October 13, 2011

Kenalpasti Identiti Selangor Jangan Emotional dan Irrational: Sastera Di Selangor Perlu Ada Identiti & Jatidiri Berbeza Dari Sastera Di Malaysia ?

BBB, 14 Zulkaedah = 12 Oktober (Rabu):

Tulisan ini adalah lanjutan dari tulisan semalam (kelmarin) yang membicarakan tentang Mencari identiti negeri Selangor. Sememangnya kenalpasti identiti negeri Selangor satu yang baik yang masyarakat berbangga dengannya dan mempromosi Selangor dengan identitinya yang menonjol. Contohnya `Selangor Negeri Maju, Selangor Gerbang Utama Ke Malaysia` Selangor Hub Pendidikan` dan sebagainya.

Namun di dalam usaha mengenalpasti identiti Selangor jangan sampai bersifat taassub, emotional dan irrational. Kita bertanya di dalam usaha kenalpasti ini adakah wajar setiap benda dan perkara di Selangor mesti dikenalpasti ciri keselangorannya ? Kita berpendapat usaha mencari identiti jangan sampai membawa kepada sifat taassub dan irrational sehingga perkara kecil dan titik bengek juga dicari identiti keselangoriannya. Ini ialah kerana:

1) Banyak perkara yang identitinya bersamaan dengan tempat lain

2) Selangor bersempadan dengan negeri lain yang identitinya bersamaan

3) Tidak releven dan tidak significant

4) Menghabiskan masa dan peruntukan

5) Tidak banyak faedah yang dapat disumbangkan

Contoh misalnya mengkaji perbezaan & identiti perahu Selangor dan perahu Perak yang cirinya tak ketara kerana berdekatan dan berhampiran. Begitu juga misalnya mengkaji identiti perbezaan tempe Selangor dengan tempe Perak. Perkara sedemikian adalah remeh temeh dan sia-sia. Perkara-perkara yang hendak dikenalpasti dari segi identiti ialah yang menarik dan jelas dikenali misalnya seni bina Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.. Kolej Islam sebagai Kolej mula bertaraf pengajian tinggi di Malaysia yang bertempat di Klang, Selangor, Bangi Bandar Ilmu di Selangor. Penonjolan adalah dari segi kelainan dan keistimewaan yang ada padanya, tetapi jika semua masjid dan surau yang bersifat biasa tiada apa significantnya. Bangunan biasa yang begitu banyak adalah biasa dan tak perlu dicari identitinya, sebaliknya bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Bangunan Dewan Negeri Selangor sememangnya ada significantnya.

Di dalam hal ini kita juga mempersoalkan mencari Identiti dan Jati Diri Sastera Selangor ! Pendekatan seperti ini, walaupun boleh dibuat tapi kurang significant dan releven kerana sastera Selangor dengan negeri-negeri yang lain pada dasarnya adalah bersamaan dari segi ciri dan identiti umumnya. Sastera tradisional juga walaupun mungkin ditemui di Selangor tidak semestinya berasal dari Selangor. Yang lebih diberi tumpuan kajian ialah dari segi linguistik seperti perbezaan bahasa, dialek dan istilah. Tetapi kajian dari segi linguistik adalah berlainan dari kajian dari segi sastera.

Jika pun hendak dikaji dari segi sastera hendaklah dikaji secara terbuka, iaitu bidang sastera dan bahasa sebagai satu bahagian dari bidang bahasa dan sastera di Malaysia.

Jika kita melihat dan mengangkat Selangor sebagai Hub Ilmu di Malaysia, maka Selangor juga dapat dilihat sebagai Wadah Perkembangan Bahasa dan Sastera di Malaysia. Ini lebih releven dilihat dari usaha melihat identiti dan jatidiri sastera di Selangor sebagai satu yang tersendiri dan terpisah dari sastera kebangsaan atau nasional. Melihat sastera Selangor di dalam konteks Malaysia ada fakta dan relevennya, kerana Kuala Lumpur yang menjadi ibu kota Negara Malaysia yang berada di Selangor adalah pusat perkembangan bahasa dan sastera. Di sini terdirinya Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai institusi yang memperkembangkan bahasa dan sastera di Malaysia. Di sini terdirinya universiti-universiti yang mendukung perkembangan bahasa dan sastera di Malaysia seperti UKM dan UM. Dalam perjuangan memperkembang bahasa dan sastera di Selangor juga lahirnya berbagai-bagai persatuan dan badan-badan bahasa seperti Pena dan Gapena. Manakala persatuan penulis pada peringkat negeri seperti Kemudi, Kalam, Persatuan Penulis Kuala Lumpur dan sebagainya. Di Selangor juga lahirnya penerbit-penerbit terkenal selain dari DBP ialah seperti Marwilis, Darul Hikmah, Al-Bakri Publika dan sebagainya dan jangan lupa Selangor melahirkan ramai penulis-penulis mapan dari yang awal seperti Buyung Adil dan A.Samad Ahmad membawalah kepada yang moden dan mutakhir seperti Anwar Ridhuan dan Kemala yang kedua-duanya dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (Penulis bersyukur dan tahniah kepada Dato` Dr. Kemala – Ahmad Kamal Abdullah yang baru diisytiharkan Sasterawan Negara. Beliau adalah sebagai salah seorang pelajar Ph. D di UKM yang menulis tesis Ph. D di bawah penyeliaan penulis).

Melihat sastera di Selangor secara besar sebagai sebahagian dari sastera Malaysia lebih baik dari memperkecilnya dari segi identiti yang sebenarnya tidak begitu jelas dan kurang signifikannya. Kiranya mau diberi penghormatan di muzium, maka sediakanlah satu bahagian (geleri) di muzium untuk penulis dan penulisan serta sastera dan sasterawan Selangor.

Sekian.

No comments:

Post a Comment