August 30, 2011

Bersama Dengan Warga Rumah Pengasih Menyiapkan Juadah Hariraya

Sungai Ramal Luar, 29 Ramadhan = 29 Ogos (Isnin):

Ketibaan Adun di Rumah Pengasih bersama Ketua Kampong, Sungai Ramal Luar Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir dan Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Berkembar Haji Mat Saman disambut dengan kompang oleh Pasukan Kompang Anak-Anak Rumah Pengasih. Adun ke sini bersama Ketua Kampong dan Tuan Nazir pada tengahari ini menggantikan fungsi bapa-bapa kepada penghuni-penghuni Rumah Pengasih yang dihuni 92 orang penghuni. Mereka kehilangan kasih sayang akibat kematian ibu bapa dikasihi atau ditinggalkan, bahkan berbagai-bagai masalah yang dihadapi menyebabkan mereka terhantar di sini di bawah riayah Rumah Pengasih yang diasas dan dikendalikan oleh Dr. Haji Marzuki selaku Pengerusi dan kawan-kawan yang sama membantu.

Sesampainya Adun di sini dapat melihat dan menyertai sama kegiatan membakar lemang oleh anak-anak Rumah Pengasih. Adun difahamkan sebahagian anak-anak ini sendiri (enam orang) ke Sandayan, Negeri Sembilan memotong dan mengerat buluh-buluh. Mereka boleh beli batang-batang buluh di pasaran, tetapi mereka mau anak-anak merasa sendiri thrill bagaimana proses mendapatkan buluh dan membawanya balik dengan kenderaan MPV. Semua persediaan menyiapkan beras 15 kilo pulut dan santan dan memasukkannya ke dalam buluh dan membakarnya dilakukan oleh anak-anak Rumah Pengasih. Adun juga melihat anak-anak yang dari umur 5 . 6 tahun hingga belasan tahun ini juga bergotong royong menganyam ketupat nasi (10 kilo), memasukkan beras dan merebus di dalam periuk. Kalangan anak-anak perempuan pula mengacau dodol 14 kilo pulut di dalam satu kawah. Mereka juga bergotong royong menyiapkan rending daging sebanyak 10 kilo dan rendang ayam sebanyak 15 ekor.

Sesudah menyertai gotong royong memasak juadah-juadah Hariraya Idul Fitri 1432/2011 bagi anak-anak di Rumah Pengasih Adun, Ketua Kampong dan Nazir diiringi ke dalam Ruang Tamu di mana sedikit Majlis Rasmi diadakan:

Dr. Haji Marzuki berucap mengalu-ngalukan kedatangan Adun dan rombongan. Beliau mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Adun yang sering menjenguk keadaan Rumah Pengasih – termasuk segera hadir bila berlaku kebakaran pada 31 Julai 2011 lepas. Menurut pihak bomba, kata Dr. Marzuki, kes ini diakibatkan ada yang bermain tin spray dari macis yang dinyalakan. Kerosakan telah dapat dipulih. Menurut Dr. Marzuki, latihan selama ini dapat menyelamatkan bangunan dari kebakaran, Sebanyak 15 fire distinguihers digunakan bagi memadam kebakaran. Beliau juga berterima kasih kepada jiran-jiran yang memberi pertolongan. Menurut Dr.Haji Marzuki aktiviti memasak yang dilakukan oleh warga Rumah Pengasih adalah melatih mereka berdikari dan menyedia dan mengendalikan kehiduipan mereka sama ada diwaktu senang, lebih-lebih lagi waktu menghadapi kecemasan.

Tuan Haji Mohd Yusof selaku Ketua Kampong memang perlukan maklumat dari rumah Pengasih bagi semua tugas, khususnya bila berlaku kemalangan dan kecemasan. Lantaran jika berlaku sesuatu seperti kematian dan kemalangan. Beliau bersukacita hubungan Rumah Pengasih dengan jiran-jiran bertambah baik dan ini perlu diteruskan.

Adun dalam ucapannya berterima kasih di atas jemputan dibuat bagi menyertai Gotong Royong menyiapkan juadah bagi menyambut raya. Adun teroja di atas sambutan yang diberi warga Rumah Pengasih. Adalah menjadi tugas Adun mengetahui masalah yang dihadapi penghuni Rumah Pengasih. Ini adalah antara misi Adun ke sini pada hari ini. Adun juga kagum di atas sikap berdikari Rumah Pengasih yang tidak bersikap meminta-minta dan berusaha mendapat dana dengan berbagai ikhtiar. Namun tidak menolak kepada siapa yang bersuka rela untuk menghulurkan bantuan. Atas hasrat ini kehadiran Adun antaranya membawa sedikit bantuan dari segi kewangan, beras dan barangan yang lain yang dapat meringankan kos yang ditanggung Rumah Pengasih yang memerlukan belasan ribu ringgit sebulan bagi menampung warga Rumah Pengasih yang berjumlah hampir 100 orang itu.

Semoga usaha kebajikan diberkati Allah dan mendapat sokongan dari berbagai pihak. Insya Allah. Salawat dan salam kepada Junjungan Rasulullah bergema di pekarangan Rumah Pengasih mengiringi kepulangan Adun dan rombongan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment