Mereka meningkatkan serangan terhadap kita, pertanda dekatnya pilihanrya. Bukankah dua pemimpin BN dalam bulan September turun menyerang Selangor? Datuk Seri Najib turun menyerang di utara negeri Selangor, sedangkan pada penghujung bulan itu juga Tan Sri Muhyiddin turun menyerang di Selatan negeri Selangor, khususnya di Bangi dengan berselindung di bawah program merasmikan Hari Landscape Negara. Seminggu sebelumnya beliau juga turun ke UKM mengadakan pertemuan-pertemuan. Manakala pendukung-pendukungnya turun ke institusi-institusi tertentu mengadakan pertemuan-pertemuan.dengan penduduk setempat. Sayap Wanitanya pula secara halus berkempen menarik sokongan kaum ibu di Bangi.
Malam Kesedaran Pengundi yang diadakan pada malam ini yang dihadiri penceramah-penceramah seperti Ustaz Shafie Ngah Ketua Pas Kawasan Serdang, Ustaz Idris Ahmad AJK Pas Pusat, saudara Suhaizan Kaiat, Exco Pemuda, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang dan YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi dan 300 hadirin dan petugas-petugas.. Malam ini ditambah maklumat bagaimana mereka menyerang kita dan perlunya dipertingkatkan kesedaran mengundi. Ceramah yang dikendalikan saudara Shukor Atan menjemput Ustaz Shafie Ngah yang mengalu-ngalukan hadirin sambil menerangkan pengambilalihan MPKj pengurusan sisa pepejal dari Alam Flora di kawasan Kajang mulai 16 Oktober hampir nanti.
YB Teo Nie Ching menganjurkan agar diubah demografi kawasan pilihanraya yang tidak seimbang dan tidak adil. Menurutnya, Serdang mempunyai jumlah kedua tertinggi bagi kawasan Parlimen di Malaysia dengan jumlah pengundi serama 108,000 (Tertinggi Kapar dengan 122,000). Kata YB Teo, bandingkan dengan Parlimen Putera Jaya yang hanya mempunyai 8,000 pengundi. Menurutnya ada 10 buah kerusi parlimen yang jumlah pengundinya melebihi 100,000 pengundi dan kesemuanya di bawah Pakatan Rakyat, sedang jumlah pengundi di kawasan BN tidak setinggi itu – Biasanya di bawah 20,000.
Ketidakadilan juga ketara apabila majority keseluruhan pengundi bagi Pakatan Rakyat melebihi 50%, sedangkan kerusi tidak mencapai 50%. Ketidakseimbanagn ini perlu diperbetulkan. Beliau juga menyebut pembaziran pihak kerajaan yang membelanja sebanyak RM67 juta bagi penyewaan rumah dan sikap boros isteri & Perdana Menteri yang berbelanja di luar Negara.
Adun Bangi membicarakan pihak BN mau merampas Selangor, kerana kehilangan Selangor amat terasa oleh BN, lantaran Selangor menjana hasil 20% dari hasil Negara. Selangor bukan saja sumber ekonomi, tetapi sumber kuasa. Selangor mesti dirampas dari Pakatan Rakyat. Tetapi pihak BN amat merasa perit dengan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin di Selangor yang tidak ada di dalam pimpinan BN di Selangor lantaran itu kemajuan terus dicapai di Selangor. Dalam masa 6 bulan pertama 2011 Selangor menerima pelaburan luar tertinggi, iaitu RM5.2 bilion. Berbagai program yang selama ini tak pernah dilakukan oleh BN dan amat mendapat sambutan rakyat seperti Program Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES) sebanyak RM465 juta, berbagai-bagai program kebajikan berjumlah RM1.1 bilion. Skim pinjaman modal kepada rakyat RM70 juta, air percuma, pinjaman Pelajaran Kerajaan negeri tanpa Bunga dan berbagai kegiatan lagi. Dari segi pengundian beliau mengingatkan jangan sampai terjadi penipuan undi oleh BN seperti berlaku di Terengganu pada tahun 2004. Pastikan syndrome Terengganu dan pengkhianatan oleh BN jangan sampai berlaku di dalam pilihanraya ke 13 nanti. Bersih amat berkesan di dalam memberi kesedaran pada pengundi, sebab itu BN bermati-matian menyekat dari berlakunya Bersih 2 yang berjaya diadakan, tetapi jika ternyata penyelewengan masih dirancang, maka ia mewajarkan berlakunya Bersih 3.
Saudara Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda Pas Johor dan Exco Pemuda Pusat menekankan berlaku dan wujud pengundi hantu. Beliau memberi contoh terdapat satu kad pengenalan dimiliki dua orang. Menurutnya juga ada IC clone, penawaran warga Negara yang berlaku di dalam satu setengah jam. Beliau menyebut kes Mesmah Bangladish. Beliau menyebut terdapat186,000 pengundi lahir di luar Negara yang patut diguna kod 71 dan bagi Indonesia kod 61, mengapa diguna kod lain yang tidak jelas di dalam urusan-urusan daftar pemilih yang meragukan ?
Manakala Ustaz Idris Ahmad sebagai pencermah terakhir dan mempunyai masa yang terhad membicarakan tentang BN mau memperdayakan sokongan terhadap Pakatan, Rakyat, tetapi Allah memperdaya mereka itu. Hasilnya 57% dari orang Melayu tidak lagi mempercayai BN. Anak muda menggunakan internate bagi kemudahan maklumat. Menurut Ustaz Idris semua orang perlu memahami proses pilihanraya. Masyarakat yang bersifat madani (civil) makin meningkat kesedaran dan untuk mengelak dari penipuan kesedaran ini hendaklah terus ditanam dan dikembang.
Demikianlah huraian yang disampaikan penceramah-penceramah dapat meningkatkan kesedaran pengundi dan diharap mereka menggunakan kuasa yang ada pada mereka bagi menegakkan kebenaran, demokrasi dan keadilan. Di dalam keadaan sekarang sebagaimana ditelah oleh Dr. Mahathir jika diadakan pilihanraya BN akan kalah, kita harap makin lama mereka mencari peluang makin menyempitkan peluang untuk kemenangan bagi mereka.
Sekian.
No comments:
Post a Comment