November 3, 2010

Tahniah Kepada MPSJ Kerana Menganjur Seminar Halal

Subang Jaya, 25 Zulkaedah = 02 November (Selasa):


Y.B. Dato` Dr. Hasan bin Mohamed Ali Exco Hal Ehwal Islam Dan Adat-Adat Melayu, Infra-Struktur Dan Kemudahan Awam Negeri Selangor di dalam ucapan Perasmian Seminar Halal Pengusaha Restoran MPSJ (Majlis Perbandaran Subang Jaya) 2010 mengucap tahniah kepada MPSJ yang menganjur seminar di atas dengan JAIS dan PERKEMAS (Persatuan Kejiranan Masyarakat) yang berlangsung di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada pagi ini. Menurutnya ini adalah merupakan julung-julung kali sebuah Seminar Mengenai Halal dianjurkan oleh sebuah PBT. Inisiatif seperti ini perlu menjadi contoh dan tauladan bagi PBT-PBT yang lain. Bahkan beliau berhasrat Seminar seperti ini perlu dianjur secara besar-besaran yang melibatkan mereka yang berkenaan secara lebih luas. Beliau menyatakan kemungkinan Seminar Halal pada peringkat negeri wajar diadakan pada tahun 2011 nanti.


Seminar pagi ini dihadiri sama Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam Dan Adat-Adat Melayu, Ybhg. Dato` Adnan bin Hj. Md. Ikhsan YDP MPSJ, Ustaz Ahmad Salihin Wakil dari JAIS, Tuan Haji Abdullah bin Marjunid Timbalan YDP MPSJ, Tuan Haji Zainal bin Haji Zakaria Timbalan Presiden PERKEMAS Saudara Ruslan Shahir dan pengusaha-pengusaha restoran yang jumlah semuanya lebih kurang 150 orang.

Dalam ucapan lanjutnya Y.B. Dato` Dr. Hasan Ali menyatakan, sungguhpun jumlah peserta tidak begitu ramai, tetapi amat istimewa ia adalah langkah permulaan yang amat mulia dan insya Allah diberkati Allah. Y.B. Dato` Dr. Hasan Ali menekankan bahawa Islam, dengan konsep halal amat menekankan makanan yang bersih dan baik yang diperlu oleh tubuh badan bagi membina kesihatan. Beliau merujuk kepada ayat Qur`an yang bermaksud:

``Wahai manusia, makanlah daripada apa yang disediakan di muka bumi dari makanan yang halal lagi baik`` (Al-Baqarah: 168).


Makanan hal dan baik menurutnya akan membina fizikal, mental dan rohani dengan baik dan meneruskan kelangsungan zuriat dengan baik. Sebaliknya dengan makanan yang tidak halal dan tidak bersih, bukan saja mengakibatkan rosak kesihatan dan mengalami penyakit, tetapi juga memberi kesan dari segi watak dan akhlak yang buruk. Menurutnya, ``Mungkin masalah remaja, keruntuhan akhlak dan penyakit sosial yang dihadapi masyarakat antaranya berpunca dari makanan yang tidak halal dan tidak sihat.``
Seminar ini mengingatkan kepada pengusaha-pengusaha restoran, jika kita sediakan makanan halal dan bersih serta tidak menimbulkan waswas menyebabkan pelanggan lebih tertarik untuk datang makan di restoran kita. Y.B. Dato` Dr. Hasan Ali mau mesej dan kepentingan halal ini tidak setakat sampai kepada pengusaha-pengusaha restoran, tetapi juga kepada hotel-hotel, kepada pengusaha Islam dan bukan Islam, bahkan kepada sebarang pihak yang menyediakan makanan, termasuk keluarga rumah tangga.


Sebelum itu Dato` Adnan bin Hj. Md. Ikhsan dalam kata-kata alu-aluannya menyebut di Subang Jaya terdapat sebanyak:
Restoran 1,934 buah
Hotel 13 ,,
Stall 600 ,,
Gerai 334 ,,

Jumlah 2,881 ,,

Menurutnya daripada 13 hotel, hanya sebuah sahaja yang mendapatkan sijil halal. Kita mau usahakan supaya semua pengusaha makanan mendapat sijil halal dan terjamin bersih.

Tiga buah kertas kerja dibentangkan di dalam seminar ini iaitu:

1. Peranan MPSJ Kepada Pengusaha Restoran – Oleh Jabatan Pelesenan MPSJ
2. Pengenalan Sijil Pengesahan Halal – Oleh JAIS
3. Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia - Oleh JAIS.

Sekian.

No comments:

Post a Comment