November 24, 2011

Ibu Bapa Dan Masyarakat Prihatin Terhadap Anak-Anak

BBB, 23-25 Zulhijjah = 19-21 November (Sabtu-Isnin):

Ibu bapa dan masyarakat amat prihatin dan memberi perhatian yang tinggi terhadap anak-anak dalam masa cuti Sekolah. Berbagai-bagai program diaturkan untuk mereka agar mereka dalam perhatian dan tidak terabai. Antara program yang Adun hadir yang melibatkan anak-anak dan pelajar-pelajar ialah:

a) Penyampaian Anugerah Cemerlang 2010 Taman Zamrud

Majlis anjuran Persatuan Kebajikan Penduduk Taman Zamrud (PKPTZ) bagi meraikan pelajar-pelajar cemerlang berbagai peringkat bertempat di Pusat Komuniti di situ. Majlis bermula 2.30 petang 19 November (Sabtu) itu dihadiri bersama Adun ialah En. Suhaimi bin Baharom Penaung yang juga Pemangku YDP dan AJK. Dalam ucapannya menyatakan bahawa Program Anugerah Cemerlang adalah merupakan acara tahunan. Pada tahun ini tujuh pelajar cemerlang dipilih menerima anugerah. Adun Bangi mengucap terima kasih atas jemputan dan mengucap syabas kepada pelajar-pelajar cemerlang. Harap mereka maju jaya dalam pelajaran dan kerjaya. Mereka yang disampaikan Anugerah oleh Adun ialah:

BIL

PERINGKAT

NAMA

PENCAPAIAN

1

UPSR

Siti Amyra Mohd Yazid

4A 1B

2

SPM

Tan Han Yang

9A 1B

3

STPM

Lew Turk Foo

2A 3B

4

Dip. Multimedia

Kek Kok Foo

CGPA 3.2

5

Dip Multimedia

Mohd Reffi Hidayat Roslan

CGPA 3.5

6

Sarjanamuda Perubatan

Nurul Farah Adnan

Lulus

7

Bachelor of Science

Anusheya A/P Suppiah

Honours


Adun Bangi menyampaikan Anugerah dengan diiringi En. Suhaimi dan lain-lain. Adun juga turut menyampaiakan sumbangan kepada Pemangku YDP bagi Tabung Persatuan.

b) Sukanika Sempena 5 Tahun Damai Impian Dihuni

Perumahan Damai Impian, Seksyen Tiga BBB relatifnya baru dan dihuni sejak 5 tahun lalu. Persatuan Penduduk dan Surau yang diketuai Tuan Haji Sufi Munassir & AJK mengatur program menyambut 5 tahun usia secara sukanika yang melibatkan kanak-kanak, remaja dan dewasa lelaki dan perempuan. Pada malamnya (19 November) diadakan Ceramah Perdana selepas maghrib, iaitu selepas Adun merasmikan sambutan. Pada pagi 20 November diadakan Senaman Kecergasan dan acara sukaneka.

Ketika menyampaikan ucapan perasmian, Adun memuji semangat penduduk yang bersatu padu dan sering mengadakan kegiatan termasuk sambutan dan sukaneka. Adun berharap penduduk Damai Impian terus berusaha agar benar-benar mencapai kedamaian dan kejayaan - insya Allah.

Selepas perasmian oleh Adun di surau sebuah ceramah disampaikan oleh Ustaz Qushari Hamdan dari Seremban.

c) Penghayatan Islam Di Kalangan Remaja di Taman Melor

Penghayatan Islam 2011 dianjurkan oleh pihak Surau Al-Muhajirin yang diketuai Tuan Haji Abdul Aziz Abu Bakar dan saudara Hanafiah. Majlis berfokus kepada golongan remaja di Taman Seri Melor. Seramai 25 orang remaja berumur 11 – 16 tahun menyertai (11 perempuan dan 14 lelaki.). Kebanyakan remaja dari Taman Melor di samping dari Seksyen 7 dan Kajang Impian. Program dibimbing oleh Ustaz Musa, Ustaz Shafizi dan Ustaz Fakhrul. Kursus Penghayatan Islam yang berlangsung selama 2 hari 3 malam itu bersifat brain storming sepanjang hari Sabtu (19 November) di Surau al-Muhajirin, pada hari Ahad mereka retreat ke Kem Impiana Country Resort di Semungkis, Hulu Langat dan kembali meneruskan Penghayatan di Surau Al-Muhajirin hingga ke malam Isnin. Pada malam terakhir ini Adun dijemput sebagai Perasmi Majlis Penutup yang diisi dengan solat berjamaah dan Majlis Penutup. Adun di dalam Ucapan Penutup memuji Ibu Bapa dan AJK Surau yang diketuai Tuan Haji Abdul Aziz dan saudara Hanafiah yang menyusun program bagi anak-anak secara pendekatan keislaman. Majlis berakhir dengan penyampaian cenderamata dan sijil penyertaan.

d) Masjid Berkembar Haji Mat Saman Anjur Acara Berkhatan

Menurut Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai Ramal Luar, sebagaimana tahun lepas, maka pada tahun ini (19 November – Sabtu) Masjid sekali lagi menganjurkan Program Berkhatan pada cuti Sekolah. Penyertaan pada tahun ini adalah menggalakkan, 19 orang murid menyertai Acara Berkhatan berkenaan. Hadir sama ialah Tuan Nazir Masjid Tuan Haji Nik Pa Nik Leh dan AJK-AJK yang lain. Pasukan Perubatan Dari Medical Centre menjalankan Acara Berkhatan yang diketuai oleh Dr. Azman dan pembantu-pembantu.

Adun Bangi datang menziarah dan menemui anak-anak yang menunggu giliran untuk berkhatan dan memberi semangat pada mereka, namun ada yang sihat segar dan gagah sepatutnya tidak takut dikatakan enggan dan terpaksa dikemudiankan giliran, namun tiba giliran menangis dan mengaduh, tapi yang bertubuh kecil tenang dan tidak bermasalah bila tiba giliran. Walau apa pun tersenyum kita melihat gelagat anak-anak yang melalui proses pendewasaan. Dimaklumkan kepada Adun kemudiannya al-Hamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

Sekian.

No comments:

Post a Comment