August 31, 2011
Takbir
Bukan sebarang ungkapan
Para jamaah mengulang
Tapi pancaran rumusan
Doktrin dan keyakinan
Kentalnya mengalir dari dasar jiwa
Getarnya melangkau ke pelusuk dunia.
Takbir
ungkapan mengiringi kejayaan
Pernyataan Kebesaran dan Keagungan
Memancar kekukuhan iman
Takbir menggerun musuh di perbatasan
Biar secanggih mana senjata
Pecah kalah dengan kehendak Allah.
Takbir
Perluahan semangat dan azam
Berkubar menyala di medan perjuangan
Itulah rahsia umat menggapai bintang
Zaman puncak mencapai kecemerlangan.
Takbir
Melembut kejiwaan
Hanyut mesra kekenangan silam
Nostalgia dan sayu
Pernyataan kasih rindu
Hasrat ingin bertemu.
Takbir
Ungkapan sebenar Kebebasan
Hakikat sebenar Kemerdekaan
Bebas dari perhambaan.
Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahui Akbar !
Lailaha illa Allah Huwa Allahu Akbar
Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd.
Shafie Abu Bakar,
Masjid Al-Hasanah,
01 Syawal 1432
30 Ogos 2011.
August 30, 2011
Bersama Dengan Warga Rumah Pengasih Menyiapkan Juadah Hariraya
Ketibaan Adun di Rumah Pengasih bersama Ketua Kampong, Sungai Ramal Luar Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir dan Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Berkembar Haji Mat Saman disambut dengan kompang oleh Pasukan Kompang Anak-Anak Rumah Pengasih. Adun ke sini bersama Ketua Kampong dan Tuan Nazir pada tengahari ini menggantikan fungsi bapa-bapa kepada penghuni-penghuni Rumah Pengasih yang dihuni 92 orang penghuni. Mereka kehilangan kasih sayang akibat kematian ibu bapa dikasihi atau ditinggalkan, bahkan berbagai-bagai masalah yang dihadapi menyebabkan mereka terhantar di sini di bawah riayah Rumah Pengasih yang diasas dan dikendalikan oleh Dr. Haji Marzuki selaku Pengerusi dan kawan-kawan yang sama membantu.
Sesampainya Adun di sini dapat melihat dan menyertai sama kegiatan membakar lemang oleh anak-anak Rumah Pengasih. Adun difahamkan sebahagian anak-anak ini sendiri (enam orang) ke Sandayan, Negeri Sembilan memotong dan mengerat buluh-buluh. Mereka boleh beli batang-batang buluh di pasaran, tetapi mereka mau anak-anak merasa sendiri thrill bagaimana proses mendapatkan buluh dan membawanya balik dengan kenderaan MPV. Semua persediaan menyiapkan beras 15 kilo pulut dan santan dan memasukkannya ke dalam buluh dan membakarnya dilakukan oleh anak-anak Rumah Pengasih. Adun juga melihat anak-anak yang dari umur 5 . 6 tahun hingga belasan tahun ini juga bergotong royong menganyam ketupat nasi (10 kilo), memasukkan beras dan merebus di dalam periuk. Kalangan anak-anak perempuan pula mengacau dodol 14 kilo pulut di dalam satu kawah. Mereka juga bergotong royong menyiapkan rending daging sebanyak 10 kilo dan rendang ayam sebanyak 15 ekor.
Sesudah menyertai gotong royong memasak juadah-juadah Hariraya Idul Fitri 1432/2011 bagi anak-anak di Rumah Pengasih Adun, Ketua Kampong dan Nazir diiringi ke dalam Ruang Tamu di mana sedikit Majlis Rasmi diadakan:
Dr. Haji Marzuki berucap mengalu-ngalukan kedatangan Adun dan rombongan. Beliau mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Adun yang sering menjenguk keadaan Rumah Pengasih – termasuk segera hadir bila berlaku kebakaran pada 31 Julai 2011 lepas. Menurut pihak bomba, kata Dr. Marzuki, kes ini diakibatkan ada yang bermain tin spray dari macis yang dinyalakan. Kerosakan telah dapat dipulih.
Tuan Haji Mohd Yusof selaku Ketua Kampong memang perlukan maklumat dari rumah Pengasih bagi semua tugas, khususnya bila berlaku kemalangan dan kecemasan. Lantaran jika berlaku sesuatu seperti kematian dan kemalangan. Beliau bersukacita hubungan Rumah Pengasih dengan jiran-jiran bertambah baik dan ini perlu diteruskan.
Adun dalam ucapannya berterima kasih di atas jemputan dibuat bagi menyertai Gotong Royong menyiapkan juadah bagi menyambut raya. Adun teroja di atas sambutan yang diberi warga Rumah Pengasih. Adalah menjadi tugas Adun mengetahui masalah yang dihadapi penghuni Rumah Pengasih. Ini adalah antara misi Adun ke sini pada hari ini. Adun juga kagum di atas sikap berdikari Rumah Pengasih yang tidak bersikap meminta-minta dan berusaha mendapat dana dengan berbagai ikhtiar. Namun tidak menolak kepada siapa yang bersuka rela untuk menghulurkan bantuan. Atas hasrat ini kehadiran Adun antaranya membawa sedikit bantuan dari segi kewangan, beras dan barangan yang lain yang dapat meringankan kos yang ditanggung Rumah Pengasih yang memerlukan belasan ribu ringgit sebulan bagi menampung warga Rumah Pengasih yang berjumlah hampir 100 orang itu.
Semoga usaha kebajikan diberkati Allah dan mendapat sokongan dari berbagai pihak. Insya Allah. Salawat dan salam kepada Junjungan Rasulullah bergema di pekarangan Rumah Pengasih mengiringi kepulangan Adun dan rombongan.
Sekian.
August 29, 2011
Dari Surau Al-Umm Ke At-Talabiah: Bantuan Mencurah !
Al-Hamdulillah dan bersyukur kepada Allah hingga ke malam ini dan insya Allah ke esok Adun dapat menunaikan fardu Puasa Sebulan Ramadhan secara lengkap dari segi jumlah (kemungkinan Ramadhan kali ini 29 hari). Sehingga ke malam ini Al-Hamdulillah dengan kesihatan kurniaan Allah Adun dapat hadir berjamaah ke berlainan surau atau masjid di setiap hari bermula dari malam pertama bertarawih di Surau Al-Umm di kawasan kediaman Adun – dan berubah surau-masjid hingga ke tarawih terakhir pada malam ini di Surau At-Talabiah, di Sungai Ramal Luar.Cuma tiga hari Adun tidak ke surau-masjid kawasan kerana menghadiri Iftar di Kediaman Rasmi Dato` Menteri Besar Selangor di Shah Alam dan bertarawih di sana dan dua hari hadir menyambut Kunjungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dua kali berkunjung pertama di KUIS, Seri Putra, Bangi dan di Masjid Cheras Jaya.
Pada Ramadhan kali ini Adun menukar imej, kalau bulan-bulan Ramadhan lalu Adun berpakaian bertarawih dengan sepasang baju Melayu selengkap atau berbaju Melayu berkain pelikat, tetapi start dari awal Ramadhan hingga ke akhir malam ini Adun berjubah. Selama ini Adun jarang berjubah kecuali semasa solat Hari Raya Idul Adhha (sekali sekala). Kali ini semua malam bertarawih Ramadhan berjubah. Orang yang paling suka hati melihat Adun berjubah, tidak lain dari isteri Adun sendiri. Selama ini beliau memang galakkan Adun berjubah, tapi Adun selalu jawab, `Tak selesa`, sehingga jubah-jubah yang kami beli semasa dua kali menunaikan Fardu Haji dihadiahkan kepada orang, ``Simpan apa guna, pakai tidak,` itulah ayat yang diluahkan oleh isteri. Jubah-jubah yang dipakai kali ini adalah hadiah dari kawan-kawan yang pulang dari Haji atau Umrah. Yang ada hanya tiga helai.(satu berlengan pendek).
Melihat Adun mulai lekat berjubah, isteri Adun beberapa kali mengajak Adun ke kedai, untuk membeli jubah tambahan. Gesaannya menyebabkan Adun mengikut. Lebih dari tiga kali kami keluar ke kedai kerana jubah.
Pertama untuk membeli jubah tambahan dua helai lagi menjadikan 5 helai untuk digilir-gilir. Pemergian pertama ada sehelai yang sesuai dan selesa dengan saiz yang diperlu. Oleh kerana tak ada saiz yang sesuai dan warna sesuai, Adun pilih sehelai lagi berawarna biru !
Dia merungut dengan pilihan warna biru yang Adun pilih, `Adun tanya mengapa ?
``Warna Umno !, jawabnya, ``lagi pula, jarang orang pakai dan tak sesuai jubah berwarna biru !` katanya.
Atas desakan darinya kami keluar pula ke seksyen 9 untuk menukar jubah kepada warna lain. Walau bagaimana tidak banyak warna pilihan, menyebabkan Adun cadang ambil saja yang berwarna merah yang ada saiz yang bersesuaian. Isteri Adun melenting dan berkata,
`Solat memerlukan kemurnian dan kekhusyukan, berwarna mereh garang bagai pahlawan nak berperang, tak sesuai untuk bersolat.``
Cari punya cari adalah sehelai jubah yang berlengan terbuka (macam lengan baju Melayu berwarna putih..
Bagi Adun sesudah beli dan sesuai terus pakai. Tapi bagi isteri Adun amat pentingkan dari segi ketepatan saiz dan labuh. Semua jubah sama ada yang dihadiah atau yang dibeli – semuanya
Al-Hamdulillah pada tahun ini peruntukan dan bantuan yang disalurkan ke Dun Bangi mencurah-curah, bermula dengan peruntukan Adun Bangi secara tetap bagi setiap surau & masjid pada bulan Ramadhan dan peruntukan Adun melalui Lajnah Kebajikan, Sejak awal Ramadhan Adun turun dengan membawa peruntukan dan bahan-bahan yang disampaikan kepada mereka yang memerlukan dan kadang-kadang membuat program khas penyampaian di siang hari yang biasanya diadakan di pekarangan surau atau premis-premis tertentu. Bahan-bahan bantuan seperti beras dibekalkan oleh individu dalam jumlah yang banyak dan bahan ini juga menjadi bahan yang dibawa dalam kunjungan termasuklah hadiah Al-Qur`an yang dibekalkan oleh Yayasan Selangor. Mulai pertengahan Ramadhan juga pihak Pekawanis (Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat) juga menyalurkan peruntukan sejumlah RM3,000 melalui Adun bagi mengagihkan kepada individu-individu yang telah dipilih dan disenaraikan.. Mulai minggu terakhir pula pihak Kerajaan Negeri menghantar ke Pejabat Adun berpuluh-puluh kotak besar yang mengandungi kotak-kotak plastic bulat berisi kuih-kuih raya. Jadi kunjumham Adun baik di surau-masjid atau di mana-mana jua sentiasa membawa buah tangan ke tempat berkunjung, Ini menselesakan Adun bila bergerak kerana ada benda yang dibawa untuk dijadikan buah tangan dan hadiah.Pada hari Jumaat minggu terakhir Ramadhan (26 Ogos), pihak Kerajaan Negeri sekali lagi menghantar bahan-bahan bantuan dengan jumlah yang banyak iaitu sebanyak 300 kampit beras 10 kilo sekampit dengan hadiah dari Econ-Save Jalan Reko sebanyak 300 beg hadiah. Bahan-bahan ini Adun akan edarkan mulai dari kini sehinggalah selepas raya.
Ramadhan kali ini agak berkelainan dari tahun-tahun yang lepas. Selain dari peluang beribadat, membuka ruang kepada Adun mendekati masyraakat dan membawa peruntukan-peruntukan mencurah-curah yang didatangkan oleh pihak negeri. Demikianlah prihatinnya pihak Kerajaan Negeri Selangior menyebabkan Adun lebih selesa dan ceria bergerak.
Selamnat Hari raya Idul Fitri – Maaf Zahir dan Batin.
Sekian.
August 28, 2011
Cik Li Mun & En. Yi Ting Buat Aduan Rumah Retak Dan Rosak Serta Tanah Runtuh Di Kawasan Rumah Mereka Di Kajang Baru
Jam 4.00 petang Adun ke Taman Bukit Kajang Baru, berikutan dari aduan yang disampaikan sendiri di Pejabat Adun oleh Cik Li Mun anak bagi pemilik rumah No. 2, Jalan Baru 18, Taman Bukit Kajang Baru, Kajang iaitu Encik Phang SiewLian. Surat salinan aduan kepada Jabatan Jurutera, MPKj dan Police Report disertakan menyatakan kerisauan rumahnya turut retak dari runtuhnya rumah jirannya En. S.K.Lim No.1 , Jalan Baru 18 pada petang 17 Ogos 2011 yang lepas dan Adun sendiri datang melawat pada tengahmalam hari tersebut.
Berikutan Aduan di Pejabat Adun itu, Adun berjanji turun pada hari ini. Tunggu di sana ahli-ahli yang berdekatan dengan Taman di atas, iaitu saudara Azmi Ahmad, Tuan Haji Abdul Razak bin Abdul Latif dan saudara Azizi. Kehadiran kami disambut oleh Cik Li Mun yang baru pulang kerja dari Cyberjaya dan dibenar masuk ke dalam rumah yang mana ada dua adik beradik perempuan dan lelaki. Ibu bapa mereka belum pulang. Kami ditunjuk dinding yang retak dan melihat belakang rumah dari dalam yang mana tembok tinggi sedang dibina. Kami dapati bahaya yang mungkin berlaku runtuhnya tembok yang amat berdekatan rumah Encik Phang. Hujan lebat juga boleh menghakis tanah di bahagian belakang yang boleh melembutkan tanah dan boleh meruntuhkan lagi rumah En, S.K Lim yang telah runtuh itu bersama dengan rumah En. Phang. Setelah saudara Azizi mengambil gambar dalaman dan keluar dari dalam rumah, kami keluar dan melihat keruntuhan rumah En. S.K. Lim dari luar. Kami nelihat tembok yang baru dibina begitu tinggi yang memang bahaya sekiranya berlaku keruntuhan tembok yang boleh menimpa kedua-dua rumah.
Sedang kami berbincang dengan jiran rumah berdepan dan beberapa pekerja tanah yang sedang ditembok oleh Syarikat Ara Asa Sdn. Berhad dari Cheras itu, anak Tuan rumah yang runtuh - S.K.Lim, iaitu En. Yu Ting tiba, beliau diberitahu oleh Cik Li Mun kehadiran kami. Keluarga Rn. S.K.Lim berkenaan berpindah ke rumah anak-menantunya di Saujana Impian, Kajang. Beliau membawa salinan surat-surat dari MPKj yang menyamannya kerana membuat kerja-kerja ubahsuai tanpa kebenaran hingga menyebabkan berlaku keruntuhan dari MPKj dan surat arahan menghentikan sebarang kerja di bangunan yang runtuh, kerana kemungkinan tembok yang runtuh membawa kepada runtuhnya kedua-dua bangunan yang diadukan kepada Adun. Menurut Yu Ting yang membawa surat berkenaan, ayahnya yang sudah berpencen itu berada di dalam keadaan tertekan dengan kerosakan hartanah, akan didenda dan tidak diketahui bila boleh dibaikpulih dan kos yang terpaksa ditanggung. Pemilik, Adun difahamkan tidak mengambil perlindungan ansuran.
Setelah berbincang dengan anak-anak pemilik kedua-dua rumah. Adun hanya mampu berjanji akan membawa semua perkara ini ke perbincangan yang melibatkan tuan-tuan punya rumah, Ahli MPKj kawasan ini – saudara Adram Musa, Pemaju dan pihak MPKj sendiri, Tindakan akan diambil selepas raya nanti.
Sementara itu bagi melupakan sejenak kerisauan yang dihadapi oleh kedua-dua keluarga berkenaan yang diwakili anak-anak masing-masing, Adun meminta saudara Azizi mengambil kuih-kuih raya yang dibekal Kerajaan Negeri kepada Adun-Adun beberapa hari lepas, yang antaranya sengaja Adun bawa sebahagiannya di dalam kereta Hilux Pejabat Adun untuk dihadiahkan kepada sesiapa Adun ziarahi sempena sambutan Idul Fitra. Dua kotak kuih raya Adun hadiah kepada Cik Li Mun anak perempuan En. Phang dan dua kotak lagi kepada En. Yu Ting anak lelaki En. S.K. Lim. Kami bergembira dan ceria seketika lebih-lebih lagi mereka mengucapkan Selamat Hari Raya kepada kami, sebelum meminta diri.
Sekian.
August 27, 2011
Menyampaikan Keceriaan Kepada Warga Emas Yang Keuzuran
Program Jom Shopping bagi warga Emas di Dun Bangi dijalankan pada Khamis 18 Ogos 2011. 100 orang dari yang mendaftar peringkat awal dipilih bagi menerima voucher Jom Shopping di Pasaraya Econsave, Jalan Reko, Bangi. Walau bagaimana daripada 100 orang dipanggil yang datang mrndaftar di Pejabat Adun dan seterusnya dibawa ke Pasaraya Econsave hanya 81 orang sahaja. Manakala 19 orang yang lain tidak dapat menghadirkan diri oleh kerana keuzuran atau tiada yang dapat membawa mereka ke pejabat. Peruntukan untuk mereka dibelanjakan dengan membeli keperluan-keperluan asas seperti beras, gula, susu, minyak masak dan berbagai lagi hingga ke jumlah RM100.00 sebagaimana diperuntukkan dan barang-barang dibawa ke Pejabat Adun Bangi. Mereka yang tidak dapat datang dihubungi lagi untuk datang mengambil brangan yang dibeli untuk mereka. 10 orang dari mereka atau waris mereka datang mengambil barang-barang berkenaan.
Setelah dibuat kepastian didapati hanya 9 0rang sahaja tidak dapat datang. Bantuan adalah untuk keceriaan bagi Warga Emas menyambut hariraya. Tempoh bagi kami keluar menyampakan bantuan hanya dua hari sahaja lagi, yakni hari ini dan esok. Selepas itu semua tenaga kerja akan bercuti dan pulang ke kampong masing-masing. Kami mebuat keputusan turun pagi ini dan cuba selesaikan penyerahan barang-barang pada tengahari ini. Adun sendiri keluar memandu kenderaan disertai dua pengiring yang akan menurun dan mengagihkan barang-barang. Sebelum keluar kami hubungi Ketua-Ketua Kampong untuk bersama kami mengenal pasti lokasi Warga Emas yang dilawati.
Pada dasarnya semua Warga Mas masih sihat, sebab itu mereka dapat datang bersama ke pasar raya, tetapi sebahagian dari mereka sakit dan tidak mampu keluar, contohnya Warga Mas pertama ditemui En. Sohimi bin Ismail di Seksyen satu BBB, tidak dapat keluar kerana uzur dan beliau dirumah ditemani isteri setia. Kami menyampaikan barang-barang dan mengucapkan selamat Hariraya Maaf zahir dan Batin. Selepas itu kami ke Sungai Ramal Luar ditemani Ketua Kampong En Latib. Pada dasarnya dua orang yang dilawati di sini iaitu En. Abu Bakar dan Puan Siti Saleha masih sihat. Kami seronok mendengar cerita En. Abu Bakar Bekas Pekerja Dutch Baby. Beliau berulang Ke PJ (Seksyen 16) dari Sungai Ramal Dalam hanya dengan berbasikal setiap hari. Kemudian baru bermotorsikal hinggalah beliau bersara. Puan Siti Saleha seorang ibu tunggal periang dan masih sihat. Kami check nama anaknya yang memohon pertukaran tempat mengundi ke Bangi, kami dapati al-Hamdulillah trelah diluluskan. Manakala Puan Saleha mengundi di kawasan Arwah Dr. Lo`lo` dan dia mau kekal di sana, walaupun tinggal di Bangi. Selepas melawat tiga orang didapati masa jam 1.00. Kami tangguhkan penyampaian ke sebelah petang.
Pada sebelah petang kami menziarah Pekan Bangi, disertai Ketua Kampung Tuan Haji Zakaria Kami ziarah En. Amran bin Omar yang masih sihat, walaupun sedikit uzur. Beliau terkejut melihat Wakil Rakyat datang memandu sendiri menghantar peruntukan. Menurutnya, ``Selama ini tidak pernah Wakil Rakyat datang menziarah ke rumah.``Bila kami menziarah dan sampaikan barang-barang kepada Ibu Tunggal Che Minah Binti Che Wan (berasal dari Kelantan), dia menawarkan kepada Adun `rebung buluh` yang baru disiang untuk dimasak. Sebagai menghormatinya Adun terima pemberian. Yang paling uzur yang kami lawati ialah En. Maajis bin Alias. Beliau hampir tidak sedar diri. Kami diberi penerangan oleh isterinya yang setia menunggu. Kami melawat seorang Warga Emas Cina, iaitu En. Khor Seiw Kin tapi telah keluar,kami serahkan penerimaan barang-barang kepada keluarga Cina yang menjadi jirannya. Di Kampong Bahagia Bangi kami melawat rumah En. Ishak bin Lasim yang mengalami kencing manis dan berada di kerusi roda dengan ditemani isteri setianya. Teroja dengan kehadiran kami sebelum berpisah setiap kami dhadiah dengan seplastik maruku yang dimasak sendiri untuk jualan, termasuk hadiah kepada Tuan Haji Sanusi yang mengiringi kami ke rumah-rumah. Ziarah terakhir bagi menyampaikan barangan ialah kunjungan ke rumah Ibu Tunggal Puan Rodiah Abas.
Kami merasa berpuashati dan bersyukur kepada Allah, kerana dapat edar dan sampaikan bahan barangan kepada semua.
Sekian.
August 26, 2011
Ramadhan Mulai Berangkat Pergi
Mempersiapkan diri dengan kelengkapan
Mulai mengangkat sauhnya dari pelabuhan
Sambil melambai menyelamat tinggal
Pada pendukung setia
Penuh syahdu dan sayu
Seorang hamba yang alpa
Tersedu kecamuk pilu
Dalam enggan melepasnya pergi
Dia adalah kekasih
Mencuri hati dan pergi
Betapa luluhnya jiwa
Tidak pasti berkesempatan
Ramadhan akan kembali
Atau dirinya terlebih dahulu pergi.
Semarak Ramadhan
Dengan gemersik azan
Dengan jamaah beriftar di anjung surau
Bersaf-saf para jamaah bersolat
Bertakbir dengan kebesaran
Bertahmid dengan keagungan
Bertasbih dengan kekudusan
Bersalawat pada Junjungan
Bertadarrus dalam kumpulan
Bertahajjud di perut malam
Akan berlalu dari pandangan
Terngiang-ngiang mengetuk kepiluan
Menghiris perasaan.
Ramadhan berpulang
Datang dengan tawaran
Ibadat dan berkebajikan
Tapi kesempatan terluang
Lebih terabai dari pengisian
Sesungguhnya diri seorang Shafie
Tergolong kalangan yang rugi
Abai dari peringatan
Lalai dari amalan.
Ramadhan berlalu
Di tubir waktu
Dan diri termangu
Menzikiri dalam syahdu
Kembali menunggu dalam rindu.
Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
26 Ramadhan 1432
26 Ogos 2011.
August 25, 2011
Sumbangan Raya
Menjelang Raya Idul Fitri beberapa sumbangan disampaikan kepada mereka yang berkenaan. Pagi ini pihak Pejabat Daerah memilih Pejabat Adun Bangi bagi menyampaikan Skim Usia Emas peringkat kedua. Masa yang dipilih bertujuan memberi kelawasan bagi waris-waris yang menerima bagi menyambut hariraya. Turun ke Pejabat Adun ialah Puan Muimina bt. Omar, Penolong Pegawai Tadbir Pengurusan dan En. Rafie Penolong Accountant. Seramai 24 penerima yang dijemput datang menerima pembayaran.
Adun Bangi dalam ucapannya menekankan tentang prihatin kerajaan negeri terhadap rakyat negeri Selangor dengan menyediakan Skim Warga Emas. Selama ini ada yang menjangka skim ini akan berjalan sekerat jalan, tetapi skim ini mendapat sambutan dan orang ramai dan terus berkembang. Baru-baru ini skim ini mendapat nilai tambah dengan program `Jom Shopping` dengan mendapat sambutan yang menggalakkan dari rakyat. Siri Jom Shopping ini dijangka diteruskan pada masa akan datang. Mengakhiri ucapannya Adun bersama Isteri mengucapkan Selamat Hari Raya – Maaf zahir dan Batin. Jika kalangan hadirin akan pulang berhariraya, maka berhat-hatilah di jalan raya.
Sementara itu PEKAWANIS, iaitu Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Selangor juga memberi sumbangan kepada fakir-miskin dan Ibu Tunggal dengan memperuntukkan RM3,000 setiap kawasan Dewan Negeri Selangor untuk diagih-agih kepada mereka yang berkelayakan. Pada tahun-tahun yang lepas Isteri YAB Menteri Besar Datin Seri Salbiah turun sendiri ke kawasan-kawasan bagi mengedarkan bantuan-bantuan, tetapi pada kali ini diwakilkan kepada kawasan-kawasan bagi mengedarkannya. Pejabat Adun Bangi memilih hari ini bagi menyampaikan bantuan kepada pihak berkenaan. Seramai 30 orang dijemput berdasarkan senarai yang telah disediakan. Bagi menambahkan bantuan pihak isteri Adun menambahkan barangan, iaitu kewangan diserta dengan kurma. Secara berbetulan pula sedang persiapan majlis dilakukan, pihak Kerajaan negeri menghantar kuih-kuih raya ke Pejabat Adun dalam jumlah yang agak banyak, maka kuih-kuih raya berkenaan juga menjadi sebahagian sumbangan yang disampaikan kepada penerima-penerima.
Dalam ucapannya Puan Hajjah Mu`minah bt. Yusoff Ahli Pakawanis yang juga isteri Adun Bangi, memaklumkan bahawa Pakawanis bermaksud Pakatan Wanita-Isteri Wakil Rakyat Negeri Selangor termasuk isteri Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen Negeri Selangor. Persatuan ini ditubuhkan selepas negeri Selangor diperintah oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. Tujuan Pakawanis ditubuhkan ialah bagi menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan dan Ekonomi serta membantu para suami di dalam menjalankan tugas mereka menurut kesesuain. Misalnya Pakawanis menganjurkan Projek Laman Dapur` dalam mana ahli-ahli digalak dan menggalakkan orang bertanam seperti ulam, sayur, serai dan sebagainya di laman-laman rumah mereka. Dengan ini para suri rumah dapat mengurangkan perbelanjaan dapur mereka. Bantuan juga disampaikan kepada pengusaha kecil. Pada setiap perayaan dan sambutan Pakawanis ada mengambil bahagian di dalam menganjur dan memberi bantuan kepada mereka yang daif dan memerlukan bantuan. Hari ini adalah salah satu kegiatan yang dijalankan. Selain dari kegiatan yang disebutkan. Puan Mu`minah juga menyatakan, mereka juga mengadakan kelas-kelas pengajian bulanan di kediaman Rasmi Menteri Besar. Pada tahun ini juga diadakan tadarrus dan khatam Qur`an di Kediaman Rasmi Menteri Besar. Penyampaian bantuan disampaikan oleh Puan Hajjah Mu`minah Yusoff dengan dibantu oleh Cik Sabrina bt. Mohd Arip. Majlis dikendalikan oleh Cik Aisyah Zainuddin.
Sekian.
August 24, 2011
Tuanku Sultan Selangor Turun Beriftar Dan Bertarawih Di Masjid Cheras Jaya, Adun Bangi Persembahkan Buku
Masjid Cheras Jaya, 24 Ramadhan = 24 Ogos ( Rabu):
Lebih kurang Jam 6.00 petang Adun Bangi tiba di Pekarangan Masjid Cheras Jaya bersama pembesar-pembesar Negeri, pegawai-pegawai dan kakitangan dan AJK Masjid Cheras. Jam 6.15 turut menyambut ketibaan Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor dan lebih kurang jam 6.45 petang Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah tiba dan disambut oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor dan pembesar-pembesar Negeri Ahli Parlimen dan Adun-Adun dan pegawai-pegawai. Sebaik Baginda bersemayam, acara majlis dimulakan pembukaan dengan doa dan Baginda menyampaikan bantuan kepada faqir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan saudara baru berjumlah 398 orang.
Berikut dari itu ialah persembahan kepada Tuanku dari pihak Pejabat Daerah, MPKj, Ahli Parlimen YB Dr. Rusli Che Mat dan dikuti dengan persembahan dari Adun Bangi.
Sesuai dengan Bangi Bandar Ilmu, maka persembahan dari Adun Bangi ialah satu set buku-buku yang terdiri dari tujuh buah iaitu:
Panduan Hidup Bersyariat
Khalifah Ar-Rashidin
Tokoh-Tokoh Di Dalam Al-Qur`n
Perundangan Islam
Sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi (1977-2007)
Madu Ilmu
Wajah Diri
Dua buku terakhir ialah hasil karya Adun sendiri. Madu Ilmu ialah Kumpulan Puisi terilham berhubung dengan UKM mulai 1968 – dari peringkat awal tuntutan agar UKM didirikan hinggalah 1998. Ianya merupakan pengalaman Adun di UKM semasa menjadi pelajar dan tenaga pengajar UKM sehingga ke peringkat Profesor Madya. Buku ini Adun persembahkan kepada UKM sempena persaraan pada 28-5.1999. Buku ini diterbitkan oleh Jabatan Persuratan Melayu UKM (1999).
Buku yang kedua juga Kumpulan Puisi – Wajah Diri yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1995). Ianya merupakan puisi-puisi pilihan Adun yang bernafaskan keislaman.
Sebelum tiba waktu beriftar Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat Tuan Haris bin Kasim menyampaikan ucapan berhubung dengan pembangunan di Daerah Hulu Langat. Beliau menyatakan bahawa kehadiran Tuanku Sultan Sharafuddin ke Masjid Cheras Jaya adalah bagi kali kedua, selepas kali pertama ialah Pemukaan Masjid Cheras Jaya pada 23 April 2010. Menurut Tuan Haris, di Hulu Langat terdapat sebanyak 45 masjid dan 401 surau dan 10 daripada surau dibenarkan mendirikan solat Juma`at..
Di Hulu Langat jua terdapat 32 sekolah rendah agama, 1 menengah, 30 tahfiz, 58 kafa dan 3 buah Sekolah rendah agama dalam pembinaan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM20.6 juta. Di Selangor juga terdapat Pengajian Tinggi Islam, iaitu Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Fakulti Islam dan Maktab Perguruan Islam. Sebuah Kompleks Islam sedang dalam pembinaan di Bandar Baru Bangi yang kosnya ialah RM17.9 juta.
Jalan-jalan yang sedang pembinaan di Selangor ialah MRT dari Sungai Buluh ke Kajang yang akan menelan belanja ialah RM36.6 billion, KL-Gombak (KLOR) RM1.5 billion,
Dan projek Air dari Pahang ke Hulu Langat berharga RM8.6 billion, manakala Projek Tebatan Banjir berharga RM208 juta. Tuan Pegawai Daerah berharap daripada berbagai projek terbuka peluang pekerjaan dan kemakmuran mengalir sama kepada rakyat.
Selepas Taklimat dan beriftar Bginda Tuanku As-Sultan menunaikan solat Maghrib dan Isyak seterusnya Tarawih bersama rakyat.
Sekian.
August 23, 2011
Khatam Al-Qur`an Antara Kemeriahan Ramadhan
Salah satu kemeriahan Ramadhan ialah bertadarus Al-Qur`an sama ada di masjid, surau, kumpulan atau di rumah-rumah. Setelah tiga minggu berlalu pembacaan tamat atau diulang, maka kemuncak dari pembacaan, diadakan Majlis Khatam Al-Qur`an. Kemeriahan lebih terasa jika ianya diadakan secara ramai-ramai seperti di Masjid dan surau.
Untuk Ramadhan kali ini Adun pertama kali dijemput secara berturut-turut malam ke Majlis-Majlis Khatam Al-Qur`an. Malam pertama ialah ke Surau Al-Islah di Taman Langat Jaya, Jalan Reko dan malam berikut ialah di Surau Al-Ibtida`iyyah di Taman Bangi Indah, Pekan Bangi. Pola sambutan antara kedua tempat hampir sama, kecuali sedikit perbezaan. Demikianlah pada petang Isnin, Adun hadir bersama-sama pengiring ke Surau Al-Islah, Langat Jaya. Ketibaan Adun dan pengiring-pengiring disambut secara berkompang oleh Pasukan Kompang anak-anak muda Surau Al-Islah dan terus bersembahyang Isyak dalam mana Adun diminta mengimaminya dan seterusnya Tarawih dan Witir oleh Imam Jemputan. Adun dimaklumkan untuk meringkaskan masa, upacara Khatam al-Qur`an telah diadakan sejak petang lagi yang melibatkan anak-anak lelaki perempuan dari Sekolah rendah dan menengah. Mereka berbuka di surau. Adun difahamkan berbuka ramai-ramai diadakan setiap petang dan terbuka kepada semua penduduk taman di sini yang berjumlah 168 rumah di sini. Jadi selepas Tarawih diadakan acara penyampaian hadiah, terutama kepad anak-anak yang terlibat dalam tadarrus dari peringkat rendah dan menengah lelaki dan perempuan. Hadiah-hadiah juga disampaiakan kepada AJK dan jawatan-jawatankuasa-jawatankuasa Khatam Qur`an dan mereka yang terlibat dengan surau sepanjang Ramadhan dan berterusan. Adun melihat, hampir semua yang datang mendapat hadiah.
Di Surau Ibtida`iyyah Pekan Bangi, keadaan yang hampir sama diatur. Ketibaan Adun dan pengiring terus ke solat Isya` dan Tarawih yang Adun diminta memimpinnya. Selepas Tarawaih, maka Acara bertadarrus baru dimulakan dengan anak-anak berpakaian baju Melayu selengkap (seperti di Langat Jaya) berkhatam Qur`an. Kanak-kanak perempuan tidak menyertai bersama. Selepas berkhatam Al-Qur`an, maka acara penyampaian cendera mata diadakan. Bermula dari mereka yang terlibat dengan tadarrus, kepada AJK Surau yang menjalankan aktiviti-aktiviti sebulan Ramadhan dan mereka yang sepanjang tahun mengendalikan perjalanan surau. Sebagaimana di Langat Jaya, selain dari hadiah berupakan barangan, mereka juga diberi saguhati dan barangan. Di kedua-dua tempat Adun turut mentampaiak sumbangan kepada surau-surau.
Apa yang menarik kedua-dua surau memberi tumpuan bertadarrus kepada anak-anak Sekolah dari peringkat rendah dan menengah – termasuk juga kepada anak-anak perempuan. Dengan demikian mendakatkan golongan muda dengan masjid dan surau. Mereka menyediakan generasi pelapis yang akan mengimarahkan surau-surau dan nasjid. Dengan demikian dapat mengurangkan masalah gejala sosial yang banyak berlaku di kalangan anak-anak muda yang kurang dibekalkan dengan pendidikan agama. Adun berucap bagi kedua-dua Majlis Khatam Qur`an, miskipun Qur`an dikhatamkan, tetpi janganlah ianya tidak lagi dibaca kecuali bila tiba bulan Ramadhan, pembacaan hendaklah diteruskan dan kehadiran di surau juga hendaklah diteruskan.
Hadir ke Majlis Khatam Al-Qur`an di Surau Al-Islah Taman Langat Jaya ialah saudara Zari, Haji Abdul Wahab, Haji Ismail (Penderma), Encik Zainuddin, manakala hadir bagi Khatam Al-Qur`an di Surau Ibtidaiyyah Pekan Bangi ialah, Tuan Haji Sukaimi, Imam Haji Bukhari, Haji Zakaria Bujang (Ketua Kampong), saudara Zul Nor, Haji Sudin Yusof dan lain-lain lagi.
Sekian.