October 29, 2011

Perasmian Permulaan Solat Jumaat Di Surau Al-Falah, Jalan 6, BBB

Jalan 6, BBB, 01 Zulhijah = 28 Oktober (Jumaat):

Surau Al-Falah Lorong 6A/6, Seksyen 16 BBB hari ini menempa sejarah, apabila buat pertama kali, setelah diizinkan oleh Jais (22 Ramadhan 1432 = 22 Ogos 2011) mendirikan Solat Jumaat (Sementara) pada hari ini. Satu upacara ringkas diadakan sempena dengan permulaan Solat Jumaat di sini hari ini.

Dari segi sejarah perumahan Jalan 6 yang mula dihuni sejak awal 1980 ini mula mendapat surau dengan menggunakan satu unit rumah teres pada tahun 1982 tidak jauh dari Surau Al-Falah Sekarang. Sejak menggunakan surau sementara di sini pihak AJK dan penduduk berusaha mendapatkan surau tetap hinggalah surau sekarang dapat didirikan dan digunakan mulai tahun 1990, diikuti dengan pembinaan Sekolah Agama bersebelahan dengannya.

Menurut saudara Adnan bin Adam, Pengerusi Surau Al-Falah ``Setelah keizinan didapati kami membuat persediaan hingga hari ini dapat diadakan solat Jumaat bagi kali pertama.``

Hadir pada tengahari ini YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi yang juga selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu, Al-Fadhil Tuan Haji Mughni bin Asrari Pegawai Tadbir PAID, Ustaz Shafie Ngah dan sdr. Adram Musa yang kedua-duanya Ahli MPKj, Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk BBB, Haji Mohd Nafiah Nazir Masjid Al-Hasanah, Haji Adnan bin Adam, Pengerusi Surau al-Falah, Tuan Haji Mohd Ali Imam Surau dan Encik Zaini bin Isa Setiausaha Surau.

Upacara ringkas sebelum mendirikan Jumaat ialah ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Surau, Tuan Haji Adnan yang bersyukur kepada Allah dan mengucap terima kasih kepada pihak Jais yang meluluskan permohonan mendirikan solat Jumaat. Dengan kelulusan ini memudahkan penduduk di Jalan 6 menunaikan solat Jumaat. Tuan Pegawai Tadbir Agama Islam Al-Fadhil Tuan Haji Mughni bin Asrari yang juga Kadhi Hulu Langat, mau surau dipertingkatkan kegiatan. Surau jangan ramai dengan jamaah hanya pada hari Jumaat, sedang hari-hari yang lain dan solat-solat waktu kekurangan dari jamaah. Beliau juga mengingatkan jiran-jiran berdekatan tidak merungut, kerana adanya sedikit ganggun seperti masalah tempat parking, kerana bersifat samahah insya Allah memberi pahala bagi penduduk sekeliling surau – Insya Allah.

Adun Bangi dalam Ucapan Perasmiannya bersyukur ke hadrat Allah kerana mendapat keizinan mendirikan solat Jumaat yang permulaannya adalah hari ini. Dengan keizinan ini jumlah surau yang diizinkan mendirikan Jumaat di Dun Bangi berjumlah 16 buah, daripada jumlah surau sebanyak 100 buah, melebihi masjid yang hanya berjumlah 7 buah. Sudah tentulah menurut Adun, ``Dengan mendirikan sembahyang Jumaat di Surau Al-Falah, memudahkan bukan saja penduduk tempatan menunaikan solat Jumaat, tetapi juga bagi anak-anak Sekolah berdekatan. Surau ini untuk jangka panjang akan menampung para jamaah dari Pusat Islam berdekatan yang sedang dalam pembinaan dan juga bagi pelajar-pelajar Sekolah menengah yang bakal didirikan tidak jauh dari surau ini. Dengan kelulusan yang didapati Adun mahu surau dipertingkat dan dimakmurkan, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah, ialah yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan dia tidak takut melainkan kepada Allah. (At-Taubah : 18).

Menurut Adun, kita berharap surau ini tidak sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat solat, tetapi digunakan juga sebagai pusat pengajian, pendidikan anak-anak dan segala kegiatan kemasyarakatan yang releven. Adun berpendapat sebahagian dari kegiatan ini memang telah dan sedang dijalankan dan diharap terus dijalan dan dipertingkatkan.

Adun berpendapat untuk perkembangan pada masa hadapan, surau ini akan menjadi sempit, sebab itu hendaklah difikirkan bagi perluasan ruang bagi kepentingan masa hadapan.

Selepas ucapan Adun diiringi bagi menandatangani plag menandakan perasmian yang diikuti dengan doa oleh Tuan Haji Mohd Nafiah Nazir Masjid Al-Hasanah. Adun Bangi membaca khutbah dan mengimami Solat Jumaat yang kemudian Solat Hajat diimami oleh Nazir Masjid Hasanah dan diikuti dengan jamuan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment