November 14, 2010

Wacana Ilmu Adab Ikhtilaf Dalam Gerakan Islam Di Malaysia

KUIS, Bandar Seri Putera, 25 Zulkaedah = 8 November (Isnin):


Adun Bangi memang berminat dengan wacana ilmiah di atas, walaupun jemputan jatuh pada hari pertama Sidang Dewan Negeri Selangor – Sidang hari pertama sebelah pagi sahaja, maka Adun Bangi bersetuju untuk menghadiri dan menutup wacana Ilmiah di atas pada sebelah petangnya.


Adun melontarkan pendapat dalam ucapan penutup, bahawa di dalam meneroka dan meluaskan horizon ilmu lahir berbagai pendapat, aliran, bahkan mazhab dan dalam perjuangan menegakkan pendapat berbagai pendekatan menjadi pegangan, bahkan keyakinan. Ironinya di samping ianya memperluaskan horizon ilmu dalam masa yang sama terbuka bibit-bibit perpecahan yang kadang-kadang mengancam. Kita melihat para intelektual muda Muslim dengan didikan yang diterima dan idealisme yang diperjuangkan sama ada dididik dari luar Negara atau dalam Negara memperjuangkan idealisme mereka. Hasilnya kita lihat dipersada tanahair kita lahir seperti PKPIM, ABIM, JIM, GAMIS, ISMA, IKRAM dan sebagainya. Tiap satu mempunyai prinsip, dasar dan arah idealisme perjuangan yang lumrah bertindih pula antara satu sama lain. Memang ungkapan mengatakan `Ikhtilaf Ummah Rahmah`, tetapi kebalikan dari itu mencerminkan kepelbagaian, perpecahan, kerugian dari segi tenaga. masa dan mungkin melemahkan.Ironi lagi idelisme yang berkubar-kubar terutama semasa giat belajar menjadi kendur, apabila kalangan aktivis perjuangan mereka kendur, khususnya apabila mendapat kedudukan. Yang ditinggalkan idealisme yang tergantung, tidak banyak perubahan besar yang dapat dibawa, kecuali sedikit dalam bidang pendidikan dan kebajikan. Selebihnya terlihayt pertelagahan idea yang jarang dapat diterjemahkan kepada realiti. Yang ketara kepelbagaian dan kadang-kadang kontradiksi dan pertentangan sebagai warisan. Adun Bangi mengingatkan kepada peserta firman Allah yang bermaksud:

``Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah (Ali Imran: 31). Juga firman Allah bermaksud:

``Kamu adalah sebaik-baik ummah dikeluarkan bagi manusia, kamu menyuruh membuat baik dan kamu mencegah dari perkara mungkar dan kamu beriman kepada Allah (Ali Imran: 110).

Adun Bangi berpendapat, Wacana Ilmu Adab Ikhtilaf yang diadakan adalah sebaik jalan bagi menemukan semua badan dan NGO Islam yang pada dasarnya berjuang menegakkan Islam. Melalui pertemuan dan wacana dapat dilihat titik persamaan dan perbezaan yang dapat diselesaikan. Adun mencadangkan, alangkah elok jika badan-badan bersatu di bawah satu payung - Persatuan. Melaluinya secara kolektif diperkukuhkan kedudukan, mampu menyatakan pendapat yang bernas dan tajam. Dihormati oleh musuh dan kawan, berwibawa hingga menjadi rujukan, bahkan mampu menjadi jurucakap ummah. Atas harapan itulah Adun menutup Wacana Ilmu Adab Ikhtilaf Dalam Gerakan Islam Di Malaysia.

Wacana di atas adalah anjuran Akademi Islam KUIS dengan kerjasama Kumpulan Penyelidikan dari Fakulti Islam UKM. Hadir ke dalam majlis ialah Pengarah Wacana En. Mohd Isa dari KUIS, Ustaz Uthman bin Talib dari Jabatan Dakwah, Fakulti Islam, UKM, Profesor Madya Dr. Ghaffar, UKM, Saudara Zaid Kamaruddin dari JIM, Encik Muhammad Razak dari ABIM, Pembentang-pembentang kertas-kertas kerja dan para peserta yang berjumlah lebihkurang 300 orang.


Majlis yang berlangsung di Auditorium Akademi Islam, KUIS itu disempurnakan sebelah paginya dengan ucaputama oleh Penyelidik Profesor Madya Dr. Mohd Nor Manuty. Sidang juga dipimpin oleh Yg. Berbahagia Dato` Abu Bakar Chik.

Kertas-kertas kerja yang dibentangkan ialah:


1) Adab Ikhtilaf Dalam Gerakan Islam oleh Che Musa Che Mat dan Yusni bin Mohamad Yusar.
2) Partisipasi Ulama Dalam Arus Politik Malaysia: Pemimpin, Pembimbing Atau Pesaing oleh Hairol Anuar Haji Mak Din dan Mohamed Yusef Niteh.
3) Etika Penguasaan Konflik (Ikhtilaf) Dalam Gerakan Islam Di Malaysia: Suatu Huraian Ringkas.
4) Pemikiran Protaz Dalam Mendepani Ikhtilaf Ummah oleh Safinah Ismail, Jabatan Dakwah dan Pengurusan , Akademi Islam, KUIS.
5) Wahabism: Progress And Respond oleh Abdul Halim Syihab dan Mohd Yusef Niteh
6) Adabul Khilaf Muhawwir at.Tawafuk al-Insani … oleh Tariq al-Ijal


Jika ada kesempatan kertas-kertas ini akan diteliti kemudian – Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment