August 17, 2011

Di Masjid Berkembar Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar

Sungai Ramal Luar, 15 Ramadhan = 15 Ogos (Selasa):

Petang ini jadual berbuka seterusnya bertarawih di Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar. Semasa berbuka sekadar makan sebiji dua kurma dan sekeping dua kuih. Tetapi selepas berjamaah Maghrib sekali lagi ke bawah Lindungan bersebelah Masjid untuk makan yang lebih berat – Nasi Beriani’


Sesudah lauk disusun dengan ayam masak merah, darca dan acar. Adun bertanya ,

`Setiap petangkah disediakan makanan selazat ini di masjid ini ?`

`Yalah YB, Mengapa ?` jawab seorang jamaah yang bersiap untuk makan.

`Kalau begini kenalah kerap datang ke Masjid ini,` jawab Adun bergurau.

`Kalau YB, mau datang lagi, kami akan sediakan makanan yang lebih enak dari hari ini.` Kata seorang jamaah yang lain secara santai.

`Tapi kalau Adun pergi ke tempat lain mungkin ada yang lebih enak lagi,`` kata Adun.

`Tak kisah, asal YB mau datang, kami sedia sebaik makanan.`` kata yang menawarkan.

`Bergurau saja,` kita berpuasa dan berbuka, bukan kerana makanan, tapi kerana keikhlasan kepada Allah`` kata Adun.

`Sebenarnya jadual Adun penuh.` tambah Adun.

Selepas sembahyang tarawih diadakan majlis ringkas bagi menyampaikan peruntukan Adun kepada masjid-surau yang belum menerima peruntukan. Dalam ucapan ringkas Adun menyatakan,
`Kegembiraan dan kekerapan Adun datang ke Masjid Haji Mat Saman, bukan kerana makan sebagaimana gurauan Adun di atas, tetapi kerana hubungan sejarah, komitmen dan sentimental.'

Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar adalah salah sebuah Masjid Tertua di Selangor, didirikan pada tahun 1929 oleh Tokoh Ulama, iaitu Tuan Haji Mat Saman yang nama Masjid di sini diberi dengan namanya sebagai mengingati dan mengenang jasa beliau kepada masyarakat setempat. Pelabuhan Sungai Ramal suatu masa dahulu menjadi pusat komersil. Perahu-perahu dagang singgah di Sungai Ramal dalam rangka menjalankan perniagaan di tempat tersebut. Oleh kerana pusat ini makin berkembang, maka difikirkan perlu berhampiran dengan pusat perniagaan ini didirikan sebuah masjid, bagi kepentingan masyarakat dan penduduk setempat. Lantaran itu didirikan Masjid Jami` Mat Saman di sini bagi tujuan menjalankan ibadat dan juga pusat pendidikan dan pengajaran Islam

Selama lebih dari 8 dekad Masjid Mat Saman terdiri banyak barkat, suka-duka yang dilalui. Oleh kerana Masjid Haji Mat Saman ini dikatakan kurang tepat kea rah Kiblat dan kerana lamanya ada usaha menggantikannya dengan yang baru dilakukan dan peruntukan memang didapati dari Kerajaan Persekutuan. Keputusan diambil Jawatankuasa pada masa itu bagi meroboh bangunan Masjid Haji Mat Saman, Ada yang tidak setuju diroboh, tapi suara sedemikian tidak diberi perhatian. Di luar dugaan pertukaran pemerintahan Kerajaan Negeri Selangor pada Mac 2008 berlaku dan kebebasan bersuara lebih terbuka dan bantahan terhadap perobohan Masjid Lama makin ketara. Adun Bangi mengatur pertemuan dan perbincangan yang membawa turunnya Pengarah Jais pada masa itu Dato` Haji Khusrin Munawi ke Masjid Sungai Ramal mempastikan pedapat penduduk yang akhirnya membawa keputusan mengekalkan Masjid Haji Mat Saman yang lama di samping mendirikan yang baru. Hasilnya menjadikan Masjid Haji Mat Saman sesuatu yang unik sebagai satu-satunya Masjid Berkembar terdapat di Malaysia. Iaitu masjid yang indah dari segi landscaping dan susun atur. Tindakan yang diambil iaitu mengekalkan yang lama di samping mendirikan yang baharu adalah tepat kerana menurut Ketua Kampong Tuan Haji Yusof, Masjid Baru sekarang tidak mampu menampung jumlah jamaah dan perlu menggunakan Masjid yang lama.

Oleh kerana Masjid Haji Mat Saman adalah unik, ia perlu diwarwarkan sebagai daya tarikan pelancung, Tapi kita harap janganlah bangunan semata menjadi tarikan, tetapi kegiatan Masjid mengadakan berbagai program yang bermutu melengkapkan daya tarikan bagi kehadiran pelancongan Ilmu, Daya tarikan ini lebih kukuh, jika Masjid Mat Saman di isi dengan kegiatan ilmu, pendidikan dan kemasrakatan’

Sekian.

1 comment:

  1. Assalamualaikum YB.

    Sungguh elok melihat jawatankuasa yang aktif di sesebuah kampung. Akan tetapi saya hamba Allah ingin memberi teguran yang harap dapat disampaikan kepada jawatankuasa masjid Haji Mat Saman, sebagai tanggungjawab saya seorang Muslim kepada Muslim yang lain.

    Walau sangat baik memanfaatkan masjid dengan pelbagai aktiviti, bacaan al-Quran dan ceramah, janganlah dengan itu pihak masjid melampau batas ketenteraman jiran-jiran dengan melaungkannya setiap masa (setiap hari!) semua aktiviti ini dengan pembesar suara. Selalunya cuma ada setengah dozen orang sahaja tetapi ucapannya sangat nyaring - walaupun di subuh hari atau di waktu maghrib, di mana dahulunya (sebelum jawatankuasa sekarang ini) keheningan waktu tersebut sangatlah mendamaikan hati.

    Azan perlu dilaungkan untuk semua qariah, tetapi bacaan imam hanya perlu untuk jamaah, dan ceramah dan sebagainya hanya untuk para hadirin. Saya berharap dapat dikekalkan kesunyian Sungai Ramal Luar, biarlah ada kesepian untuk para penduduk menjalankan rutin harian sendiri, malah untuk solat dan ibadah pun selalu terganggu, untuk yang sakit berehat dan yang kecil tidur. Di luar masjid kesan gema menyekat isi ceramah didengari dengan jelas, tetapi yang tetap digambarkan daripada tabiat ini adalah ciri-ciri riak dan tidak menghormati perasaan kejiranan, tambahan pula tidak mematuhi undang-undang. Saya mendapat tahu sudahpun ditegur oleh MAIS, tetapi tidak dihiraukan.

    YB, janganlah masjid sendiri yang menggambarkan agama Islam sebagai begitu. Lebih ramai manusia terpanggil masuk Islam pertamanya kerana melihat adab Nabi Muhammad saw daripada mendengar ceramahnya. Lebih ramai umatnya meniru adab dan sahsiahnya kepada orang lain daripada meniru ceramahnya. Maka saya meminta tolong dapat disampaikan nasihat ini untuk ketenteraman ramai supaya dihentikan penggunaan pembesar suara azan untuk aktiviti bukan azan, baiknya dengan muhasabah sendiri, sebelum aduan bertambah dan sampai ke tahap media.

    Hamba Allah

    ReplyDelete