August 10, 2011

Pengisian Dan Ziarah Ramadhan 1432/2011 Kudus Dan Meriah

BBB, 10 Ramadhan = 10 Ogos (Rabu):

Sudah 10 hari kita menjalani ibadat berpuasa. Berbagai kegiatan diisi bagi menghayati Ramadhan Mubarak dan Quddus ini. Adun sendiri selain dari kegiatan yang bersifat peribadi dan mentadbir pejabat dan memenuhi keperluan dan permohonan masyarakat yang datang ke Pejabat, mempunyai program yang diatur bagi sebulan Ramadhan.

Program Utama bulan Ramadhan ialah menziarah jamaah di masjid Surau pada setiap malam. Walau bagaimana tidak semua masjid & Surau dapat dilawati kerana jumlah masjid di Dun Bangi 10 buah dan surau 100 buah. Untuk tahun ini Adun lebih tumpu menziarah surau-surau kecil terutama surau yang jarang Adun datang. Misalnya selepas malam pertama di surau sendiri (Al-Umm), ada menziarah Surau Ar-Raudah di Apartment Sutera Emas. Surau ini agak terpencil dan agak jauh, begitu juga pada hari kedua ke Surau Ar-Raudhah, Seksyen 5 Bukit Mahkota, kembali ke BBB Surau Al-Ittihad, Seksyen 5, BBB, Surau Nurul Idaman, Seksyen 5, Bukit Mahkota, Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Surau Al-Abrar, Seksyen 7 – BBB, Surau Al-Muhajirin, Kajang Utama dan malam tadi di Surau Al-Ma`mur, Fasa 9, Bukit Mewah. Pada kebiasaan disamping berjamaah dan kadang-kadang diminta jadi Imam dan bertazkirah, pada kesempatan ini Adun menyampaikan bantuan Ramadhan RM500 bagi setiap surau dan bagi surau-surau kecil turut dihadiahi naskhah-naskhah Al-Quran dan buah tamar seperti di Surau Apartment Suteramas dan Surau al-Ma`mur (Hadiah Al-Qur1an dan Peruntukan)

Ada surau yang mengambil peluang dengan kehadiran Adun diadakan Majlis Penyampaian Bantuan kepada faqir-miskin seperti di Surau Al-Huda dan Surau Nurul Idaman, Seksyen 5, Bukit Mahkota. Kehadiran Adun ke Surau Al-Muhajirin, selain dari berjamaah Surau ini mengadakan Pelancaran Kelab Remaja Islam Masjid-Surau (KARIM) pada malam 8 Ogos (Isnin). Menurut Tuan Haji Azhar Pengerusi Surau semasa pelancaran terdapat 20 pelajar telah mendaftar dan keahlian terus dibuka. Perasmian dilakukan oleh Adun dengan memotong ikatan poster. Pimpinan solat Tarawih pada malam ini juga dipimpin oleh golongan belia. Dengan adanya ruang yang diberi kepada golongan belia, diharapkan mereka dapat mengadakan berbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada belia dan masyarakat.


Selain dari menziarah pada waktu malam, program ziarah pada siang hari juga diadakan seperti penyampaian bantuan fakir-miskin di Surau Al-Huda dan Surau Al-Muhajirin pada petang 3 Ogos. Menziarah rumah ke rumah dan menyampaikan bantuan kepada fakir-miskin di West Country berjumlah 10 orang pada pagi Ahad (7 Ogos) dengan diiringi ahli-ahli Lajnah Kebajikan.

Kemudian pada sebelah petangnya Program Pengagihan Bubur Lambuk Adun pertama kali dari beberapa kali dirancang diadakan. Pihak Adun memberi peruntukan melalui Lajnah Kebajikan bagi satu-satu cawangan mengadakan gotong royong memasak Bubur Lambuk. Program pertama kali ini disambut oleh Markas Tarbiah Teras Jernang. Pihak Markaz memasak beberapa periuk Bubur lambuk sejak tengahari. Sebelum asar bahan-bahan dimasukkan dalam bekas plastik. Lebih dari 300 kotak disediakan dan selepas solat Asar Adun turun bersama pengiring-pengiring kebanyakan dari Teras Jernang diketuai Ustaz Basir dan saudara Faisal bersama Adun membahagi-bahagikan bubur lambuk ke setiap rumah di Teras Jernang. Dari jam 5.00 hingga jam 7.00 petang sebanyak 150 buah rumah dapat dilawati bagi membahagikan bubur lambuk.

Amat terasa kekudusan dan kemeriahan Ramadhan yang diisi dengan ibadat dan Khidmat Masyarakat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment