. Menurut En. Bongek ukuran bagi kubur ialah 7 x 3 kaki persegi, tetapi jarak antara kubur ialah tiga kaki (lima kubur sekali digali bagi persediaan awal), tapi menurutnya, jarak tiga kak diambil untuk mengelak dari terlempau dekat dengan kubur yang baru dikebumikan. Dalam perbincangan , adalah diharap waris bagi si mati tidak meninggikan lingkungan kubur lebih dari 3 inci dan sekali-kali jangan membuat tingkat. Ada yang buat tiga tingkat. Waris juga tidak dibenarkan membuat tempat duduk di tepi kubur apalagi tidak wajar didirikan pondok, kecuali oleh pihak pengurusan. Menurut Nazir Masjid Al-Hasanah, ``Kita terlepas dari mendapat peruntukan bagi pembaikan yang diperuntuk oleh pihak  Pejabat Daerah, kita cuba mendapatkan sebahagiuan dari peruntuka RM200,000 pada tahun hadapan, khususnya bagi membaiki surau yang telah rosak.
Walau bagaimana urusan perkuburan dan yang berhubung dengannya akan dibincangkan di dalam pertemuan antara nazir-nazir masjid dan di dalam meyuarat nazir-nazir yang dianjur oleh PAID dari masa ke semasa.
Sekian.
Catatan:
Ada kesila[an di dalam makalah semalam 21.4.2019.  Bandar Melayu dimaksudkan ialah Kampung Baru, Kuala Lumpur, bukannya Bandar Malaysia. Walau bagaimana kita menunggu kejayaan perlaksanaannya. Rancangan membangunkan Kampung Baru sudah berkali-kali dirancang dan hingga kini belum menjadi kenyataan. Kesilapan adalah dikesalkan. Maaf.

No comments:

Post a Comment