October 11, 2011

Hari Yang Kurang Menjadi

BBB, 11 Zulkaedah = 09 Oktober (Ahad):

Anekdot:

Pada setiap hari Sabtu dan Ahad, tugas luar agak banyak, sebab itu bagi kedua-dua hari ini aku pindahkan program dari diari ke buku catatan poket, mengikut seturut masa dan program untuk diikuti satu persatu. Program-program ini kadang-kadang dapat diselesaikan semuanya, tetapi jika program melebihi sepuluh kadang-kadang tidak sempat dihabiskan. Kadang-kadang program menghadapi gangguan oleh beberapa faktor. Misalnya kesilapan maklumat kerana dijemput melalui telefon atau mesej terlampau ringkas. Dalam hal ini jemputan secara berkad atau surat yang lengkap dengan maklumat boleh mengurangkan kesilapan.

Pada Ahad ini tidaklah sebanyak program pada musim raya yang berakhir pada minggu lepas. Hari ini aku mempunyai 6 program yang jika diatur dengan baik dapat dihabiskan. Demikianlah aku berazam untuk menghabiskan program hari ini termasuklah jemputan-jemputan kahwin. Program pertama hari ini agak berat, aku dimaklumkan secara telefon minta merasmikan program yang berhubung dengan gerakerja pilihanraya. Pada malamnya selepas menyalin program aku membuat kajian dan catatan untuk dicakapkan di Dewan yang ditentukan. Pada keesokan pagi, mungkin aku salah maklumat, rupanya aku diminta merasmikan gerakerja penerangan. Sebab itu aku terpaksa bercakap secara spontan berhubung dengan penerangan serta merasmikannya dan mengikuti satu sesi hingga melebihi jam 11.00. Jam 11.00 sepatutnya aku berada di luar kawasan di Hulu Langat sempena Hari Terbuka Anak Yatim, namun terpaksa buat keputusan tidak menghadirinya, memandangkan kami mempunyai tiga jemputan kahwin yang sewajarnya kami hadiri.

Bagi menunaikan jemputan kahwin aku segera pulang ke rumah dan bersiap bersama isteri untuk pergi ke jemputan pertama seawal mungkin. Bagi ketiga-tiga jemputan hendaklah jangan lewat jam 2.00 petang, kerana aku mempunyai program perasmian yang perlu tepat masanya. Bagi jemputan kahwin pertama kami tiba di sebuah Dewan di UKM jam 12.00 tengahari, kerana jam 12.00 adalah waktu standard bermulanya jemputan. Malangnya tiba di Dewan masih belum ada yang datang, kecuali pekerja-pekerja Syarikat Catering. Memandangkan masa terbuang begitu sahaja, setelah hampir setengah jam menunggu dan masih tiada orang, kami bergerak ke jemputan kedua di Dewan PKNS dan diikuti jemputan ketiga di sebuah rumah di Jalan 1/7 Seksyen Satu BBB (Dari kawan-kawan kami dapat tahu waktu jamuan jemputan kahwin pertama mulai jam 12.30 tengahari).

Pulang dari jemputan kahwin waktu hampir jam 2.00 petang. Cukup masa mandi bersolat zohor dan bersiap pergi ke jemputan bersama saudara Harun Aminurrashid, iaitu jemputan bagi merasmikan Majlis Penutupan Bagi Program Smart Camp Persatuan Pengajian Islam Pelajar-Pelajar UNITEN dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kami tiba dilokasi yang dikehendaki, iaitu di Camp Nur, Bukit Unggul Sepang tepat jam 2.30 petang, sebenarnya tidak jauh dari BBB (lebih kurang 10KM).

Kesampaian kami di Camp Nur, Bukit Unggul dalam keadaan sepi, tiada peserta-peserta yang sepatutnya ramai. Kami menanya beberapa pekerja yang sedang menyapu dan mengemas barang-barang. Menurut mereka tidak ada lagi program. Yang terakhir baru bertolak pulang lebih awal sedikit dari ketibaan kami.

Terdetik di hati aku apakah pelajar-pelajar Uniten ini, sudah selesai program dan tidak sanggup menunggu waktu penutup? Kami diberitahu pekerja bahawa Camp Nur mempunyai 5 cawangan, iaitu di Bukit Unggul, Sepang, Lembah Pangsun di Hulu Langat, di Sungai Merab dan dua lagi di tempat lain. Kami cuba menghubungi pihak Penganjur dari kalangan pelajar, kami diberitahu mereka menunggu ketibaan kami, tapi tempatnya di Camp Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat.

Kami terkejut bagaimana janji asal bertempat di Bukit Unggul di Sepang bertukar ke Lembah Pangsun di Hulu Langat? Kami memikirkan mungkin kami tidak diberitahu perubahan atau kemungkinan sengaja disabotaj. Oleh perubahan tempat begitu jauh dan memerlukan masa lebih dari satu jam (Sabtu Ahad Jalan Hulu Langat sesak) untuk sampai ke Hulu Langat, kami memohon maaf, tidak dapat pergi di Lembah Pangsun, Hulu Langat dan mengambil keputusan balik sahaja ke rumah untuk berehat.

Selepas tiba di rumah di BBB, aku mencari surat jemputan dari Uniten dalam diari.

Aku dapati aku tidak silap dan surat benar-benar menjemput aku ke Nur Bukit Unggul, bukannya ke Lembah Pangsun. Surat menyebut:

`Tempat: Nur Bukit Unggul, Sepang Selangor.` Kata surat berkenaan,

``Untuk makluman, kami sebulat suara untuk menyediakan satu slot kepada pihak Tuan, iaitu slot perasmian majlis penutupan. Jadi kami memohon jasa baik Tuan untuk merasmikan Majlis Penutupan yang akan diadakan pada hari terakhir perkhemahan ini, iaitu pada 9 Oktober 2011. Kami sepakat menetapkan waktu bagi slot ini adalah pada pukul 2.30 petang.

Jelas aku tidak tersilap, perubahan tempat yang dibuat oleh penganjur tidak diberitahu. Aku menganggap mereka tidak bermaksud mensabotaj. Dengan program hari ini banyak yang tidak berlaku menurut program sebenar yang diatur aku membuat kesimpulan hari ini ialah:

`Hari Yang Kurang Menjadi`

Sekian.

No comments:

Post a Comment