November 19, 2011

Tradisi Menulis Di Kalangan Ahli Politik, Satu Yang Positif

BBB, 23 Zulhijjah = 19 November (Sabtu):

Satu yang menarik, mutakhir ini makin ramai ahli politik dari Pakatan Rakyat menulis buku. Ini adalah satu yang positif sekurang-kurangnya menandakan bahawa ahli-ahli politik berkenaan adalah mereka yang membaca dan mampu menyampaikan idea dan pandangan berhubung dengan perkara-perkara yang ditulis. Lebih dari itu orang ramai dapat menilai buah fikiran yang disampaikan. Dengan demikian ahli politik berkenaan bukan sekadar berpolitik-politikan kerana mendapat peluang untuk mendapat kedudukan dan lebih lemah lagi jika sekadar mencari makan!

Bagi ahli politik yang berjuang seharusnya ada idelogi yang ditulis, dipegang dan menjadi panduan dan ikutan. Bagi ahli politik yang mempunyai misi dan visi dia melibatkan diri dalam politik kerana ada tujuan. Mengetengahkan pandangan dan keyakinan dirinya berhubung dengan soal politik dan lebih dari itu dia berhasrat mau membawa perubahan dan mencapai matlamat yang menjadi visi dan misinya. Bagi yang memahami politik dan ideologi yang dipegangnya dia mau mengenengahkannya dan mau masyarakat berubah dengan keyakinan dan pegangannya. Tidak jarang apa yang didukungnya adalah perkara yang dipeganginya dan diperjuangkan, bahkan menjadi kehidupannya, dia menulis bagi melebarluaskannya di tengah masyarakat.

Menariknya penulis-penulis politik dari Pakatan di Negara kita adalah pemimpin atasan parti. Di dalam hal ini kita bermegah pemimipin-pemimpin atasan Pas adalah mereka yang berilmu dan mengarang. YAB Tuan Guru Dato` Nik Abdul Aziz Murshidul Am Pas adalah tokoh yang mengarang berpuluh karangan seperti dari segi Sejarah , kerohanian, tafsir dan perundangan . Begitu juga Y.B. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas, beliau juga banyak mengarang buku yang berhubung dengan perundangan Islam, tafsir, Hadith, Sejarah, bahkan visi parti seperti Apa Itu Negara Islam dan Negara Kebajikan, Islam Hadhari atau Hadharah Islamiah dan berbagai lagi yang sudah pasti membawa mesej perjuangan Islam agar menjadi pedoman bagi pendukung-pendukung dan pengikut-pengikut. Sifat sedemikian tidak ada di dalam Umno & BN, kecuali pada masa Dr. Mahathir yang banyak mengarang buku-buku.

Dari kalangan pemimpin dari Pakatan, kita dapati yang menulis antaranya adalah dari kalangan mantan pensyarah dan yang bukan pensyarah. Bagi mantan pensyarah menulis adalah satu kemestian. Bila sebahagian daripada mereka masuk politik`maka menulis ini terbawa ke dalam parti, suka menulis. Penulisan mereka biasanya berciri akademik. Antara mereka seperti YB. Kamaruddin Jaafar yang menulis tentang tokoh pimpinan parti Pas. Dari Pakatan tokoh akademik ialah Syed Husin Ali`menulis buku Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali – Sebagai mantan ahli Akademik beliau banyak lagi menulis baik semasa bertugas sebagai ahli akademik dan selepas dari bersara. Antara ahli akademik yang menulis ialah Dr. Mohd Nasir Hashim mantan pensyarah Fakulti Perubatan UKM dan kini Presiden Parti Sosialis Malaysia. Semalam beliau menghadiahkan kepada penulis dua buah buku yang ditulisnya`berjudul Mengharungi Titik Noktah – Sebuah Novel tebal (469 hlm.) dan Menyinsing Fajar Perjuangan (Kumpulan Puisinya). Kita kagum seorang pakar perubatan menulis noval dan puisi. Sudah tentulah di dalam kedua buku membawa misi perjuangan sosialisnya. Terima kasih kerana menghadiahkan kedua buku tersebut kepada penulis. Atas hadiahnya penulis berjanji untuk cuba mereviewkan kedua-dua buku tersebut bergantung kepada keluasan masa.

Dari kalangan bukan akademik pendukung Pakatan kita lihat Dr. Mujahid Yusof Rawa menulis Menuju Pas Baru, Nik Nazmi Nik Ahmad menulis buku Coming Age dilancarkan pada 2 Oktober 2011 di SACC oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor. Sebuah lagi bukunya ialah Mendepani Zaman Melayu Untuk Abad ke 21.

Usaha sedemikian amat murni dan patut mendapat galakan dari pihak parti dan negeri. Bahkan kita berpendapat di dalam parti dan Pakatan sepatutnya ditubuhkan unit atau Institut Reseach bagi parti dan Pakatan. Bagi negeri Selangor sendiri amat wajar ditubuhkan Research Institut bagi Selangor di bawah Pakatan bagi merangka pendekatan pemerintahan, menilai perjalanan dan merangka masa depan. Usaha awal dilakukan, tapi bukan dari Research Institut di bawah negeri, tetapi sekadar himpunan artikal yang ditulis oleh tokoh-tokoh atau penulis-penulis dari Pakatan Rakyat iaitu dengan terbitnya buku The Road To Reform terbitan SIRD (Strategic Information And Research Development Centre, Petaling Jaya) yang dilancarkan pada tahun lepas.

Penulisan buku dari pemimpin dan pendukung parti, bahkan Pakatan patut digalakkan bahkan patut diberi tunjangan dan bantuan, kerana ianya mencerminkan misi dan visi perjuangan parti dan yang didukung penulis. Seorang ahli politik yang tiada misi dan visi akan luput dari ingatan selepas tamat perkhidmatan, tetapi dengan penuliusan yang ditinggalkan ia adalah testimony visi dan misi perjuangannya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment