November 23, 2010

Gotong Royong Rakyat Basmi Denggi Di Taman Jasmin

Taman Jasmin, Kajang, 14 Zulhijah = 21 November (Ahad):


Denggi adalah penyakit merbahaya yang boleh membawa maut dalam beberapa hari disebabkan oleh kerosakan organ, jika tidak dirawat segera. Korban denggi tahun ini meningkat ke 125 berbanding tahun lepas 77 kematian. Meningkat 60%. Jumlah kes denggi tahun lalu 36,135. Pada tahun ini meningkat kepada 42,659 kes (sehingga 18 November), meningkat 18% (BH, Isnin 22 Nov., 2010:2).


Selangor adalah negeri tertinggi dengan kes denggi. Hulu Langat naik turun dari segi kedudukan – bertukar ganti pertama atau kedua dengan PJ. Terakhir lebih dari 30 kes berlaku di Hulu Langat, melibatkan beberapa kematian. Kes kematian terakhir berlaku melibatkan seorang jurutera lelaki berumur 47 tahun dari Bukit Mewah, Kajang menjadi korban terbaru demam denggi di Hulu Langat seminggu lalu. Jurutera tersebut mati pada 9 November lalu akibat komplikasi kegagalan organ selepas dijangkiti pada 28 Oktober lalu.


Pemeriksaan dibuat di kawasan kediaman mangsa terhadap 42 premis, didapati ada tempat pembiakan nyamuk aedes, selain dari tempat kerja mangsa di tapak pembinaan perumahan.


Atas kesedaran perlunya pembersihan, AJK Adun dengan kerjasama Ahli MPKj Zon 14 saudara Chandra Mohan dan penduduk setempat yang diketua Persatuan Penduduk Encik Najib, kami memilih Taman Jasmin untuk diadakan gotong royong bagi membasmikan denggi. Taman Jasmin adalah bersempadan dengan Bukit Mewah tempat kematian Jurutera di atas. Tumpuan gotong royong ialah perumahan dan Taman Permainan yang tidak terpelihara kebersihannya. Turut memberi kerjasama bagi gotong royong ini ialah Jabatan Kesihatan Hulu Langat yang diketuai En. Rusli dan Cik Ela Sabrina, Pihak MPKj, Alam Flora dan lebih kurang 50 orang penduduk setempat dari berbagai kaum . Pelbagai alatan disediakan dari dua buah lori MPKj, dua mesen pemotong rumput, chainsaw pemotong pokok, sabit besar dan kecil, pisau dan sabit.


Majlis permulaan ialah alu-aluan dari Ketua Penduduk Encik Najib, diikuti penerangan oleh Pegawai Kesihatan En. Rusli. Adun Bangi dalam ucapan perasmian berterima kasih kepada semua pihak kerana mengambil bahagian, terutama penduiduk setempat dari berbagai kaum Melayu, Cina dan India. Adun menekankan `Bangi Bersih` adalah menjadi slogan bagi DUN Bangi. Adalah memalukan jika hakikatnya Bangi tidak bersih. Beliau menarik perhatian tentang akibat denggi yang boleh membawa maut. Beberapa penduduk kawasan yang diadakan operasi bersih, pernah mengalami denggi, akibat takungan air di dalam bekas rumah jiran yang tidak diberi perhatian dari segi kebersihan. Beliau berharap amalan kebersihan hendaklah menjadi budaya hidup, bukan setakat gotong royong sahaja. Ambil masa setiap hari, lebih-lebih lagi pada hari minggu membersih dalam dan kawasan rumah. Jika masing-masing bersih rumah dan kawasan masing-masing sebahagian dari masalah kebersihan dapat diatasi. Beliau bergembira di samping bergotong royong dapat berkenalan dan mengeratkan kasih sayang dan kemesraan.


Pada pagi ini Adun memerhatiakn, setiap orang benar-benar bekerja. Pegawai kesihatan memeriksa dari rumah ke rumah tempat-tempat kemungkinan adanya nyamuk aedis. Manakala peserta gotong royong menebas dan membersih kawasan padang yang tidak terjaga. Ada yang memotong pokok, ada yang memotong rumput dan lalang dengan mesin-mesin, ada yang menebas dengan sabit-sabit yang dibawa dan sebahagian mengangkut bahan yang di potong dan dibersih ke tepi jalan dan diangkut lori. Kerja berterusan dari jam 10.00 hingga jam 1.00 tengahari. Antara penemuan ialah beribu-ribu nyamuk dan larva aedes dalam tangku air yang dibuang ditepi bukit tempat yang dibersih. Dua tangki air yang dibuang ini digolek ke tepi jalan untuk diangkut dan dilupuskan. Kami merasa lega, walaupun letih melihat kawasan dapat dibersihkan. Minuman dan makanan disediakan.


Sebelum berpisah bahan bukti dari nyamuk aedes dihimpun di bawah teduhan di padang dan Cik Elia Sabrina menerangkan tentang aedes dan denggi. Menurutnya ada empat tahap denggi, iaitu: Den 1, Den 2, Den 3 dan Den 4. Tahap satu memberi kesan mulai digigit nyamuk hingga 14 hari selepas digigit. Jika dia immune, dia mungkin kelak kena pada tahap dua lebih teruk, begitulah seterusnya yang boleh membawa maut. Plate normal bagi seseorang ialah 150. Denggi level di bawah 100. Tahap kritikal di bawah 20. Tanda demam denggi tekanan darah rendah, pening, muntah dan cirit-birit.



Sementara itu sambil bergotong royong Adun sempat membuat lawatan ke dua rumah warga mas di kawasan gotong royong, bertanya khabar dan menyampaikan sedikit cendera hati.


Hari ini Adun lihat semua pihak bekerja bersungguh-sungguh. Kesan dari gotong-royong amat ketara. Semak di padang ketara bersih dan dapat memusnahkan sarang denggi utama, tangki yang menjadi tempat membiak aedes dapat kami keluarkan untuk dilupuskan.


Adun sangat berpuashati gotong royong pada kali ini. Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Gotong Royong Rakyat di Taman Jasmin.


Terima kasih.

No comments:

Post a Comment