October 30, 2011

Pemuda Pas Serdang Berkonvoi Ke Ijtima` Tarbawi Di Melewar: Adun Bangi Melepaskan Mereka

Masjid Al-Hasanah, 02 Zulhijjah = 29 Oktober (Sabtu):

Jam 8.00 pagi ini Adun dijemput Pemuda Pas Serdang untuk bersama mereka, kemudian melepaskan mereka secara berkonvoi bermotorsikal. Seramai 50 orang dengan motor masing-masing dapat dikumpulkan.

Menurut saudara Hafiz Pengarah Program, konvoi ialah, ``Bertujuan memantap dan mewajakan pemuda dengan tarbiah bagi menghadapi pilihanraya.`` Menurut saudara Hafiz lagi,

Konvoi dari Serdang ini akan bergerak dari medan Masjid Al-Hasanah menuju ke Hulu Klang, sesampainya di sana, mereka disertai pasukan berkonvoi dari Pandan, Ampang dan Hulu Langat yang dijangka akan berjumlah seramai 200 peserta berkonvoi menuju ke KUIZM, di Melewar. Pemergian mereka sebenarnya lebih memeriahkan lagi Ijtima`Tarbawi Pemuda Pas peringkat Pusat yang telah berlangsung mulai kelmarin dan berterusan hingga esok (Ahad) selama tiga hari.

Perasmian Ijtima` Tarbawi Pemuda ini dilakukan oleh Al-Fadhil Tuan Guru Dato` Bentara Setia Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Mursyidul Am Pas. Program yang berlangsung kelmarin ialah Pidato Tarbawi yang menampilkan pimpinan-pimpinan muda, termasuklah Ustaz Nasruddin bin Hassan, Ketua Pemuda Pas, YB Salahuddin Ayob selaku Naib Presiden dan Ustaz Nik Abduh diikuti dengan kuliah oleh Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man dan program Taujihat al-Amal at-Tarbawi oleh Dr. Mahdi Akef Mantan Murshidul Am Ikhwanul Muslimin. Pemuda yang berkonvoi hari ini lewat sehari, oleh kerana kelmarin masih hari bekerja dan hari ini masa lebih terbuka kepada mereka untuk penyertaan.

Pada hari ini mereka dijangka sempat mengikuti ceramah. Pas Dan Tahaluf Siyasi yang disampaikan oleh Dr. Khairuddin At-Takiri, Forum Masa Depan Perjuangan Pas Dalam Landscape Politik Semasa yang ahli panelnya ialah Dato` Mustafa Ali, Dato` Abu Bakar Chik dan Ustaz Syed Abdul Kadir al-Jofri, diikuti Kuliah Khas disampaikan oleh YB Ustaz Nasruddin Mat Isa, manakala pada malamnya ialah Ceramah Pentas Pemuda yang disampaikan oleh Tuan Haji Mat Sabu, Timbalan Presiden, Dr. Kamal Al-Helbawi (Wakil Ikhwanul Muslimin), YB Dato` Mahfuz Omar, YB Siti Zailah dan Ustaz Nasruddin Tantawi.

Manakala bagi hari ketiga peserta konvoi akan dapat mengikuti Kulliyyah Ruhiyyah yang disampaikan oleh Ustaz Idris Ahmad diikuti dengan wacana Pemuda Pas Memimpin Kebangkitan Anak Muda yang slot ini diisi oleh Ust. Nasruddin Hassan, Nik Mohd Abduh dan Dr Raja Iskandar al-Hiss dan sebelum majlis penutup peserta mengikuti Talaqqi Surah Saff yang disampaikan oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas.

Secara ringkas, selepas peserta-peserta Pemuda Pas dari Serdang berkumpul di medan Masjid Al-Hasanah yang diketuai saudara Hafiz, disertai saudara Rusli Timbalan Ketua Pemuda Pas Serdang, saudara Dahari dan exco-exco Kelab ARC, maka majlis dimulai dengan doa untuk keselamatan perjalanan.

Adun Bangi berucap ringkas, mengalu-alukan peserta-peserta dari Serdang dengan mngharapkan semua dapat menimba pengalaman dalam pergerakan dan perjalanan. Lebih-lebih lagi bila mengikuti program yang disusun dalam Ijtima` Tarbawi. Ikuti dan hayatilah program yang disusun secara terbaik oleh pihak panitia. Adun harap kesan positif dapat ditimba dan ini akan memberi panduan dan bekalan bagi pemuda Pas Serdang di dalam kepimpinan dan kerakgerja mereka di Serdang, maka dengan demikian dengan lafaz:

Bismillahi`r-Rahmani`r-Rahim

Adun melepaskan konvoi bermotorsikal Pemuda Pas Serdang ke Ijtima` Tarbawi Pemuda Pas Peringkat Pusat di Melewar.

Sekian.

No comments:

Post a Comment