Dewan Negeri Selangor, 08 Zulhijah = 15 November (Isnin):
Sidang Dewan Negeri Selangor yang bermula dari Isnin 08 November 2010 dan sepatutnya berakhir pada 16 November, berakhir awal sehari pada hari ini 15 November (Isnin) untuk memberi peluang esok (Selasa) bagi orang-orang Islam membuat persediaan menyambut Idul Adha yang akan bermula pada Rabu 10 Zulhijah 1431 = 17 November 2010..
Walau bagaimana sidang pada kali ini banyak membawa kelainan-kelainan
- Bagi menghabiskan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor kedua Belas, maka setiap hari sidang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 7.00 malam kecuali pada hari Jumaat bermula jam 9.30 pagi dan pada hari akhir 15 November berakhir pada jam 9.00 malam.
- Pada sidang kali ini sebanyak 267 soalan mulut (lisan) dihantar oleh Adun-Adun untuk dijawab (4 ditolak) di dalam sidang (jam 10.00-11.30 setiap pagi). Pada kebiasaan untuk sehari dapat dijawab antara 5 – 7 soalan. Tetapi pada kali ini selama 6 hari dapat dijawab sebanyak 131 soalan (Bagi yang tak ada di dalam Dewan soalan mereka dilangkau dan tidak dijawab. Adun Bangi menghantar maximum soalan lisan sebanyak 10 soalan yang semuanya diterima. 6 dari soalan ini dijawab dalam Dewan. Setiap hari satu soalan keluar. Pada kali ini sejumlah 126 soalan tulisan dihantar oleh Adun-Adun (4 soalan ditolak). Adun Bangi menghantar maksimum 10 soalan dan kesemuanya diterima. Soalan-soalan tulisan tidak dijawab di dalam sidang Dewan, tetapi dijawab secara bertulis dan dihantar kemudian kepada Adun-Adun.
- Soalan-soalan yang diedarkan kepada ahli-ahli Dewan Negeri kali ini – Soalan Mulut dan Tulisan, tidak dibekalkan dalam bentuk bercetak, tetapi secara CD. Adun-Adun mencetaknya dalam jumlah yang diperlukan atau terus membacanya di dalam computer. Dengan cara ini dapat menjimatkan kertas dan ruang.
- Mesyuarat pada kali ini paling banyak menerima usul-usul yang dibahaskan di dalam sehari (15 November 2010), iaitu sebanyak 14 usul
I - Usul Anggaran Peruntukan Pembangunan yang berjumlah RM600 juta
II- Usul Cadangan Pindaan Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor
111- Usul Dari Y.B. Hulu Kelang (Y.B. Saari Sungib) sebanyak 8 usul mengenai
penyelewengan-pnyelewengan dan cadangan-cadangan.
1V. 3 Usul Y.B. Sekinchan (Y.B. Ng Suee Lim) yang menuntut didirikan anjung Dewan
untuk kemudahan ahli-ahli Dewan, menuntut dilaksanakan Undang-Undang
Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor (SELESA) dan penaikan taraf jalan dari
Kapar ke Sabak Bernam.
V Satu Usul dari Y.B. Kampung Tunku (Y.B. Lau Weng San) yang meminta
Kerajaan Negeri Selangor memperketatkan urus tadbir korporat bagi semua syarikat, badan berkanun dan agensi-agensi kerajaan negeri.
5. Terdapat dua kali penangguhan sidang kerana kekurangan korum yang diperlukan sejumlah 2/3 ahli Dewan. Sebahagian daripada ahli Dewan berada di luar. Kali pertama disedari oleh pihak Kerajaan, setelah dibilang dan tidak mencukupi, Tuan Speaker terpaksa menagguhkan Dewan dan memanggil ahli-ahli ke dalam Dewan. Kali kedua diminta oleh pihak pembangkang membilang ahli dan ternyata jumlah tidak mencukupi (perlu sekurang-kurangnya 19 orang), maka sekali lagi – kali ini Y.B.Puan Timbalan Speaker memanggil ahli masuk ke Dewan. Adalah suatu kebiasaan bagi pembangkang tidak menghadiri Dewan. Pada sebelah pagi sebahagian dari mereka hadir, tetapi pada sebelah petang kadang-kadang tinggal seorang dua sahaja dan pernah tiada langsung.
Jadi hari terakhir hari ini, selain dari menjawab soalan-soalan lisan, masa diisi dengan pengemukaan usul dan bahasa-bahasan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment