October 23, 2011

TG Dato` Nik Abdul Aziz Di Hi Tea Lajnah Pembangunan Tanah Dan Wilayah

Bandar Tun Hussein Onn, 24 Zulkaedah = 22 Oktober (Sabtu):

Respon kepada inisiatif penganjur yang berusaha mengisi Tabung Lajnah Pembangunan Tanah Dan Wilayah Pas Pusat, TG Mursyidul Am yang juga Menteri Besar Kelantan hadir dan memuji usaha yang dilakukan oleh Lajnah dan mengingatkan hadirin dengan firman Allah bermaksud:

Hendaklah kamu bertolong-tolongan di atas perkara kebajikan dan jangan kamu bertolong-tolongan di atas perkara dosa dan perseteruan (al-Ma`idah: 2).

Kata TG, ``Berderma bagi tujuan membela peneroka tanah dan menegakkan kebenaran merupakan jihad yang patut diambil kesempatan oleh semua pihak.``

Menurut TG, ``Peneroka ialah mereka yang memulakan sesuatu usaha yang baik yang belum dilakukan oleh orang lain. Contoh Yuri Gargarin Peneroka Angkasa Lepas Rusia terawal mendahului John Armstrong dari Amerika. Rasulullah s.a.w. adalah Pemula dan Peneroka yang mengembangkan agama Islam di Makkah. Nabi Adam adalah Peneroka Syurga dan kita hendaklah mengikuti jejak langkahnya berusaha ke syurga dengan amalan-amalan yang baik termasuklah menderma dan bersadakah.`` Tambah TG, ``Namun penerokaan dan permulaan tidak semestinya terus mendapat sokongan, sebaliknya banyak cabaran dan halangan yang dihadapi seperti oleh Rasulullah yang mendapat tentangan dari kaum Quraisy. Jejak penerokaan Baginda kita ikuti dan al-Qur`an menjadi panduan.``

Majlis Hi Tea anjuran Lajnah Pembangunan Tanah & Wilayah yang mendapat kerjasama Pas Serdang ini dihadiri YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, YB Yap Lum Chin Adun Balakong, YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Tuan Haji Mohd Noor Muhammad Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, Tuan Haji Razman Zakaria, Timbalan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah Dan Wilayah yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak dan orang ramai yang memenuhi dataran.

Majlis yang berlangsung di Pekarangan Surau Al-Amin, Bandar Tuan Hussein jam 3.30 petang itu bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Ustaz Shafie Ngah selaku Tuan Rumah yang berterima kasih kerana memilih kawasan Serdang. Isu tanah menurutnya isu besar yang tidak boleh dimain-mainkan. Ada banyak permasalahan berhubung dengan isu tanah yang menjadi salah satu wadah perjuangan Pas. Sdr. Haji Razman bin Zakaria yang mengambil tempat Sdr. Mazlan Aliman yang tak dapat datang, kerana tugas di Luar Negara memaklumkan tentang peranan lajnah yang makin meluas dan mencabar untuk menggerakkannya, namun menurutnya untuk mendapat sokongan dari banyak pihak , maka ditubuhkan hingga 8 NGO yang bergerak di bawah Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah NGO-NGO berkenaan:

  1. ANAK ialah Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda
  2. Kerabat iaitu Kelab Bekas Angkatan Tentera yang banyak menerima janji, tapi setakat ini belum dilaksanakan oleh BN.
  3. Waris Juga membela dan menjaga kepentingan termasuk kakitangan agensi tanah seperti Kejora & Ketengah
  4. Bapa – agensi pembangunan Tanah Felcra
  5. Bangkit Kebangkitan Peneroka yang juga di bawah Felda.
  6. NGO Bela Peneroka Tanah Sabah
  7. Pemilikan Tanah Bandar
  8. NGO Awam

Semua Lajnah di atas terletak di bawah ANAK yang mengambil perhatian dan pembelaan terhadap semua NGO ini.

Selepas saudara Razman dikuti dengan ucapan Saudara Muhammad Noor Muhammad sementara dan sehingga TG tiba. Beliau memfokuskan pembicaraan kepada masalah tanah Kampong Baharu yang setiap kenaikan seorang Perdana Menteri ada membuat janji berhubung dengan Kampong Baharu, termasuklah oleh Datuk Seri Najib hingga berlapis-lapis dengan janji dan tidak pernah ditunaikan. Beliau memaklumkan bahawa pada 28 November 2011 nanti akan diadakan Seminar berhubung dengan Kg. Baharu bagi mencari resolusi yang akan dikemukakan kepada pihak-pihak berkenaan.

Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah menjadi popular di bawah kepimpinan saudara Mazlan Aliman, khususnya berhubung dengan Felda yang selama ini bersifat tertutup dan dikawal rapi oleh BN, kini pecah dan banyak penyelewengan dapat dibongkar. Pembelaan banyak dibuat terhadap peneroka Felda dan generasi kedua dan seterusnya. Bagi meneruskan perjuangan dan pembelaan terhadap masyarakat Felda, berbagai-bagai agensi tanah dan NGO-NGO yang baru ditubuhkan. Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah memerlukan sokongan dan dana. Hi Tea Perdana yang diadakan pada hari ini adalah merupakan salah satu usaha bagi mengisi tabung dana berkenaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment