November 9, 2010

Jawapan Pertanyaan Lisan Di Dewan Negeri Selangor - Mikro Kredit Paling Popular

Shah Alam, 01 Zulhijah = 08 November (Isnin):


Sebanyak 13 soalan lisan dijawab di dalam sesi menjawab pertanyaan lisan dari Adun-adun. Jumlah ini agak banyak dikendalikan oleh Tuan Speaker dalam masa lebih kurang satu jam setengah. Soalan-soalan antaranya mengenai Tanah, Pusat Teater, Ladang Hutan, Sisa Pepejal, Bantuan, Komuniti Berpagar, Kualiti Bekalan Air, Pelaburan, Perundangan Syariat, Tanah Perkuburan, Denggi dan Skim Mikro Kredit.


Adun Bangi berkesempatan membuat pertanyaan tambahan berhubung dengan Pusat Teatre Selangor. Adun menyatakan, ``Mendirikan Pusat Teatre adalah lebih mudah dari pengisian. Apakah perancangan Pengisian Pusat Teatre berkenaan agar ia tidak menjadi bangunan Gajah Putih ? Sejauhmanakah wujudnya penggerak teatre, seniman dan karyawan di Selangor. Adakah usaha menghantar mereka yang layak mengikuti kursus teatre sama ada dalam negeri atau luar Negara (Jawapan tidak jelas tentang adanya wujud penggerak dan seniman teatre dan perancangan pengisian).


Antara tiga belas soalan dijawab pada hari ini, soalan terakhir (13) adalah paling popular, iaitu disoal oleh 6 orang mengenai Mikro Kredit. Soalan-soalan dari Adun Morib, Bukit Antarabangsa, Balakong, Taman Medan, Meru dan Bangi. Jawapan disekali oleh Y.B. Dato` Dr. Hasan Ali (Gombak).


Menurut Dato` Dr. Hasan Ali. Mikro Kredit memperuntukan pinjaman kecil kepada yang layak, iaitu sebanyak RM3,000 satu pinjaman. Terdapat dua Mikro Kredit, iaitu Mikro Kredit Luar Bandar dengan peruntukan RM50 juta, manakala Mikro Kredit Bandar RM20 juta.


Setelah 66 hari beroperasi seramai 211 orang telah membuat pinjaman dengan jumlah RM540,500 telah dikeluarkan. Setakat ini pinjaman dan bayaran balik berjalan lancar. Buat masa ini Mikro Kredit ditumpukan kepada Daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Hulu Langat. Antara syarat mendapat Mikro Kredit:


Lulus ujian, Wajib tubuh kumpulan 5 orang, setiap minggu mesyuarat muhasabah dilakukan, Bagi pinjaman RM3,000 atau kurang, bayaran balik perlu dilakukan secara tunai. Perjalanan dinilai oleh kumpulan penilai yang turun padang menemui peniaga/peminjam dari masa ke masa. Y.B. Dato` Dr. Hasan Ali sifatkan Makro Kredit, sebagai kaedah yang mudah dan mendapat sambutan yang menggalakkan serta benar-benar dapat membantu peniaga dan pengusaha kecil, tanpa mengira kaum dan faham politik.


Kita berharap Mikro Kredit menjadi bantuan pinjaman yang popular, menjadi identiti dan mempopularkan negeri Selangor. Ia menjadi sebagai Pinjaman Bank Grameen di Bangladish yang dicetuskan oleh Mohd Yunus yang membela rakyat miskin di sana. Lebih dari itu kita harap hasil dari Mikro Kredit ini akan melahirkan peniaga-peniaga dan usahawan-usahawan kecil yang menjadi besar, maju dan berjaya. Insya Allah.


Sekian.

No comments:

Post a Comment