August 2, 2011

Konvoi Bermotor Karnival Dua Dekad Amal Menggegar Bangi

Masjid Al-Hasanah, 29 Syaaban = 31 Julai (Ahad):

Antara program yang menarik golongan muda ke Karnival Amal Dua Dekad di Bangi ialah Konvoi Bermotor dari Masjid Al-Hasanah ke Stadium Sukan, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi. Program bersesuaian dengan tema `Orang Muda Geng Kita`. Program adalah di bawah kelolaan Pemuda Pas, Bangi, Serdang. Penyertaan terbuka kepada anak muda dari seluruh daerah negeri Selangor. Program bermula seawal jam 7.30 pagi. Lantaran itu bagi pemuda-pemuda yang tidak menyertai karnival sejak Khamis 28 Julai, mereka datang khas menyertai Konvoi Bermotor pagi ini. Bagi yang tinggal jauh dari Bangi, mereka datang sejak petang dan malam tadi lagi. Dan pada malam ini Masjid Al-Hasanah menyediakan Kuliah selepas Maghrib ke Isyak (Kuliah disampaikan oleh Ustaz Zaharuddin Menantu YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang – Presiden Pas) , qiyamullail pada malamnya dan tazkirah selepas sembahyang subuh. Jadi bagi anak-anak muda ini yang datang dapat mengikuti program-program ini dan kemudian rehat dan tidur dianjung dan koridor masjid yang antara tempatnya dibentangkan tikar. Bagi mereka disediakan makan pagi.

Bagi Program Bermotor ini Adun Bangi diberi penghormatan 'Melepaskan Konvoi Bermotor'. Sebanyak 500 buah motor memenuhi halaman hadapan Masjid Al-Hasanah. Hadir sama bagi acara Pelepasan Konvoi Bermotor ini ialah saudara Adram Musa, Ketua Pemuda Pas Serdang, Ketua Lajnah Sukan Dun Bangi saudara Dahari, Pengarah Konvoi ialah saudara Abdul Halim, manakala Pengurus ialah saudara Khairul Hafiz. Penyertaan paling ramai ialah dari Bangi sejumlah 70 motorsikal, manakala jumlah teramai kedua ialah dari Pandan sebanyak 60 motorsikal.

Sebelum melepaskan Konvoi Bermotor, Adun berucap melahirkan kebanggaan dengan kehadiran anak-anak muda ke perkarangan Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi yang bakal menggegarkan bumi Bangi, menjengukkan penghuni rumah mendengar kelaian bunyi yang selama ini yang didengar ialah suara azan, tapi kali ini dengungan dan deruman motor-motor berkuasa tinggi. Adun berpesan supaya menjaga peraturan jalan raya dan memandu secara berhemah. Adun berharap Konvoi Bermotor hari ini sebagai simbolik, bahawa anak muda adalah pasukan yang siap siaga menentang sebarang penyelewengan dan bersedia menyerang dengan konvoi ini bahkan mampu mengerah tenaga muda yang lebih besar dari ini. Ini sesuai dengan kehendak Allah melalui firmannya yang bermaksud:

"Hendaklah kamu bersiapsiaga semampu kamu dari segi kekuatan kenderaan dan pasukan berkuda yang boleh menggerunkan musuh Allah yang juga seteru kamu (Al-Anfal: 60)."

Adun Bangi berharap Pasukan Orang Muda pada hari ini tidak saja menggerunkan penduduk Bangi, tetapi menggerunkan kalangan musuh-musuh politik Negara.

Sebaik Adun bersama saudara Adram Musa dan Pengarah saudara Halim melepaskan konvoi dengan tiga jenis bendera - Selangor, Malaysia dan Pemuda, deruman enjin motor-motor memecah ketenangan pagi, mengejutkan mereka yang masih tidur, melayahkan burung yang terbang keluar mencari makan menyangkakan musuh menyerang. Menghentikan kenderaan dijalan terkejut dengan banyaknya motor dijalan dan semua penghuni keluar ke laman rumah melihat apa sebab bunyi bagai halilintar menderam.

Konvoi berjejaran bagai berlumbaan mengikut arah master. Khabarnya ada road block sengaja tunggu dijalan berhadapan kediaman Pegawai Daerah, tapi Master mengarah konvoi mengikutinya melalui jalan lain ke Jalan Reko, menyusuri Sungai Tangkas, melintasi Kampus UKM lantas ke arah Pekan Bangi, tapi membelok ke Teras Jernang, melalui bulatan berhadapan tol Bangi terus ke Bulatan UKM dan terakhir membelok ke Kompleks Sukan melepaskan deruman terakhir setiap motor sebelum masuk ke padang secara tersusun dan teratur mengahadap astaka. Adapun Adun selepas melepaskan Konvoi, turut berlepas menunggu konvoi tiba di bulatan UKM untuk dirakam gambar oleh saudara Azizi.

Amat cantik melihat ketibaan konvoi, motor-motor berjejaran tiba mengelilingi bulatan UKM bagai pusaran air yang ganas dan garang yang boleh menenggelamkan seteru dan musuh yang mengancam. Dari segi imaginasi yang lain motor-motor berkenaan bagai burung-burung layang-layang dan kapal terbang yang terbang rendah mengelilingi bulatan secara seni dan harmoni dari segi gerakan yang mempesona sesiapa yang memandang.

Demikianlah gerak simbolik dari pemuda Berkonvoi Bermotor yang dalam sejam menggemparkan masyarakat di Bangi, seolah-olah musuh menyerang Bangi dari darat dan udara layaknya. Ini mengingatkan kepada musuh terutama dari BN jangan memandang ringan terhadap golongan pemuda PR, khususnya Pas yang sekarang sedang siap siaga untuk menghadapi pertempuran. Simboliknya sebarang penyelewengan, mereka adalah combat pelapis yang mengiringi Tentera Bersih yang terus bersemangat dan bertahan, meskipun antara mereka ditangkap, tertembak luka dan dilanggar kenderaan.

Konvoi pada pagi itu diakhiri dengan perhimpunan Majlis Sambutan Wira yang pulang dengan penuh kejayaan. Motor-motor terhantar dipadang bagai squadrun baru mendarat dari menyerang musuh penuh kejayaan dan bagai kereta-kereta perisai dan kereta kebal yang kembali dari berarak tersusun penuh kejayaan.

Di atas astaka menghormati wira-wira ialah Ustaz Hasbullah Ketua Pemuda Pas Selangor, Saudara Adram Musa Ketua Pemuda Pas Serdang, saudara Johari Osman Pengarah Karnival, saudara A. Halim Pengarah Sambutan, saudara Abdul Hamid, saudara Khairul Hafiz Pengurus. Ustaz Hasbullah mengucapkan tahniah di atas semangat yang ditunjukkan oleh golongan muda dan semangat ini diharap berterusan bagi menjayakan misi perjuangan. Saudara Adram mengucap tahniah di atas penyertaan dan Adun Bangi yang diberi sekali lagi penghormatan berucap dengan mengharapkan pengalaman di Bangi menjadi azimat perjuangan. Majlis berakhir dengan penyampaian cenderamata MOU dengan Syarikat Pelincir Maxwell dan Adun bersama Ustaz Hasbullah memotong reben melepaskan belon simbolik bagi kejayaan. Allahu Akbar.

Sekian.

No comments:

Post a Comment