October 8, 2011

Al-Hamdulillah Maryam Sarah Mendapat Hidayah Dari Allah

Majlis kecil pagi ini diadakan
Tidak lain dari pernyataan kesyukuran
Bahawa Ukhti Maryam Sarah saudari kita
Bermula dengan lafaz dua Kalimah Syahadah
Menyatu kita hablun minannas dan minallah
Merentas batas sempadan dan rupabangsa
Dia adalah saudari kita.

Ukhti Maryam Sarah jiwanya lebih murni
Daripada kita berpegang menurut tradisi
Bertahun dia dalam pencarian
Membuat penelitian dan pertimbangan
Antara gelombang arus fikir
dengan kebiasaan terus mengalir
Liku-liku budaya dan perubahan
Yang harus dibuat penilaian
akhirnya ilmu menyuluh diri
dengan hidayat dari Ilahi
Dia sesungguhnya mengambil keputusan
Secara berani dan berkeyakinan
Kukuh pada paksi pegangan.

Ukhti Maryam Sarah
Satu-satunya permata hati bonda
Bertahun jua dia membuat pertimbangan
Antara memelihara kasih sayang
Jangan sampai terasa apa lagi terluka
Hati ayah-bonda juga keluarga
Akhirnya Ukhti Maryam Sarah ambil ketetapan
Sesuatu yang berat di kaki lebih-lebih lagi di hati
Ini kita fahami ketika dia membalas ucapan
Menyentuh persoalan dirinya dan keluarga
Tak dapat menahan diri dari ombak emosi
Lantas sebaknya pecah mengalir airmata di pipi
Tetapi betapa bapa ibunya menentang
Dia tetap mencari sudut keredhaan
Tanpa menggadai keyakinan dipegang
Doakan dia anak baik pada keluarga dan Tuhan.

Dalam acara ringkas dan ringan
Kita berdepan dengan kekuatan azam
Ukhti Maryam Sarah memang pantas
Menyesuaikan diri dengan keadaan
Dia menampilkan diri seorang muslimah
Bertudung serta berpakaian sopan
Mesra bergaul sesama teman meraikan
Kita sama dari satu institusi pendidikan.

Ukhti Maryam Sarah bersama kita
Tenang mesrakan dia sebagai muslimah
Sama-sama panjangkan bimbingan
Dari segi aqidah dan syariah amalan
Jangan biarkan keciwa sesalan oleh pengabaian
Jadikan Ukhti Maryam Sarah di tengah kita
Kandil hidayat terus menyala.


Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi
09 Zulkaedah 1432
07 Oktober 2011.

No comments:

Post a Comment