Hasrat Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PPBBB) memiliki sebuah kompleks Pendidikan Islam yang lebih sempurna hampir tercapai dengan terdiri gagah sebuah kompleks tiga tingkat berbentu U di atas tapak Sekolah Agama Lepai yang lepas. Kini pembinaan mencapai 70% siap. Pada hari ini pihak AJK diketuai Ybhg. Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP PPBBB yang juga Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah mengadakan Hari Terbuka bagi membolehkan para dermawan dan berbagai pihak yang memberi sokongan melihat progresnya pembinaan. Dengan melihat sendiri mungkin terbuka hati bagi mereka untuk menderma lagi.
Majlis bermula jam 10.00 pagi bertempat di bawah khemah di tengah kawasan bangunan dengan agenda ucapan, taklimat dan lawatan. Hadir bersama ke Majlis Hari Terbuka dan Lawatan Ke Bangunan ini selain dari Adun Bangi, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP PPBBB, Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas Timbalan YDP dan juga selaku Pengerusi Surau An-Nur, Tuan Haji Kamaruddin Setiauasaha Masjid Al-Hasanah, Tuan Haji Zakaria & Tn. Haji Sufi Munassir yang kedua-duanya AJK Pembangunan, Kontrektor Bangi SDE Bina En. Abdul Aziz dan Partnernya En. Marzuki dan Arkitek Encik Norman Ezani dan para jemputan lebih kurang 30 orang.
Dalam ucapan alu-aluannya Dr. Tajul menggariskan tentang latarbelakang Sekolah yang mula didirikan pada awal tahun 1980an dan bangunan ini digunakan secara rasmi sebagai Sekolah agama pada tahun 1987 menurut kurikulum JAKIM. Bangunan lama setingkat yang telah dirobohkan itu juga berbentuk U mempunyai 8 bilik darjah – 6 untuk kelas dan yang lain untuk pentadbiran. Menurut Dr. Tajul Ariffin lagi, bangunan baru di atas tapak lebih kurang setengah ekar itu dibina pada 1 Jun 2011 dengan mendapat tunjangan awal dari Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM240,000 kemudian diikuti dengan usaha memungut derma yang kini telah terkumpul iaitu sejumlah RM1.5 juta dan memerlukan RM1.5 juta lagi bagi penyempurnaan bangunan dan peralatan. Bangunan baru jika menurut jadual akan siap insya Allah pada akhir Mei 2012.
Menurut Dr. Tajul Ariffin Noordin lagi, `Apabila siap kelak, maka tingkat bawah akan digunakan bagi program-program pendidikan komuniti, aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan insan, pejabat operasi, Dewan persidangan, bilik mesyuarat, bilik gerakan, bilik koperasi dan perkembangan, dataran ilmu, galeri, auditorium dan kantin, manakala tingkat dua dan tiga untuk sekolah, pentadbiran dan keperluan sekolah.
Adun Bangi yang diminta menyampaikan ucapan mengucap tahniah di atas kegigihan PPBBB dan AJK pembinaan yang telah bertungkus lumus hingga dapat menterjemahkan impian maukan Kompleks Pendidikan Islam yang lebih sempurna menjadi realiti. Pihak Kerajaan Negeri Selangor, khususnya YB Dr. Halimah Ali Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan, tentulah berbangga melalui tunjangan peruntukan RM240,000 iaitu satu jumlah yang tidak begitu banyak, tapi dapat dikembangkan dengan usaha mendapat dana dan derma dari orang ramai hingga kini berjumlah hampir RM1.5. Adun percaya separuh dari jumlah lagi yang diperlukan akan dapat dicapai, khususnya apabila orang ramai dapat melihat realiti bangunan yang telah terbina. Pihak Kerajaan Negeri insya Allah akan membantu pihak Sekolah dan sebarang permohonan dibuat insya Allah Adun akan memberi sokongan yang kuat.
Berhubung dengan perkembangan dan pemantapan masa depan, pihak AJK Pentadbir boleh memikirkan bagi mengadakan Pengajian Agama pada peringkat menengah yang amat diperlukan oleh masyarakat yang mau anak-anak mereka meneruskan pengajian menurut aliran agama yang sebenarnya mempunyai saluran ke peringkat pengajian tinggi. Mungkin pada satu masa nanti juga boleh difikirkan untuk diadakan pengajian pada peringkat kolej dengan kerjasama universiti-universiti yang banyak disekitar Bangi yang memungkinkan pelajar-pelajar menyambung pengajian ke pengajian-pengajian tinggi berkenaan.
Adun Bangi menambah, ``Pihak AJK juga perlu berusaha mendapatkan aset-aset bagi Sekolah yang memungkinkan Sekolah boleh berdikari, mengurangkan yuran pelajar atau pengajian diberi percuma seperti dilakukan di Universiti Azhar yang banyak memiliki harta waqaf.
Adun mengakhiri ucapan dengan doa dan harapan kompleks yang bakal dikenali sebagai Kompleks Pendidikan Islam Bangi bukan saja terkenal dan menjadi mercu tanda di Bangi, tetapi menjadi pusat pendidikan terkenal yang sama memprojekkan imej Bangi Bandar Ilmu.
Selepas Majlis Ucapan, Adun Bangi, diiringi Dr. Tajul & AJK Pembangunan Tuan Haji Sufi dan Tuan Haji Zakaria dan lain-lain membuat lawatan ke Bilik Pameran Sementara, ruang dewan-dewan dan bilik-bilik pentadbiran. Lawatan hanya terhad di tingkat bawah sahaja kerana tangga belum siap dan belum boleh ketingkat atas. Larangan ke atas bagi menjaga keselamatan tamu-tamu yang berkunjung.
Kesimpulannya pembinaan dalam progress dan lancar, Cuma derma perlu juga progres dan lancar agar kerja-kerja tidak tergendala. Sama-sama kita menambahkan saham kebajikan yang insya Allah balasan pahala berganda dan pada bangunan yang tersergam indah untuk pengajian anak-anak kita ada saham kita bersama.
Sekian.
No comments:
Post a Comment