November 1, 2011

Perjuangan Bahasa Perlu Diteruskan ! Mengapa Yang Lain Turun Padang, Yang Lain Terima Pengiktirafan ?

BBB, 05 Zulhijjah = 01 November (Selasa):

Tunjuk perasaan mendesak Mansuhkan PPSM pada Sabtu 7 Mac 2009 bagai hilang dari ingatan, bahkan jasa dan kesan dari desakan hingga diumumkan penarikan PPSM pada 8 Julai 2009 (berkuatkuasa pada 2012) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin Menteri Pelajaran dipertikaikan kembali. Akhbar-akhbar berbahasa Inggeris mutakhir ini semacam mengambil persetujuan dan tindakan kempen dan menampilkan pendapat-pendapat marginal bagi mengembalikan PPSM yang kononnya tidak ada cara lain bagi menguasai bahasa Inggeris kecuali melalui PPSM. Tanpa PPSM, bukan bererti menghalang bagi mempelajari bahasa Inggeris, bahkan banyak pendekatan yang lain bagi menguasai dan memahirkan bahasa Inggeris. Dalam keadaan sekarang kita mau melihat ketegasan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan keputusan yang dibuat pada 8 Julai 2009 dan ditegaskan lagi oleh beliau Oktober 29, 2011 baru-baru ini. Sebarang dolak dalik dari beliau akan membuka ruang dan desakan pihak berkenaan.

Kita melihat pendapat yang marginal ini sengaja diketengahkan, kerana mengambil kesempatan dengan dekatnya tarikh kuat kuasa penghapusan PPSM pada tahun 2012, maka sebelum kuatkuasa secara muktamad, maka ditampilkan desakan marginal tersebut dengan bantuan media-media yang lebih mempunyai kepentingan komersil dengan terlaksananya kembali PPSM. Satu lagi kesempatan cuba diraih kumpulan marginal ini ialah dengan makin dekatnya pilihanraya ke 13, maka diambil kesempatan mendesak dikembalikan PPSM dengan harapan sokongan yang didapatai oleh penyokong PPSM digunakan sebagai senjata bagi mengugut pihak berkuasa agar tunduk kepada kehendak mereka, jika tidak pihak berkuasa akan kehilangan sebahagian dari sokongan. Dalam hal ini kita memerhati gelagat pendesak marginal dan sikap pihak kerajaan sendiri.

Kita berpendapat kesilapan juga berlaku pada pihak pejuang-pejuang yang mendesak menghapuskan PPSM. Setelah menunjuk perasaan dan berjaya dengan keputusan menarik balik PPSM, semacam ada kepuasaan golongan pendesak penarikan balik PPSM dan memada dengan kejayaan terhad ini. Pada hal ianya merupakan permulaan ke arah pengisian bukan saja pengajaran pendidikan sains dan metematik, tetapi juga di dalam mata-mata pelajaran yang lain. Dalam kata lain lebih dari dua tahun setengah setelah penarikan balik PPSM, pihak pendesak penarikan balik, bagaikan lalai dan tidak bertindak supaya pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia dipertingkatkan bersama dengan pengajaran-pengajaran dalam mata pelajaran yang lain. Pengabaian dan kekosongan ini diambil kesempatan oleh pihak marginal menampilkan tuntutan mereka dalam situasi yang boleh melemahkan pihak pemerintah. Kita melihat pengabaian dan ketidakpedulian ini juga berlaku di institusi-institusi pendidikan dan pengajian tinggi. Sebab itu kepada pejuang bahasa perlu prihatin dan memberi tumpuan pada kaedah meningkatkan kualiti pembelajaran dalam semua subjek, termasuk sains dan metamatik. Dengan kewajipan lulus bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM, kita personal , mengapa pelajar masih tidak mampu berbahasa Inggeris ? Jika demikian jika diwajibkan PPSM, juga tidak mampu menjadi medium pembaikan bahasa Inggeris. Tumpuan hendaklah diberi bagi pengajaran bahasa Inggeris. Jika masih juga gagal, maka mesti diperiksa dari segi kurikulum, kaedah pembelajaran dan berkomunikasi.

Dalam masa kekosongan ini kita melihat diambil kesempatan oleh pihak yang selama ini tidak memberi perhatian terhadap perjuangan menghapuskan PPSM, tetapi dengan menggilat kegiatan lama mereka yang lebih bersifat pestaan-pestaan sastera dan kalangan mereka mengangkat orang yang dikatakan tokoh di kalangan mereka sebagai `Pendeta Persuratan Melayu` yang amat boleh dipersoalkan ! Kita juga merasa hairan bagaimana pihak pemerintah menerima bulat-bulat dengan cadangan sepihak yang dibalut dengan nama `kongres` yang mewajarkan untuk diberi anugerah tanpa sebab dan hujah yang kukuh.

Kita berpendapat ada tokoh lain yang wajar dipertimbangkan untuk diberi penghargaan sebagai WIRA BAHASA Dan PERSURATAN. Yang ketara ialah Dato` Dr. Hassan Ahmad. Beliau adalah betul-betul Pejuang Bahasa. Sebahagian besar dari usianya dihabiskan dalam perjuangan bahasa. Beliau menjadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (Julai 1975 hingga Ogos 1988). Dalam masa kepimpinannya Dewan Bahasa mencapai puncak kejayaan. Ribuan buku diterbitkan dalam masa kepimpinannya. Pada masanya berlangsung Majlis bahasa antara Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura. Dato` Dr. Hassan adalah Penulis Prolifik dan banyak menghasilkan buku. Antaranya Ke Luar Jendela dan Imbasan. Beliau pernah menjadi Pengerusi Majlis Kemajuan Buku Di Malaysia (1981-1988), Wakil Malaysia ke Unesco 1988-1994 , Pengerusi Yayasan Karyawan ke akhir hayat yang banyak mengeluarkan buku-buku bermutu dan beliaulah memimpin Perarakan Aman menuntut dihapuskan PPSM. Sungguhpun Dato` Hassan Ahmad sudah meninggal pada 31 Ogos 2011 dia amat layak diberi penghormatan selaku Pendeta, Wira Bahasa dan Persuratan. Jika pihak kerajaan tidak mengiktiraf, maka kita sebagai rakyat mengiktirafnya.

Pokoknya selepas kematian Dato` Dr. Hassan Ahmad, siapakah yang akan terus menerus memperjuangkan bahasa, apakah yang menerima penghormatan akan ke depan, sedang selama ini membisu kata berhubung dengan perjuangan menghapuskan PPSM. Kita perlu terus memperjuangkan bahasa, tetapi siapakah Wiranya ?

Sekian.

No comments:

Post a Comment