Seminggu lepas pihak pelajar UPSI berkenaan menghubungi Adun untuk ditemuduga dan Adun setuju ditemuduga jam 10.00 hari ini, tetapi terpaksa ditunda sebelah petang, kerana Adun mempunyai agenda baru - Mesyuarat Penyelarasan di Pejabat Daerah, Hulu Langat, maka Adun meminta agar waktu diinterview ditukarkan kepada sebelah petang – Jam 4.00. Kami bersetuju.


Menyebut UPSI segera terlintas di minda tentang kemasyhuran institusi ini, bahawa meskipun UPSI sebagai sebuah universiti awam termuda, tetapi pada hakikatnya sebagai institusi pendidikan, ia adalah antara institusi pendidikan tertua (1922) di negera ini. UPSI yang pada awalnya dikenali dengan Maktab Perguruan Sulltan Idris (MPSI) di Tanjung Malim, Perak adalah antara institusi pendidikan terawal di Negara ini yang didirikan pada zaman penjajahan British bertujuan untuk mendidik pelajar-pelajar yang layak bagi melatih mereka menjadi guru bagi mengisi kekosongan jawatan guru Melayu yang bakal mengajar di Sekolah-sekolah Melayu yang dibuka sejak masa itu di Negara ini. Maktab Perguruan ini mendahului beberapa tahun dari Malay College Kuala Kangsar (1925) yang juga di Perak. MCKK didirikan bagi mendidik anak-anak elit Melayu – termasuklah anak-anak Raja-Raja Melayu bagi menjadikan mereka sebagai pemerintah dan pentadbir yang berpelajaran yang memudahkan bagi British menjalankan pemerintahan. Mereka ditanamkan semangat mengagung-agungkan British dan hidup terpisah dari rakyat jelata sebagai golongan elit. Manakala pelajar-pelajar yang dipilih ke Maktab Perguruan dari kalangan masyarakat yang berkelayakan – biasanya berkelulusan darjah 5 atau 6 sekolah Melayu dan dididik untuk menjadi guru di Sekolah-sekolah Melayu pada peringkat rendah, bagi tujuan melahirkan masyarakat yang sedikit tahu meuulis, membaca dan mengira bagi memudahkan pihak pemerintah British dan kalangan pentadbir berurusan tadbir dan komunikasi dengan masyarakat bawah. Dari Maktab Perguruan ini lahir tokoh-tokoh pendidik terkenal seperti Zainal Abidin bin Ahmad (Za`ba) yang menghasilkan buku Pelita Bahasa Melayu (3 jilid), iaitu buku Tata Bahasa Melayu terawal. Belian juga menghasilkan buku Ilmu Mengarang Melayu dan beberapa buku yang lain di samping karya-karya terjemahan. Dari sini juga lahirnya pengarang terkenal seperti Cikgu Harun Aminurrashid yang mengarang antaranya Panglima Awang, Lembing Pulang Ke Dayang dan lain-lain lagi, Cikgu Abdul Samad Ahmad yang mengarang Batu Belah Batu Bertangkup dan Sejarah Kesusasteraan Melayu (tiga jilid). Jabatan Karang Mengarang di Maktab ini juga menganjurkan peraduan mengarang yang menghasilkan banyak karya-karya yang memenangi peraduan.


Pelajar-pelajar berkenaan bertanya, bagaimana Adun membahagi masa kepada politik dan keluarga. Adun sebenarnya tidak mempunyai masalah dengan pendidikan anak-anak, kerana semasa Adun menceburi dalam politik anak-anak sudah berada pada peringkat pengajian tinggi dan al-Hamdulillah semuanya dapat dikatakan berjaya dalam kareer masing-masing. Adun rasa dalam politik dan berkhidmat tak ada hari minggu dan rehat tertentu, ianya berterusan, bahkan semakin hari minggu semakin banyak tugas. Masa sebahagian besar di pejabat dan kawasan. Cuma semasa menjadi Adun Bangi (Mac 2008-Kini), khidmat lebih selesa, kerana ada peruntukan yang dapat digunakan bagi perkhidmatan kepada masyarakat. Berkhidmat kepada masyarakat ini dengan bantuan kawan-kawan adalah satu kemanisan yang memberi kepuasan kepada Adun. Kepuasan bertambah bila masalah mereka diselesai atau dibawa ke atas, khususnya di Dewan Negeri yang Adun bebas mengeluarkan pendapat dan cadangan. Tugas di Dewan Negeri ini adalah tugas asasi Adun yang setiap kali bersidang Adun cuba mengambil bahagian dan bercakap membri cadangan, kritikan dan pandangan yang membina bagi kepentingan masyarakat setempat, kawasan, negeri, bahkan Negara. Adun tidaklah sangat menilai apakah kejayaan yang dapat dicapai dalam politik, Cuma mempersoalkan diri apakah sumbangan yang diberi selama ini dengan kapasiti yang ada pada diri Adun dapat memberi kepuasan kepada masyarakat. Apa yang Adun berusaha selama ini ialah memberi khidmat kepada masyarakat sebaik mungkin dan meningkatkan kesedaran mereka menjadi masyarakat berilmu di kawasan yang mementingkan ilmu – Bangi Bandar Ilmu.
Keterlibatan Adun di dalam politik tidaklah sangat memberi kesenangan, berbanding semasa menjadi pensyarah di universiti, tapi sesuatu yang amat berharga bagi Adun ialah dapat menimba banyak pengalaman – terutama dari masyarakat di Kajang dan Bangi, terima kasih di atas kepercayaan mereka. Pengalaman berkenaan adalah kekayaan sebenar yang menjadi asset bagi Adun mencurah dan akan terus mencurahnya sebagai rakaman di dalam penulisan - Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment