August 7, 2011

Si Ibu Menunggu `Kepulangan` Bekas Suami Dirindu

Ziarah kami kepada seorang Ibu Tunggal

Sempena Ramadhan sampaikan bantuan

Membawa kami lebih ke persoalan

Rumah tangga perlu diselamatkan

Dan kemanusiaan perlu dimuliakan.


Sebelum kami menghadiri

Kami ditaklimat muslimat

Tentang keruntuhan rumah tangga

hampir setahun lamanya berlaku

Ibu tunggal dan anak-anak bertahan di situ

Sedang Bekas Suami keluar menyendiri

Masih keseorangan hingga kini

Masa ketibaan kami Bekas Suami datang

Dia memang beri perhatian perbelanjaan anak-anak

Dan bayaran pinjaman rumah bulanan

Tetapi sebaik kami tiba dia berangkat

Sebelum sempat kami bercakap.


Mengetahui duduk perkara

Kami melangkah dengan waspada

Jawapan salam di balas tanpa ceria

Mendung berarak di wajah ibu

Dan anak-anak bersama sayu

Dalam perbualan sama muslimat berkunjung

Si Ibu tidak mengetahui apa terbuku di kalbu

Bekas suami bersikap begitu

Yang pasti Si Ibu tetap menunggu

Kepulangan Bekas suami kembali bersatu

Demikian anak-anak tetap merestu

Daripada melihat ayah tidak menentu.


Yang kami hadapi bukan sekadar perceraian

Tetapi kemanusiaan yang tersula di hati sekalian

Bayangkan derita jiwa tak terbawa si ibu

Bera duka nyata terbayang di muka

Derita Si Ibu dari segi ekonomi sehari

Terpaksa menjual panggang kepak ayam madu

Di pinggir jalan laluan di situ

Bayangkan betapa salahabah anak-anak

Melihat ibu yang bera

Melihat ayah tak tentu hala

Tatkala kami sampaikan bantuan

Diterima ibu dengan air mata berguguran

Dan anak-anak bersama kesepian

Kami merasa betapa berat duka

Lebih berat keluarga yang merasa

Kita bertanya kepada Sang Bapa

Apakah kesalahan tak termaaf ?

Dengan harga apakah mau dicagar

Runtuhnya bahagia sebuah keluarga

Berdamai bermaaflah di bulan mulia

Sama berbahagia menyambut Hari Raya.


Setelah keluar dari kunjungan

Kami berunding dengan ahli tempatan

Ambil inisiatif usaha mengembalikan

Sebuah keluarga masih boleh diselamnatkan.



Shafie Abu Bakar,

West Country, Bandar Baru Bangi

07 Ramadhan 1432

07 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment