November 28, 2010

Budaya Reproduksi Di Dalam Kehidupan Meneruskan Generasi Berterusan

BBB, 20 Zulhijah = 27 November (Sabtu):

Bagi meneruskan kelangsungan generasi, kaum, bangsa bahkan umat manusia memerlukan proses reproduksi di dalam kehidupan manusia itu sendiri. Bagi mengawal sistem reproduksi ini supaya tidak kacau dan rosak, perlu ada aturan dan mekanisme yang dapat mengatur, mengawal dan meneruskan sistem reproduksi ini supaya tidak berlaku pertentangan dan kerosakan di dalam aturan agar dapat dijaga misalnya keturunan, kekeluargaan, kemasyarakatan dan kelangsungan secara teratur dan bersih.


Sistem reproduksi ini dikawal oleh antaranya agama, adat, budaya dan undang-undang. Agama Islam umpamanya mengatur proses reproduksi melalui undang-undang munakahat, adat memperkukuhkan agama `Adat Bersendikan Agama`, manakala budaya meningkatkan hukum agama dan adat dan undang-undang dengan amalan-amalan yang memperindahkannya selagi tidak bercanggah dengan nilai-nilai agama. Contoh adat meminang, jemputan kahwin dan penerimaan masyarakat terhadap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Proses kelangsungan dengan aturan, nilai, hukum agama, adat perundangan dan budaya ini berlaku dari kelahiran dengan melakukan tahniq membawa kepada berkhatan, perkahwinan dan kematian. Ini merupakan proses penerusan dari generasi ke generasi hingga kini dan masa akan datang.


Hari ini dan sebelum Adun Bangi menghadiri jemputan-jemputan yang melibatkan proses reproduksi. Jam 1.00 Adun Bangi berada di sebuah taman perumahan berdekatan Taman Tasik Semenyih, iaitu menghadiri Majlis Tahniq bagi cucu sulung saudara Tuan Haji Abdul bin Abdul Karim yang juga cucu sulung bagi besannya iaitu Encik Ahmad Zaini. Cucu mereka diberi nama Haziq Hilmi Bin Mohd Hafiz. Sebelum majlis kami bersembahyang zohor di Surau berdekatan dengan rumah Saudara Haji Abdul. Majlis sebenarnya berlangsung secara ringkas. Selepas bersembahyang kami beredar ke rumah Tuan Haji Abdul dengan memulai majlis dengan doa, bertahniq, bersalawat dan marhaban dan menggunting rambut bayi yang ditahniq dan diakhiri dengan jamuan. Kami sebenarnya menghadiri bukan saja Majlis Tahniq, tetapi juga `secara bergurau` kami kata, menghadiri Majlis Selamat mengangkat Tuan Haji Abdul dan Encik Ahmad Zaini bersama isteri masing-masing dengan pangkat `Dato` secara rasmi dan pangkat ini tidak dapat ditarik oleh sesiapa.


Kami kemudian bergerak ke jemputan Majlis Walimatul Urus yang merupakan rentetan proses reproduksi generasi bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Kajang. Di sini Tuan Haji Ngah Mamud mengadakan jamuan sempena perkahwinan anak mereka Norfaezah dengan pasangannya Norazman bin Mat Ali. Di samping berkesempatan bercakap-cakap dengan Tuan Haji Ngah Mahmud, Adun berkesempatan bergambar dengan pasangan mempelai sebelum memohon diri. Dari sini bergerak pula ke jemputan kahwin anak Tuan Hadie Bin Darris beralamat di No. 58 Jalan 8/27 Bandar Baru Bangi. Adun berkesempatan hadir bersama isteri dan berkesempatan bergambar dengan kedua-dua pengantin Siti Sarah Sinnui Binti Hadie bersama suaminya Muhd. Burhanuddin Bin Yusoh. Adun berusaha untuk menghadiri dua lagi majlis perkahwinan pada hari ini, tetapi mampu berkesempatan hadir hanya tiga jemputan sahaja.


Sesungguhnya majlis-majlis yang melibatkan proses reproduksi seperti di atas, bukan setakat mematuhi nilai agama, tetapi membentuk keindahan budaya di dalam masyarakat yang mengikat kasih sayang, menghubungkan kekeluargaan, tetapi mengukuhkan aturan keagamaan, nilai dan adat yang seharusnya dijaga oleh masyarakat bagi melangsungkan rantaian generasi yang diharapkan mereka menjalani hidup secara bahagia di dalam meneruskan kesinambungan generasi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment