October 31, 2011

Pentingnya Persatuan Guru-Guru Agama Selangor (PEGAS) - Adun Bangi

Cheras Perdana, 02 Zulhijjah = 29 Oktober (Sabtu)

Apabila Pengerusi Badan Kebajikan Guru Kafa Daerah Hulu Langat, Ustaz Haji Zainudin bin Hussain menghubungi Adun bagi merasmikan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Guru-Guru Kafa, Daerah Hulu Langat dan kemudian beliau sendiri datang ke Pejabat Adun menghantar surat jemputan, Adun tidak teragak-agak memberi ruang untuk datang merasmikan Mesyuarat Agung Ke 4. Respond dari Adun, kerana melihat perlunya guru-guru Kafa berpersatuan – sekarang Persatuan Kebajikan Guru-Guru Kafa Daerah Hulu Langat dan mau melihat apakah kegiatan-kegiatan pernah dan akan dilakukan.

Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 4 adalah atas inisiatif Badan Kebajikan Guru Kafa Daerah Hulu Langat bertempat di Dewan Sekolah Agama Nur Salbiah berhampiran Surau Cheras Perdana. Hadir sama ke Majlis Perasmian ialah Haji Zainuddin bin Hussain Pengerusi Jawatankuasa Badan Kebajikan, Puan Faturah binti Mohd Naain Timbalan Pengerusi, Ustaz Mohd Rafi Penyelia Kafa , Hulu Langat, Ustaz Zulkifli bin Mohd Zain Mantan YDP Persatuan Kebajikan Kafa, Saudara Mansor Setiausaha dan para guru yang berjumlah lebih kurang 50 orang. Guru perempuan lebih ramai dari lelaki – adalah biasa.

Sebaik Adun tiba (9.00 pagi) ke laman surau Cheras Perdana terus diiring ke Dewan Sekolah berdekatan dan Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Ustaz Zainuddin Hussain, beliau berterima kasih di atas kehadiran para jemputan. Menurut beliau, ``Persatuan ditubuhkan pada tahun 2,000 dan berjaya mendaftar di ROS pada tahun 2008. Terdapat 2,000 guru-guru Kafa di Hulu Langat, tetapi jumlah mereka yang mendaftar keahlian adalah sedikit.`` Menurut Ustaz Zainuddin lagi, `` Antara tujuan penubuhan Persatuan Kebajikan ialah bagi mendapat pertimbangan wajar dari segi gaji. Misalnya pada tahun-tahun 1970an gaji guru Kafa ialah RM100.00, 1990an RM200 dan pada tahun 1993 sebanyak RM288/= sebulan. Tujuan juga bagi meningkatkan prestasi guru sebagai bidang professional melalui kursus dan pembelajaran.``. Menurut Ustaz Zainuddin selama ini ada dianjurkan kursus dan bantuan kebajikan bagi ahli-ahli.

Adun Bangi dalam ucapan perasmiannya, mengucap terima kasih di atas jemputan. Adun sendiri mengakui sebelum ini tidak mengetahui adanya Badan Kebajikan Guru Kafa. Adun berpendapat adalah penting guru-guru agama di negeri Selangor mempunyai Persatuan Guru-Guru Agama Selangor (PEGAS) yang melibatkan skop yang lebih luas. Banyak perkara yang dapat diberi perhatian terhadap masalah, nasib dan peluang guru-guru agama. Bagi memperjuangkan nasib guru-guru agama tidak boleh hanya secara bersendirian, tetapi hendaklah secara berjamaah. Selama ini Adun hanya mengetahui yang ada ialah Persatuan atau Jamaah Guru Besar atau PIBG Sekolah agama. Sudah tiba Badan Kebajikan memperluaskan skop dan peranannya bagi kepentingan guru agama. Mereka tidak wajar ditakut atau ditekankan untuk berpersatuan. Banyak masalah yang dapat diberi perhatian. Tetapi menurut Adun, selama menjadi Wakil Rakyat, beliau tidak mendapati adanya desakan atau tuntutan dari guru agama bagi membaiki gaji mereka atau memperbaiki keperluan Sekolah agama mereka. Tetapi hal ini datangnya dari luar yang memandang pentingnya diberi perhatian terhadap nasib guru-guru agama, Misalnya pada awal Tahun 2000 Adun Bangi membawa usul dalam Dewan Negeri Selangor supaya dinaikkan elaun guru agama dari dari RM400/= lebih kepada RM600/= lebih dan pada tahun 2009 saudara Azmin Ali dan Adun Bangi sekali lagi membawa cadangan supaya dinaikkan gaji guru agama kepada RM1,000 dan diterima.

PEGAS penting ditubuhkan bukan setakat untuk kepentingan kebajikan ahli, tetapi antara perkara yang patut diperjuangkan:

a) PEGAS boleh menuntut agar guru agama perlu dinaikkan taraf dari kedudukan sementara, kepada guru tetap dan berpencen dengan jumlah gaji yang bersesuaian berdasarkan kelulusan dan beban kerja.

b) PEGAS boleh mendesak supaya guru-guru agama diberi peluang berkursus dan mendapat sijil atau diploma perguruan yang melayakkan mereka membuat tuntutan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kelayakan mereka.

c) PEGAS meminta pihak berkuasa memperbaiki dan menyediakan bangunan Sekolah, kawasan dan infra-struktur yang bersesuaian bagi Sekolah.

d) PEGAS meminta diberi hak sama membincangkan dan memperbaiki kurikulum sekolah agama dan membuat cadangan-cadangan

e) PEGAS berusaha dan mencadang bagi mewujudkan peluang pelajar lulusan sekolah agama menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

f) PEGAS boleh mencadangkan kurikulum bersepadu dan mengurangkan berbagai jenama Sekolah terutama pada peringkat rendah kepada yang lebih asas dan identik.

g) PEGAS boleh mendesak agar dibanyakkan Sekolah agama menengah agar dapat menampung kekurangan tempat yang amat diperlui bagi pelajar aliran agama menyambung pengajian.

h) PEGAS boleh mendesak agar konsep Sekolah Agama Integrasi perlu dibanyakkan dan ditingkatkan kualiti.

i) PEGAS boleh mencadangkan agar pentadbiran dan perjalanan Sekolah agama – PIBG dan Guru-Guru diperbaiki

j) PEGAS perlu mencadangkan agar penilaian terhadap kualiti Sekolah agama

dibuat secara berterusan agar pembaikan terus dapat dilakukan.

Adun merasmikan Mesyuarat Agung dengan harapan ada perubahan positif yang dapat meningkatkan kualiti pendidikan agama. Wallu a`lam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment