October 12, 2011

Mencari Identiti Negeri Selangor: Perlukan Resolusi ?

BBB, 13 Zulkaedah = 11 Oktober (Selasa):

Hari ini dan esok berlangsung Konvensyen Identiti Negeri Selangor di sebuah Hotel di Subang Jaya yang antaranya pembentangan kertas kerangka Penggubalan Identiti Negeri dan diikuti Bengkel Identiti berhubung dengan Tekstil dan Busana Tradisional, Makanan dan Kuih Tradisional, Senibina, Monument dan Tapak Warisan, Muzik dan Tarian Tradisional, Jati Diri Sastera Selangor dan Pencernaan Nilai-Nilai Sejagat Negeri Selangor, maka selepas itu diambillah rumusan yang dijadikan resolusi, maka itukah Identiti Negeri Selangor ?


Identiti bagi sesebuah negeri, tempat, tokoh, kreativiti dan pencapaian adalah sesuatu yang unik dan identik bagi sesuatu, khususnya bagi negeri yang ciri-cirinya antaranya:

a) Sesuatu yang popular di tengah masyarakat dan masyarakat menerimanya sebagai sesuatu yang bersifat kekitaan.

b) Sesuatu yang unik dan merupakan milik masyarakat yang tidak ada di tempat lain dan mereka berbangga dengannya.

c) Fenomena alam yang menarik yang masyarakat berbangga dengannya

d) Ketokohan seseorang yang dikagumi masyarakat dan mereka berbangga dengannya

e) Daya cipta yang seni lagi menarik yang tidak ada pada yang lain seumpamanya

f) Kepimpinan yang unggul yang dimegahi masyarakat

g) Monumen yang unik dan bersejarah

h) Tamadun & Peradaban yang tinggi dicapai masyarakat

i) Perwatakan kelompok dan bangsa yang mereka terkenal dengannya

j) Kewiraan seseorang tokoh dan berbagai lagi



Untuk menjadi identiti bagi sesuatu negeri, bangsa, tempat atau watak tidak perlu kepada banyak perkara. Cukup dengan satu identiti yang kuat yang ianya terkenal dengan identiti berkenaan. Contoh tempatan (a) Dikir Barat adalah menjadi identiti yang popular bagi masyarakat di Kelantan dan rakyat berbangga dengannya, bahkan mempengaruhi tempat lain turut bermain Dikir Barat. Contoh bagi (b & c) seperti wujudnya gua-gua yang unik di hutan Sarawak atau khazanah laut di Pulau Perhentian di negeri Terengganu. Contoh (d) seperti Watak Tun Perak di dalam sejarah negeri Melaka. Juga ketokohan Tun Seri Lanang seorang ilmuan dan budayawan tradisional berasal dari Johor. Bagi (e) seperti seniman P. Ramli yang genius dan kreatif, manakala bagi (f) seperti Dr. Burhanuddin Hilmi dan Tunku Abdul Rahman, bagi (g) contoh Batu Bersurat Terengganu yang membuktikan kehadiran Islam terawal di Alam Melayu bagi (h) contoh negeri Melaka sebagai Negeri Bersejarah, bagi (i) contoh dinamika wanita Kelantan yang aktif berniaga dan bagi (j) seperti Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dan Tok janggut di Kelantan yang mencetuskan pemberontakan menentang British pada zaman penjajahan.



Contoh-contoh yang dapat diambil dari luar Negara ialah seperti watak Khalid Ibn al-Walid Pahlawan Islam, Taj Mahal sebagai monumen Islam terkenal di India dan Al-Hambra` di Andalus, Al-Azhar dan Al-Qairawan sebagai universiti terawal dan tertua di dunia dan sebagainya.



Apakah elemen-elemen di atas ada di Selangor? Ada - walaupun tidak sebesar dan seunggul contoh-contoh yang disebut baik pada peringkat Negara atau peringkat antarabangsa, tetapi mengambil contoh-contoh kecil yang tenggelam di dalam kepopularan yang lain dan kurang identik tidak sangat memberi makna dan identiti bagi negeri Selangor. Contoh tentang tekstil dan busana di negeri Selangor tidak mampu menyerlah seperti songket di Terengganu atau batik di Kelantan, begitu juga makanan dengan tempeh dan sebagainya bukan asli dari Selangor, tetapi adalah dari pengaruh Jawa. Dari segi senibina, monument adalah dapat diterima, manakala muzik dan tarian tradisional tidak menonjol dan amat susah untuk mencari jati diri dan asli sastera di Selangor. Mengapa berhempas pulas dan berulang-ulang membicarakan perkara-perkara kecil dan remeh mau ditonjol sebagai identiti negeri Selangor yang sebenarnya tenggelam dengan identiti tempat lain yang lebih unggul dan menonjol?



Kita bertanya mengapa seorang saja pembentang yang dianggap pakar dalam semua bidang yang identik dengan negeri Selangor ? Penulis masih ingat pada permulaan perbincangan bagi menubuhkan PADAT ramai dari professor dan pakar dari universiti-universiti tempatan dijemput memberi fikiran dan cadangan dan mereka bukan semuanya anak jati Selangor, tetapi tiada penghargaan yang sepatutnya diberi pada mereka dan ada yang banyak memberi tenaga, fikiran dan kepakaran seperti Profesor Madya Dr. Omar Din, selepas idea dan pandangannya dicurahkan dia termasuk beberapa yang lain dikesampingkan, kerana beliau bukan anak jati Selangor. Penulis sendiri, walaupun dikatakan pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu selepas terlibat pada peringkat awal, tidak ada tempat di dalam PADAT, kerana bukan anak jati Selangor ?


Penulis berpendapat tumpuan bagi identiti negeri Selangor hendaklah kepada elemen yang menonjol, positif dan mencerminkan sifat dan jati diri bagi negeri Selangor. Identiti Selangor Maju haruslah diterima, walaupun dikemukakan oleh pemerintah sebelum dari pemerintah kini. Identiti negeri Selangor berdaya maju boleh dirumus kepada:

MAJU - TRADISI KE MODEN

Di dalam 4 elemen yang menonjol yang dapat dirumuskan = PEKA

P = Pendidikan

E = Ekonomi

K = Kebudayaan

A = Agama

Bagi pendidikan Selangor hendak ditonjolkan sebagai negeri terawal secara tradisi mendirikan pengajian tinggi di Malaysia dengan terdirinya Kolej Islam Malaya (1956) dengan bangunan awal dihadiahkan oleh Sultan Hishamuddin Shah. Darinya berkembang pengajian tinggi moden seperti universiti Islam Antarabangsa, KUIS, KUIM dan berbagai-bagai univeriti di Negara ini.

Ekonomi hendaklah ditonjol Selangor adalah negeri terkenal dengan tradisi pengeluaran Industri bijih dan berkembang pesat dengan berbagai industri moden. Selangor juga mempunyai berbagai infra-struktur moden bagi kegiatan industri dan perhubungan. Selangor menjadi pintu masuk ke Negara ini baik dari segi udara, laut dan daratan.

Dari segi kebudayaan hendaklah ditonjolkan Selangor sebagai negeri mixed population aspek budaya, seni dan adat kaum-kaum yang unik di negeri ini hendaklah ditonjolkan.

Dari segi Agama dan budaya Selangor dapat menonjolkan mixed identity antara agama, tradisional dan moden yang jelas terdapat di Ibu negeri Selangor, iaitu di Shah Alam yang bangunan-bangunan adalah terciri dari tiga elemen utama dari segi agama terlihat pada seni bina Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai Masjid Negeri (Tradisi masjid dapat diambil dari yang tertua di negeri ini seperti Masjid Haji Mat saman di Sungai Ramal Luar, Kajang dan yang lain) dan banguinan Jais-Mais, manakala elemen tradisional seperti bangunan perpustakaan (kini Muzium) yang dipengaruhi seni bina dari bentuk bangunan Bugis juga bangunan teatre dan elemen moden dapat dilihat dari bangunan Dewan Negeri Selangor, Kompleks Pentadbiran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Bangunan Dewan Bandaraya Shah Alam, Shah Alam Complex Convention Centre dan sebagainya. Mengapa elemen-elemen yang ketara dan penting ini tidak ditonjolkan sebagai identiti negeri Selangor. Selangor mempunyai elemen-elemen penting yang mencirikan identitinya, tetapi tiada kepakaran melihatnya. Apa yang dilihat ialah yang remeh temeh yang tidak mampu mengatasi identiti di tempat lain dengan ketara. Sesuatu yang tidak popular, walaupun di convention dan diresolusikan tidak akan diterima menjadi identiti menonjol di negeri Selangor. Apa yang perlu membina imej-imej ketara yang dibincangkan dan mempopularkannya sebagai identiti negeri Selangor.

``Selangor Maju: PEKA Dari Tradisi Ke Moden.``

Sekian.

No comments:

Post a Comment