Sekolah Seri Al-Amin Sungai Tangkas telah dibuka sejak 1989, perpindahan ke tapak sekarang di Sungai Tangkas pada tahun 1998, tetapi Sekolah ini tidak mempunyai surau. Dengan pertambahan pelajar – pada peringkat rendah dan menengah lebih kurang 300 orang adalah dirasakan perlu bagi Sekolah mempunyai musalla sendiri. Menurut Tuan Haji Muhamad Ridhuan bin Jaafar Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah usaha mendirikan surau ini dilakukan sejak lima tahun yang lepas. Dengan derma dari ibu bapa (RM500 bagi ibu bapa satu pelajar) dan derma dari berbagai badan dan orang ramai, maka surau dapat dibangunkan sebagaimana disaksikan kini. Kos keseluruhan bagi musalla dua tingkat ini ialah RM500 ribu.
Maka pada hari ini sebagai pernyataan kesyukuran kepada Allah diadakan Majlis Perasmian Penggunaan surau dengan Adun Bangi sebagai Pembantu Exco Agama dan Adat-Adat Melayu diberi penghormatan merasmikannya. Hadir pada petang ini, bermula dengan Maghrib berjamaah ialah saudara Adram Musa Ahli MPKj Zon 22, Tuan Haji Abdul Hadi Husin Ketua Kg. Sungai Tangkas, Prof. Dr. Kamal bin Mustaffa YDP Ikram Selaku Penasihat, Puan Rohida binti Jamaluddin Pengetua Sekolah Seri Al-Amin, Ustaz Megat Mohd. Amin Pengerusi Muslih – Ikram, Prof. Dr. Katiman Sikoh Pengerusi Musalla, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Berkembar Haji Mat Saman Sungai Ramal Luar, para ibu bapa dan penduduk setempat.
Majlis yang bermula dengan sembahyang maghrib dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Tuan Haji Mohd Ridhwan itu memaklumkan dengan pembukaan Musalla Seri Al-Amin melengkapkan keperluan pendidikan di Sekolah. Ia adalah makmal praktikal bagi latihan-latihan keagamaan. Masjid ini menjadi lebih penting sebagai Pusat Pengajian Tahfiz yang akan dibuka di Sekolah pada tahun 2013. Musalla menjadi pusat excellance terutama bagi pendidikan keislaman.
Menurut Tuan Haji Mohd. Ridhuan, pihak Sekolah sebenarnya tidak mempunyai kemampuan mendirikan musalla, jika mengharapkan kutipan yuran biasa, tetapi kejayaan kita memungut dana sehingga RM500 ribu yang dapat menyiapkan Musalla ini adalah sumbangan dari berbagai pihak dari yang bersifat institusi, koperat, berbagai badan hinggalah kepada individu perseorangan. Kita adalah mengucapkan terima kasih kepada mereka. Beliau mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan sokongan yang berterusan dari ibu bapa dan mengharapkan sokongan sedemikian akan berterusan.
Adun Bangi ketika menyampaikan ucapan perasmian,menyifatkan pembinaan Sekolah Al-Amin baik di sini dan cawangan-cawangan yang lain dan pada hari ini Musalla bagi Sekolah Seri Al-Amin Bangi adalah manifestasi visi dan misi kelompok intelektual Islam yang mau melihat satu corak pendidikan Islam unggul di negera ini. Adun Bangi berpendapat hasrat mereka – golongan yang disifatkan sebagai kelompok muda yang kental dengan keimanan dan ditambah Allah dengan pertunjukan ini, sedang mencapai objektif yang diletakkan selama ini. Adun berharap pendidikan seperti ini diperluaskan, kerana Sekolah seperti ini amat diperlukan oleh masyarakat. Kita amat kurang dengan Sekolah Menengah Agama Islam. Kita Kerajaan negeri Selangor berharap ianya diperluaskan. Adun Bangi berpendapat Sekolah Seii Al-Amin didirikan di Dun Bangi dan menjadi identity bagi Bangi sebagai Bandar Ilmu.
Kewujudan Musalla di tengah-tengah pusat pengajian adalah menjadi tradisi dan identity pusat pengajian yang berpaksikan masjid, sursu, Musalla dan sebagainya. Ia melambangkan ilmu sebagai inti yang mengelilinginya lebah-lebah ilmu yang menjadi madu dan penawar kehidupan. Berhubung dengan hasrat Sekolah memohon untuk mendirikan solat Jumaat di musalla ini, kita adalah menyokong bagi memudahkan pelajar-pelajar menunaikan Jumaat di sini. Dengan ini mengurangkan masa dan perbelanjaan transportation untuk keluar berjamaah di luar dari kawasan Sekolah, Dengan kebenaran Musalla mendirikan solat Jumaat, tidak bererti kita menyekat surau Al-Hidayah di kampong ini dari mendirikan Jumaat. Kita sokong kedua-dua permohonan dan kebiasaannya tiada maslah. Kita berharap melalui musalla ini mengeratkan hubungan Sekolah dengan masyarakat, iaitu melalui solat dan berbagai-bagai kegiatan yang diadakan di Sekolah, khususnya di Musalla ini.
Berikut dari ucapan Adun diiringi oleh Tuan Haji Mohamad Ridhuan dan beberapa yang lain ke acara menandatangani plug.
Sekian.
No comments:
Post a Comment