October 15, 2011

Jangan Jadi Negara Jahat: Selesaikan Isu Pilihanraya Secara Sihat

BBB, 17 Zulkaedah = 15 Oktober (Sabtu):

Terkejut dan marah membaca tentang bas-bas membawa pendatang asing ke resort dekat Putrajaya untuk diberi Maykad yang melayakkan mereka mengundi – Demikian menurut Pas Negeri Selangor. Selama ini memang diperkatakan tentang pertambahan pengundi mendadak di kawasan - luar dari kebiasaan, keraguan pada senarai pendaftaran, pemindahan pengundi-pengundi, undi pos yang tidak wajar, pertindihan nama pengundi yang melayakkannya mengundi lebih dari sekali, pengundi-pengundi yang meninggal, tapi nama-nama mereka masih kekal dalam daftar pemilih dan berbagai-bagai lagi.

Isu penyelewengan pengundi didalam pilihanraya adalah isu serius, kerana ianya boleh memberi kesan dari segi keputusan pilihanraya yang bercanggah dengan keputusan sebenar. Lebih dari itu, ianya merupakan jenayah berat, misalnya membawa pendatang asing untuk diberi kerakyatan dan kelayakan mengundi merupakan penderhakaan terhadap Negara yang seharusnya dikenakan hukuman yang berat. Hukuman terhadap pesalah sedemikian seharusnya melebihi pesalah-pesalah yang mengedar dadah. Jika ternyata kesalahan-kesalahan sedemikian didalangi oleh tangan-tangan hitam pihak pemerintah, mereka sebenarnya adalah penjahat-penjahat Negara yang mempalitkan imej Negara yang dikenali sebagai `Negara Jahat`.

Hingga kini keraguan yang tersangkut di minda awam terus berlegar, kalau tidak masakan pihak yang prihatin terhadap isu sedemikian sanggup turun padang menunjuk perasaan melalui Bersih 1, Bersih 2 walaupun menghadapi tangkapan. Mereka juga turut menggerakkan gerak saraf dan intelligent mengesan penyelewengan-penyelewengan yang sepatutnya kerja sedemikian dilakukan oleh pihak polis. Suasana sedemikian mencerminkan ketidakpercayaan dan suburnya tuduhan berlakunya berbagai-bagai penipuan dalam pemerintahan yang sebenarnya merupakan penyakit kronik Negara oleh adanya tuduhan sifat jahat pihak yang berkuasa. Hingga bilakah kronik sedemikian berterusan ?

Dengan adanya beberapa pihak yang prihatin tentang perjalanan pilihanraya menghasilkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menambah baik sistem pilihanraya di Negara pada awal Oktober 2011ini. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini dianggotai lima Wakil Rakyat BN, tiga Wakil Rakyat dari PR dan seorang Wakil Rakyat Bebas. Jawatankuasa ini diketuai oleh YB Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi. Penerimaan semua pihak terhadap pemilihan dan perlantikan Jawatankuasa mencerminkan betapa tingginya harapan pihak Parlimen dan pemimpin masyarakat terhadap pentingnya Jawatankuasa ini.

Apa yang diharapkan dalam tempoh enam bulan yang diberi Jawatankuasa berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan perkara-perkara yang dibangkitkan di atas. Jawatankuasa perlu turun menemui kelompok-kelompok terpilih seperti dari parti politik, NGO, professional dan rakyat biasa bagi mendapat pandangan, kritikan dan cadangan bagi menambahbaikan sistem pilihanraya di Negara ini.. Bukan setakat itu, adalah lebih baik lagi Jawatankuasa ini diberi kesempatan melawat Negara-negara yang mengamalkan sstem demokrasi berpilihanraya. Dari pemerhatian dan dapatan yang dihasilkan dapat menambahbaikan sistem pilihanraya Negara.

Pada dasarnya banyak ruang pembaikan yang dapat dilakukan, bahkan direformasikan sistem pilihanraya di Negara ini. Sistem sekarang ada kelemahan-kelemahannya misalnya. Suruhanjaya Pilihanraya sekarang hendaklah direformasikan seluruhnya yang menjadikannya sebuah badan yang bebas dan bertanggungjawab secara langsung terhadap Parlimen. Dalam keadaan kini adalah tidak adil bagi yang menang dengan majoriti satu dua suara, langsung menafikan suara hak lawan yang kekurangan beberapa suara sahaja. Mungkin diambil kira dan diberi hak dan suara dari segi kumulatif di samping majoriti. Pemimpin Negara sekarang – Perdana Menteri adalah dipilih oleh pihak majority dari kalangan wakil-wakil rakyat parlimen yang menang, adalah lebih wajar pemimpin Negara dipilih secara individu dan terbuka oleh rakyat semasa pilihanraya umum atau di luar dari pilihanraya umum. Dengan demikian (dipilih di luar) jika pilihanraya berjalan, maka ketua Negara dipilih rakyat masih berfungsi. Pemilihan individu ini atas dasar kelayakan, kebijaksanaan dan dalam tempoh penggal-penggal tertentu.

Tempoh yang diberi kepada Ahli Jawatankuasa relatifnya pendek, sekadar enam bulan sahaja. Namun hingga kini kita tak dengar Jawatakuasa ini bersidang. Kerja-kerja yang diharapkan sebagaimana disebut tentu memerlukan banyak tenaga dan masa. Kita harap kerja yang dilakukan nanti berkualiti dan dapat diterima oleh semua pihak dan kiranya kesuntukan masa wajar ditambahkan. Bagi melihat kesan positif dari Jawatankuasa, maka dapatan dan cadangan Ahli Jawatankuasa hendaklah diaplikasikan dalam pilihanraya umum ke 13 nanti dan diharap agar ianya benar-benar berjaya. Jika mau dilihat hasil kerja Jawatankuasa dalam tempoh enam bulan atau tambahan, maka seharusnya pilihanraya tidak akan diadakan sekurang-kurangnya enam bulan terdekat, atau selagi Jawatankuasa tidak mengemukakan cadangan untuk diaplikasikan, jika tidak maka perlantikan Jawatan Kuasa tidak memberi makna apa-apa. Kita mau sistem pilihanraya Negara benar-benar berjalan dalam keadaan sihat dan tidak jahat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment