November 20, 2010

Majlis Jalinan Mesra Kelab Guru & Kakitangan SMK Jalan Bukit, Kajang

CyberView Lodge Resort, Cyberjaya, 06 Zulhijah = 13 November (Sabtu):


Adalah menjadi tradisi tahunan Sekolah-sekolah mengadakan Majlis Jalinan Mesra di kalangan Guru-Guru & Kakitangan Sekolah setelah setahun bertungkus lumus bekerja mendidik para pelajar Sekolah. Untuk mengadakan jamuan tahunan ada Sekolah yang guru dan kakitangan rela memperuntukkan pungutan bulanan bagi menghimpun dana bagi mengadakan Majlis Jalinan Mesra berkenaan, di samping mendapat tajaan dan derma dari berbagai pihak. Dalam Majlis Jalinan Mesra, termasuk memberi perhargaan kepada guru-guru yang bersara, di samping mengucap tahniah di kalangan mereka guru-guru yang naik pangkat atau penghargaan bagi yang mencapai sebarang kejayaan.


Demikianlah dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bukit Kajang, pada akhir tahun 2010 ini juga mengambil kesempatan mengadakan Majlis Jalinan Mesra antara Guru-Guru & Pekerja-Pekerja. Kali ini tempat yang dipilih agak istimewa, iaitu bertempat di Cyberview Lodge Resort Cyberjaya. Oleh kerana SMK, Jalan Bukit mempunyai hubungan baik dengan Adun melalui beberapa kegiatan bagi kebaikan Sekolah dan pelajar, maka bagi menjayakan Majlis Jalinan Mesra ini Adun Bangi dijemput bagi merasmikan Majlis berkenaan beserta sedikit peruntukan dari Adun, di samping sumbangan dari beberapa pihak yang lain.


Setelah menyelesaikan beberapa program pagi Sabtu Adun Bangi tiba di Majlis Jalinan Mesra jam 12.00 tengahari dengan ruang Majlis dipenuhi lebih kurang 200 orang yang terdiri dari guru-guru dan tamu-tamu. Hadir bersama ialah Pemangku Pengetua Sekolah Puan Hjh Saliha Bt. Mansur, YDP PIBG En. Nagaratnam, Pengerusi Kelab Guru & Kakitangan En. A. Muniandy Arumugam, guru-guru dan kakitangan.

Dalam ucapannya Puan Hajah Saleha mengalu-ngalukan ketibaan Adun dan berterimakasih di atas sumbangan, juga mengucapkan terima kasih kepada Mantan Guru Besar yang telah bersara dan seorang guru yang mulai bersara. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua guru dan kakitangan yang selama ini berkerja keras bagi mengekalkan prestasi Sekolah. Menurutnya, Majlis yang diadakan pada hari ini begitu permai, tidak akan berjaya tanpa kerja kuat terutama dari Pengerusi Kelab Guru & Kakitangan yang sebelumnya telah berucap ringkas dan berterima kasih di atas kerjasama semua pihak. Majlis Jalinan Mesra, menurutnya, walaupun secara santai, majlis seumpama ini berjaya menjalinkan rasa mesra di kalangan guru dan kakitangan Sekolah.


Adun Bangi dalam ucapannya, berterima kasih di atas kesudian pihak Kelab Guru dan Kakitangan SMK Jalan Bukit menjemput Adun menyertai sama dalam majlis yang gilang gemilang. Tempat yang begini canggih di CyberView Lodge Resort, menurut Adun ia pernah hadiri sekali beberapa bulan yang lepas bagi Majlis Taklimat dari Menteri Besar Selangor dan Exco-Exco kepada Adun-Adun, Pegawai-Pegawai Daerah dan YDP-YDP PBT-PBT Negeri Selangor. Secara bergurau Adun menyatakan, ``Bayangkan standard Majlis yang diadakan oleh Kelab Guru dan Kakitangan yang mampu mengadakan majlis di sini pada hari ini.``
Menurut Adun, jalinan mesra antara Adun dan Sekolah oleh beberapa peristiwa yang berlaku disekolah yang menyebabkan Adun hadir. Kehadiran juga dari motivasi pelajar yang dikendalikan oleh Jawatankuasa di bawah Adun dan juga bimbingan dan motivasi yang pernah diadakan di Masjid As-Salihin, Teras Jernang bagi memberi bimbingan, semangat dan peningkatan dari segi syakhsiah pelajar-pelajar.

Adalah menjadi hasrat Adun mau melihat Sekolah-sekolah di dalam kawasan Dun Bangi maju dan berprestasi tinggi sesuai dengan hasrat mempromosi dan mengukuhkan Bangi Bandar Ilmu. Lantaran itu kerjasama dalam bidang ilmu dengan mana-mana institusi adalah diberi perhatian utama. Kerjasama dengan SMK, Jalan Bukit tidak lain dari tujuan mau melihat Sekolah ini maju di dalam bidang pelajaran. Adalah diharap kerjasama sedemikian dengan SMK, Jalan Bukit dan mana-mana Sekolah yang lain dapat dilakukan. Adun berharap SMK Jalan Bukit menjadi Sekolah yang maju di DUN Bangi. Atas harapan ini Adun merasmikan Majlis Jalinan Mesra dengan harapan jalinan mesra sedemikian berterusan.


Di dalam majlis itu juga Adun diminta membuat cabutan no. bertuah dan menyampaikan hadiah kepada yang terpilih dan hadiah-hadiah kepada mereka yang diraikan.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment