November 18, 2010
Memulih Imej Surau Al-Huda Sempena Idul Adhha
Kajang Sentral, 10 Zulhijah = 17 November (Rabu):
Dalam usaha memulih imej dan mengembalikan semangat jamaah Surau Al-Huda secara khusus dan penduduk Islam di Kajang Sentral (90% Muslim), setelah AJKnya digantung, sempena sambutan Hariraya Idul Adhha Adun Bangi memperuntukkan seekor lembu untuk dikorbankan di surau ini. Pada tahun ini Adun Bangi memperuntukkan 4 ekor lembu ke surau-surau terpilih bagi menyambut Idul Adhha. Selain dari Surau al-Huda, ialah Surau Lembah Mewah, Surau Al-Ikhlas Taman Berjaya dan Surau dan Rumah Pangsa Sungai Ramal Luar.
Bagi memulih Imej Surau Al-Huda, bukan setakat menyediakan lembu kurban, tetapi Adun Bangi sendiri pada pagi Hariraya Idul Adhha ini menjadi Imam dan Khatib bagi sembahyang Sunat Idul Adhha yang surau pada pagi ini dipenuhi oleh para jamaah lelaki, perempuan dan anak-anak. Selepas selesai menunaikan Sunat Hariraya Idul Adhha Adun Bangi bersalin pakaian dan menyertai upacara korban yang diadakan di laman di hadapan surau dengan disaksikan penduduk setempat. Kemudian mereka secara gotong royong melapah lembu kurban, memasak sop tulang dan membahagikan daging korban kepada penduduk setempat.
Adapun Adun Bangi, selepas menyaksikan upacara korban di Surau Al-Huda bergerak ke Surau Taman Lembah Damai. Perumahan Lembah Damai ini berada dipinggiran Bukit Mewah sebelah kanan jalan ke Semenyih, Berhadapan ke Sungai Jelok. Perumahan PKNS di sini didirikan pada tahun 1985. Terdapat lebih kurang 200 buah rumah teres setingkat dengan 168 buah rumah orang Islam . Tiba di Surau Lembah Mewah dapati penduduk Lembah Mewah keluar beramai-ramai, lelaki, perempuan dan anak-anak memenuhi kawasan surau. Menurut Encik Aziz bin Hussain Pengerusi Surau, selain dari seekor lembu yang disumbang oleh Adun Bangi, terdapat dua ekor lembu yang dikorbankan oleh penduduk. Turut hadir Imam Yunus bin Bahari dan Imam Shaari bin Jamal. Adun Bangi lama berada di sini bersama pengiring bercakap, bermesra dan makan juadah raya bersama penduiduk. Acara korban pagi ini dilakukan oleh Imam Isa, iaitu Imam dari Surau Al-Naim, Bukit Mewah berdekatan. Penduduk bergotong royong melapah lembu korban, sementara kalangan wanita menyediakan bahan-bahan masakan sop. Suasana di sini kelihatan begitu meriah sekali.
Selepas menyaksikan upacara korban di Lembah Mewah, Adun Bangi dan rombongan bergerak ke Surau Al-Ikhlas, Taman Berjaya, berdekatan Sungai Chua. Tiba di sini penduduk sedang giat melapah daging korban yang diketuai Pengerusi Surau yang juga Imam surau di sini iaitu Encik Ahmad Shah. Imam satu yang juga hadir ialah Encik Mansur. Ustaz Shafie Ngah turut sama hadir bersama rombongan kami Saudara Fazli Daud, Azizi dan saudara Abu Bakar. Bersama berkorban pagi ini di Surau ini komuniti pelajar Arab yang tinggal di rumah pangsa berdekatan, mereka menyembelih beberapa ekor kambing dan melapah beramai-ramai. Adun Bangi turut sama bercakap-cakap dengan komuniti pelajar dari Timur Tengah ini.
Selepas menziarah upacara korban di Surau Al-Ikhlas, Taman Berjaya, kami kembali ke Surau Al-Huda. Di sini penduduk masih bergotong royong memasak sop dan Adun Bangi turut sama mengacau sop berkenaan. Daging-daging yang siap berbungkus sedang diedarkan. Mana-mana penduduk yang tidak datang, Ahli Surau Al-Huda dan anak-anak akan mengedarkan bungkusan-bungkusan daging berkenaan dari pintu ke pintu di Blok-Blok Rumah Pangsa berdekatan. Seekor lembu lagi yang diedarkan ke Sungai Ramal Luar akan dilakukan korban pada hari Sabtu pagi 20 November nanti.
Sekian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment