August 11, 2011

Berkunjung Menemui YB Dr. Halimah Ali Bincang Penerbitan Buku `Bangi Bandar Ilmu`

Bangunan SSAAS, Shah Alam, 10 Ramadhan = 10 Ogos (Rabu):

Sebagaimana temujanji telah dibuat seminggu sebelum ini, maka pada jam 3.00 tepat kami bertolak dari Pejabat Adun di Bandar Baru Bangi bagi menemui YB Dr. Halimah Ali Exco - Selaku Pengerusi Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan. Jangkaan kami sampai jam 4.00 petang selepas YB Dr. Halimah selesai menghadiri mesyuarat Exco. Kehadiran kami bagi membincangkan Projek Penerbitan Buku `Bangi Bandar Ilmu` yang manuskripnya 70% telah disiapkan. Penerbitannya dijangka pada akhir 2011.Sesampainya kami tepat jam 4.00 ptg. YB. Dr. Halimah sedang menunggu kami. Kami hadir seramai 5 orang selain dari Adun ialah sdr. Amir Osman sebagai Ketua Lajnah Media, Buletin dan Penerbitan Adun Bangi, Puan Nabilah bt. Ahmad dan sdri. Noor Aisyah bt. Zainuddin kedua-duanya Pentadbir di Pejabat Adun dan Sdri. Nur Sabrina bt. Mat Arip Setiausaha Sekretariat Bangi Bandar Ilmu.

Penerbitan buku `Bangi Bandar Ilmu` adalah bagi mengabadikan sejarah Pelancaran Bangi Bandar Ilmu yang dilakukan oleh YAB Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 22 Jun 2008 bertempat di KUIS. Juga bagi mengukuhkan Imej Bangi Bandar Ilmu yang cetusan idea awal dilakukan sempena Sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi dari 30 Julai – 01 September 2007. Berikut dari Sambutan Ulangtahun Ketiga Periytiharan Bangi Bandar Ilmu dan Hari Ilmu pada peringkat negeri dan disambut serentak di Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi pada 26 Jun 2011, maka Sekretariat Bangi Bandar Ilmu diwujudkan berfungsi bagi mengadakan berbagai aktiviti yang memprojek dan meningkatkan Imej Bangi Bandar Ilmu – antaranya menerbitkan buku-buku. Buku Bangi Bandar Ilmu adalah merupakan buku sulung bakal diterbitkan oleh Sekretariat.

Pertemuan dengan YB. Dr. Halimah adalah membincangkan penerbitan buku Bangi Bandar Ilmu ini yang bukan saja sebagai dokumen bagi Bangi Bandar Ilmu, tetapi juga mengukuhkan sama Selangor sebagai Hub Ilmu. Disamping perbincangan mengenai Bangi Bandar Ilmu juga turut dibawa sama untuk perbincangan ialah Peraduan Mengarang Esei Peringkat Tinggi dan Peringkat Menengah dan Peraduan Menulis Puisi yang dilancarkan di Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi pada 26 Jun 2011 yang lepas yang tarikh tutup bagi semua peraduan ini ialah pada akhir Disember 2011.

YB. Dr. Halimah nampaknya amat berminat dengan penerbitan Bangi Bandar Ilmu dan beliau berulang-ulang membelek dan meneliti manuskrip yang dibawa bagi membuktikan bahan berkenaan telah wujud dan kehadiran kami juga mengemukakan kepada YB Dr. Halimah surat menjemput bagi beliau menulis kata-kata aluan bagi buku tersebut. Beliau mengemukakan soalan, `Mengapa tebal sangat ?` - kami jangka setebal 300 halaman. Kami maklumkan bahawa kandungan buku ini bukan setakat dokumen pelancaran Bangi Bandar Ilmu, tetapi melibatkan jua Konsep Bandar Ilmu, diisikan kertas-kertas seminar berhubung dengan Bangi Bandar Ilmu, kertas-kertas yang berhubung dengan Sambutan 30 tahun Bandar Baru Bangi. Turut diisikan dengan Peranan Masjid-Surau sebagai Pendukung Ilmu, Institusi Pengajian di Bandar Baru Bangi baik dari segi universiti, Pusat Penyelidikan dan Tokoh_tokoh Ilmuan yang lahir dari Bandar Baru Bangi, sumbangan idea, falsafah pemikiran tokoh-tokoh yang menjadi identiti mereka yang memberi sumbangan keilmuan sebagai `Pemikiran Bangi` atau `Aliran Bangi. Di dalamnya juga akan membicarakan tentang perkembangan Bangi dari segi fizikal sebagai segi tiga emas antara Putera Jaya, Kuala Lumpur dan Seremban. Dengan pembicaraan aspek-aspek sedemikian menjadikan buku ini kelak lebih tebal. Penerbitan buku `Bangi Bandar Ilmu` amat disetujui oleh YB Dr. Halimah. Menurutnya,
``YAB Tan Sri Dato` Seri Menteri Besar tentu amat bergembira dengan penerbitan buku ini, kerana beliau ialah tokoh yang terlibat dengan pengisytiharan Bangi Bandar Ilmu pada 22 Jun 2008 itu.`` Menurut YB. Dr. Halimah, ``Buku Bangi Bandar Ilmu, bukan saja menjadi dokumen penting bagi Bangi, tetapi juga sebagai satu hasil yang diterbitkan semasa Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat,`` katanya.

Perkara penting kehadiran kami menemui YB Dr. Halimah, ialah dana bagi penerbitan buku Bangi Bandar Ilmu dan buku-buku hasil dari Pertandingan Mengarang Esei pada peringkat Tinggi dan Menengah – juga pertandingan menulis puisi yang semuanya tentang atau yang ada hubungan dengan Bangi Bandar Ilmu serta hadiah-hadiah. Dana dan kos bagi kedua-dua tersebut agak tinggi. Walau bagaimana YB Dr. Halimah minta diberi perhatian terhadap penerbitan buku `Bangi Bandar Ilmu` terlebih dahulu. Adapun bagi Peraduan Menulis dan Penerbitan boleh dibincangkan kemudian. Lagi pula menurutnya, ``Adun boleh menggunakan peruntukan Adun sendiri.``

Bagi kos penerbitan buku `Bangi Bandar Ilmu` kata YB Dr. Halimah,
`Butir kos perlu dikemukakan secara detail untuk diangkat ke atas.` Sejumlah peruntukan disetujui oleh beliau`

Pertemuan berlangsung lebih kurang sejam dan pada jam 5.00 petang kami mmemohon diri dan mengucapkan terima kasih kepada YB Dr. Halimah di atas kesudian beliau menemui kami, bahkan bersetuju dengan jumlah peruntukan permulaan bagi menerbitkan buku:

Bangi Bandar Ilmu`

Sekian.

No comments:

Post a Comment