October 1, 2011

Melengkapkan Raya Ke Hujung Minggu - Mesyuarat Agung Di Masjid Al-Hasanah

BBB, 26-27 Syawal = 24-25 September (Sabtu-Ahad):

Hari Sabtu dan Ahad ini adalah hari-hari hujung minggu terakhir bagi bulan Syawal 1432, maka sebagai hujung minggu terakhir. Bagi yang menangguhkan sambutan, maka tarikh-tarikh bagi kedua-dua hari tersebut menjadi tarikh pilihan.

Berbagai-bagai cara sambutan yang dibuat dan antaranya mempunyai kelainan-kelainan bagi menarik kehadiran dan juga bagi menggembirakan anak-anak. Antara sambutan yang dihadiri Adun ialah Sambutan Raya di Surau Bangi Perdana yang diadakan pada 24 September mulai jam 10.00 hingga 1.00 tengahari. Di sini selain dari menyediakan jamuan raya termasuk sate, diadakan pertunjukan silat mata atau magic bagi menarik anak-anak. Di samping itu pembahagian duit raya diadakan. Adun turut hadir dan berucap ringkas. Pada tengahari ini juga Adun menghadiri sambutan raya yang diadakan oleh Persatuan Penduduk dan Surau Ittifaqiyyah, di Kajang Impian, Bandar Baru Bangi. Di sini di samping menikmati jamuan dan berucap Adun juga menyampaikan sedikit buah tangan kepada 4 ahli jamaah yang bakal menunaikan Haji (2 keluarga suami isteri).

Manakala pada Ahad 25 Adun menghadiri jemputan raya di Surau An-Naim yang diadakan secara gotong-royong. Berbagai jenis makanan disediakan. Selain dari Adun Bangi, turut hadir YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang. Turut mengadakan sambutan Hariraya ialah Bangi Valley, di Dataran Penyayang, Jalan 3/5 Bandar Baru Bangi, Adun turut hadir sekejap pada penghujung sambutan di sini dan beramah mesra dengan mereka yang masih berada di Bangi Valley berkenaan.
Sementara itu pada hari ini juga diadakan sambutan hariraya di Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi sempena Mesyuarat Agung Kali Kedua. Difahamkan semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan mesyuarat Agung tahunan dalam masa terdekat. Mesyuarat Agung adalah bersifat muhasabah dan tidak ada pemilihan. Adun hadir bagi penutupan mesyuarat Agung dan sama menikmati jamuan hari raya.

Adun sebenarnya tidaklah mengetahui apa yang dibincangkan dan tidak mendapat sebarang bahan laporan mesyuarat berkenaan. Lantaran itu apabila diminta berucap bagi penutupan mesyuarat Agung Adun hanya menyentuh perkara yang releven secara umum bahawa,

``Kita bergembira bahawa sejak pemilihan AJK Masjid dan surau pada zaman Pakatan Rakyat, maka masjid dan surau bertambah makmur. Majlis-majlis keilmuan banyak diadakan dan kehadiran para jamaah makin bertambah. Keadaan yang sedemikian berlaku termasuklah di Masjid Al-Hasanah. Peningkatan prestasi Masjid ini adalah hasil dari dinamika AJK yang dilantik dan kita berharap, prestasi sedemikian akan terus meningkat. Adun juga berharap prestasi yang ditunjukkan oleh seperti Masjid Al-Hasanah menjadi contoh yang baik dan ikutan bagi semua masjid dan surau di Dun Bangi. Adun berpendapat apa yang dibincang pada hari ini yang antaranya diwakili oleh surau-surau ialah bagi memikirkan cara terbaik bagi kebaikan perjalanan masjid dan surau di bawah Masjid Al-Hasanah dan juga bagi seluruh masjid dan Surau di Dun Bangi’ Jika semua masjid dan surau di Dun Bangi bergerak cergas mengadakan kelas-kelas pengajian, mengadakan berbagai-bagai kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan, maka semaraklah Bangi dengan kegiatan keilmuan dan keislaman sesuai dengan Bangi sebagai Bandar Ilmu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment